Nuffnang

Monday, January 20, 2014

Sejarah Ashabul Kahfi (Soal Jawab Saidina Ali Bin Abu Talib & Para Pendeta Yahudi) Siri 2

   
"Baik, saya teruskan lagi peristiwa bersejarah yang terjadi semasa kekuasaan Diqyanus, raja sesat dan zalim itu. Selang tidal lama kemudian, tepat pada hari ulang tahun Raja Diqyanus, tiba-tiba seorang hulubalang masuk dan memberitahu bahawa tentera asing mahu menyerbu kerajaannya. Apabila mendengar berita itu, Raja Diqyanus menjadi gusar dan bingung sehingga menyebabkan mahkota yang sedang dipakainya terjatuh ke lantai. Bukan hanya mahkotanya yang jatuh, raja itu turut tergelincir dan jatuh daripada singgahsananya. Keadian itu membuka minda dan pemikiran pembantu setia raja yang cerdas bernama Tamlikha. Dia memikirkan bahawa tuhan tidak mungkin akan terjatuh, bingung dan sedih begitu. Dia turut merasakan bahawa sebagai tuhan, pasti itu semua tidak menimpa Raja Diqyanus. Dia membuat kesimpulan, Diqyanus adalah manusia seperti orang lain. Dia tahu Diqyanus juga tidur, buang air kecil dan air besar. Dia mengesahkan kepada dirinya sendiri yang rupa-rupanya Diqyanus hanya mengaku dirinya Tuhan." sambung Ali.

        Ali melanjutkan, "Diringkaskan cerita, enam orang pembantu raja itu selalu mengadakan pertemuan tersembunyi di rumah mereka secara bergilir-gilir. Suatu hari, pertemuan bertempat di rumah Tamlikha, sewaktu mereka sedang makan, tiba-tiba Tamlikha tidak mahu makan. Temannya bertanya, "Kenapa kamu tidak mahu makan, sahabatku?" Tamlikha menjawab, "Fikiranku keliru dan hatiku risaukan sesuatu. Ini membuatkan saya tidak berselera dan tidak dapat tidur."

         Pengakuan Tamlikha membuatkan temannya hairan. Temannya bertanya, "Apakah yang membuat hati dan fikiranmu risau?" Tamlikha menjawab, "Saya sedang memikirkan sesuatu.  Sudah lama saya memikirkan keadaan langit dan alam sekitarnya. Siapakah yang mengangkat langit sehingga menjadi seperti atap tanpa penyangga daripada bawah. Siapakah yang mengendalikan matahari, bulan dan semua bintang? Saya yakin jawapan kepada semua pertanyaan ini bukan Diqyanus, pasti ada penguasa yang mempunyai kekuasaan melampau segalanya. Oleh itu saudara-saudara, saya dengan tegas tidak mahu menyembah Diqyanus kerana dia bukan Tuhan yang berhak disembah. Dia tetap manusia seperti kita tetap mengaku dirinya sebagai Tuhan," terang Ali mengisahkan perbincangan Tamlikha dan teman-temannya.

          "Lalu apakah keenam-enam orang itu memusuhi raja mereka?" tanya pendeta itu.

          "Tidak. Mereka berenam lari meninggalkan kota itu ke tempat yang jauh lagi bagi menghindari raja yang durjana dan zalim itu. Mereka mahu mencari Tuhan pencipta langit dan bumi ini serta alam sekitarnya. Namun sebelum itu, Tamlikha menjual buah kurma dan mendapat wang sebanyak tiga dirham sebagai belanja dalam perjalanan. Wang itu diselitkan oleh Tamlikha dalam saku bajunya. Kemudian mereka berangkat dengan menunggang kuda bersama-sama lima orang temannya."

           Selepas berjalan hampir tiga batu jauhnya dari kota raja, Tamlikha berhenti dan berkata kepada teman-temannya, 'Saudara, sudah jauh kita berjalan keluar dari kawasan kota kerajaan. Saya yakin mereka pasti tidak mengejar kita. Sekarang, mari kita turun daripada kuda dan berjalan kaki."

            Kemudian mereka berjalan kaki sejauh tujuh farsakh (satu farsakh bersamaan 4.8 kilometer), sehingga kaki mereka bengkak dan berdarah. Mereka semua berhenti untuk berehat. Tidak lama kemudian, datang seorang penggembala menghampiri mereka. Mereka bertanya kepada penggembala itu, "Hai penggembala, kami semua kehausan. Adakah engkau dapat membantu kami yang sedang kehausan ini?" Penggembala itu menjawab, "Aku dapat memberikan segala yang kalian perlukan tetapi sebelum itu, aku ingin bertanya benarkah kalian adalah para bangsawan yang sedang berusaha lari daripada kekuasaan raja itu?"

              "Benar. Kami semua memang bangsawan yang mahu lari daripada kekuasaannya. Ini kerana kami sudah memeluk agama lain, bukan agama mereka. Adakah engkau dapat dipercayai sekiranya kami menceritakan perkara yang sebenar? Agama yang kami anuti ini melarang kami berbohong," tanya Tamlikha kepada penggembala itu. "Saya akan jaga rahsia kalian," jawab penggembala itu.

               Selepas keenam-enam orang pelarian itu mempercayai penggembala itu, Tamlikha menceritakan kejadian yang menimpa mereka dari awal sampai akhir. Kemudian penggembala itu berkata, "Dalam hati saya juga percaya pengakuan kalian memang benar dan saya patut membantu kalian. Sekarang, kalian berhenti dahulu di sini. Saya mahu mengembalikan kambing-kambing ini kepada pemiliknya. Sebentar lagi, saya akan kembali menemui kalian di sini." Memang benar, tidak lama kemudian, penggembala itu kembali menemui Tamlikha dan temannya dengan membawa anjing di belakangnya," terang Ali.

               "Ali, apakah kau tahu warna dan nama anjing itu," tanya pendeta itu.

              Ali menjawab, " Nabi Muhammad ada memberitahuku anjing itu berwarna kehitam-hitaman dan bernama Qithmir. Ketika enam orang pelarian itu melihat seekor anjing, Tamlikha dan teman-temannya saling berkata, "Saya khuatir anjing ini akan khianat dan membongkarkan rahsia pelarian kita,"  jawab temannya yang lain.

            Mereka meminta penggembala itu mengusir anjingnya dengan batu. Namun, selepas mereka berkata demikian, tiba-tiba anjing itu berkata-kata dengan lancar dan jelas kepada Tamlikha, "Hai manusia, kenapa kalian mahu mengusirku? Padahal aku ini bersaksi tiada Tuhan selain Allah yang berhak disembah, tiada sekutu untuk Dia yang dapat menandingi kekuasaan-Nya. Izinkan saya menyertai dan menjaga kalian daripada musuh yang mahu membinasakan kalian. Dengan berbuat demikian, maka saya akan dekat kepada Allah," kata anjing itu kepada enam orang pemuda yang meraguinya. Anjing itu akhirnya dibiarkan ikut bersama mereka. Penggembala itu mendekati gua yang tidak jauh dari gunung," jelas Ali kepada para pendeta yang masih begitu berminat mendengarnya.

          "Adakah engkau juga tahu nama gunung dan gua itu, wahai Ali?" tanya pendeta Yahudi.

       "Gunung itu bernama Naglus, dan nama gua itu ialah Washid, ataupun disebut juga dengan nama Kheram!" Selepas menjawab pertanyaan pendeta itu. Ali melanjutkan ceritanya.

         "Selepas semua sudah masuk ke dalam gua, tiba-tiba tumbuh pepohonan yang berbuah segar di hadapan gua itu dan terpancarlah mata air. Mereka makan buah-buahan dan minum air yang tersedia di tempat itu. Apabila tiba waktu malam, mereka ingin beristirehat. Mereka masuk ke dalam gua kerana mencari tempat berlindung dan kemudian tidur. Begitu juga anjing yang menyertai mereka. Anjing itu mengikut masuk dan duduk serta berjaga-jaga di hadapan pintu gua. Allah memerintahkan malaikat pencabut nyawa mengambil nyawa mereka. Kemudian, Allah memerintahkan dua malaikat membalik-balikkan tubuh mereka dari kanan ke kiri. Kemudian, Allah memerintahkan matahari supaya mencodongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kanan ketika terbit dan mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kiri ketika terbenam," jelas Ali bin Abu Talib.

        "Lalu bagaimana dengan Raja Diqyanus?" tanya pendeta itu memotong penjelasan Ali bin Abu Talib.

        "Pada saat raja bengis yang bernama Diqyanus itu mengetahui enam orang pembantu setianya sudah melarikan diri entah ke mana, dia marah. Kemudian, beliau memerintahkan 80,000 orang tentera berkuda mencari mereka. Dalam masa yang singkat, tentera itu berjaya menemui mereka. Ternyata mereka sedang tidur sedang berbaring di dalam gua. Tentera itu yakin mereka tertidur.

       Selepas mendapat laporan berkenaan keenam-enam orang pembantunya yang melarikan diri itu sedang tidur di dalam gua, Raja Diqyanus segera memerintahkan tentera dengan berkata, "Aku ingin menghukum para pembangkang yang tidak patuh kepadaku dengan hukuman yang setimpal. Cepat, panggilkan tukang-tukang batu menghadapku!"

       Tidak lama kemudian, tukang-tukang batu muncul dan segera menghadap raja. Mereka diperintahkan menutup pintu gua dengan batu-batu yang disusun rapat-rapat. Selepas para tukang batu selesai melakukannya, raja berkata kepada rakyatnya yang berada di sekitar dan para hulubalang bawahannya. Pihak pembangkang akan mendapat seksa yang sama seperti enam orang pembantu yang sudah berada di dalam gua itu. Katakanlah kepada para pembangkang yang berada di dalam gua itu, sekiranya benar mereka mempunyai Tuhan selain aku, mintalah bantuannya bagi membebaskan diri dari gua yang sudah kututup rapat.'

         Ada perkara yang perlu kalian tanyakan berkaitan penjelasan ini?" Ali menghentikan ceritanya sebentar.

          "Tidak ada. Teruskan." pinta pendeta itu. 

        "Tahun demi tahun berlalu sehingga 309 tahun mereka tinggal di dalam gua. Allah mengembalikan nyawa mereka. Pada saat matahari mula memancarkan sinar, mereka seperti baru sahaja terjaga daripada tidur. Salah seorang daripada mereka berkata, 'Kami tidur terlalu nyenyak, sehingga lupa beribadah kepada Allah semalam. Mudah-mudahan Allah mengampunkan kelalaian kita. Mari kita keluar dan pergi ke mata air. Di hadapan pintu gua ini ada mata ainya yang jernih!"

           Namun ketika mereka berada di luar pintu gua, didapati mata air itu sudah kering dan pepohonan yang merimbun pun sudah tidak ada. Malah, mereka tidak tahu pintu gua itu pernah ditutup rapat dengan batu-batu. Kini, batu itu sudah runtuh kemudian, Allah menjadikan mereka berasa lapar. Salah seorang daripada mereka berkata, " Pasti kalian juga lapar seperti yang saya rasakan. Siapa yang berani keluar dan membeli makanan untuk kita semua? Tetapi, orang itu perlu berhati-hati di dalam perjalanan."

         "Saya berani keluar bagi membeli makanan. Kebetulan saya mempunyai sedikit wang hasil jualan kurma sebelum kita berangkat. Wahai penggembala, pinjamkan aku bajumu dan ambillah bajuku ini. Aku harus menyamar sebagai penggembala kambing."

            Kemudian, Tamlikha berangkat menuju ke kota bagi membeli makanan. Sepanjang perjalanan, dia berasa hairan kerana dia tidak dapat mengenali semua tempat yang dilaluinya. Selepas berada hampir di pintu gerbang kota, Tamlikha melihat bendera hijau yang bertulis 'Tiada Tuhan selain Allah dan Isa adalah roh Allah.' Bendera itu berkibaran di angkasa. Tamlikha berhenti. Dia terkulat-kulat sambil mengusap-usap matanya. Dia berkata, "Apakah aku sedang bermimpi?" Tamlikha merenung bendera itu, kemudian meneruskan perjalanannya memasuki kota. Namun, dia memang hairan dan tidak habis berfikir kerana kebanyakan orang yang ditemuinya sedang membaca kitab suci. Tamlikha tidak dapat mengecam seorang pun daripada mereka. 

           Setibanya di pasar, dia menemui penjual roti yang kebetulan berada tidak jauh daripada Dia. Dia bertanya, "Encik, apa nama kota ini?" Penjual roti itu menjawab, "Aphesus." Tamlikha bertanya lagi, " Siapa nama rajanya?" Penjual roti itu menjawab, "Abdurrahman." Tamlikha benar-benar bingung. "Oh ya, saya mahu beli roti," Tamlikha mengeluarkan wang daripada saku bajunya dan memberikan wang itu kepada penjual roti. Penjual roti itu terkejut kerana wang yang diberikan Tamlikha itu adalah wang yang digunakan pada ratusan tahun yang lalu. 

            "Sebentar!" potong pendeta itu.

           "Ada apa?" tanya Ali.

         Pendeta Yahudi itu kemudian berdiri, lalu berkata kepada Ali, "Wahai Ali, sekiranya engkau benar-benar mengetahui kisah ini, adakah engkau juga tahu berapa nilai wang lama itu dibandingkan dengan wang baru?" tanya pendeta itu bersemangat.

          "Rasulullah menceritakan kepadaku berkaitan dengan nilai wang yang dibawa oleh Tamlikha. Apabila dibandingkan, satu dirham wang lama bersamaan dengan 10 dan dua per tiga dirham baru!"

         Selepas menjawab pertanyaan pendeta itu, Ali meneruskan kisahnya. Ketika Tamlikha mengeluarkan wang dan memberikan kepada penjual roti, penjual roti itu berasa girang lalu berkata kepada Tamlikha, "Ini berupa harta karun yang berupa wang lama yang nilainya jauh lebih besar daripada wang sekarang. Ini bermakna kamu menemui harta karun. Di mana kamu menemuinya? Cepat serahkan harta karun yang kamu miliki! Sekiranya tidak, kau akan menerimanasib malang kerana saya akan melaporkannya kepada raja!" kata si penjual roti itu kepada Tamlikha. "Saya tidak menemui harta karun. Wang ini saya perolehi hasil jualan kurma tiga hari lalu. Semuanya berjumlah tiga dirham! Selepas itu, saya meninggalkan kota kerana mereka semua menyembah Diqyanus!" sangkal Tamlikha.

         Mendengar pengakuan Tamlikha, penjual roti itu marah dan berkata, "Bagaimana? Adakah engkau benar-benar tidak mahu menyerahkan harta karun itu kepadaku? Baik. Saya akan segera melaporkan hal ini kepada raja. Lagipun, kamu menyebut nama raja derhaka yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Padahal, raja itu sudah mati lebih daripada 300 tahun yang silam! Adakah kamu mahu memperolok-olokkanku? Kamu menghina saya dan raja yang berkuasa sekarang!"

          Selepas kejadian itu, Tamlikha ditangkap dan dibawa menghadap raja lalu disoal siasat sama ada dia bersalah ataupun tidak. Namun, raja yang baru itu bersikap bijak dan adil. Semua persoalan diselesaikan dengan baik. Raja itu kemudian bertanya, "Apa kesalahan orang ini? Bagaimana ceritanya sehingga orang ini ditangkap?" Kemudian, salah seorang daripada mereka yang menangkapnya menjawab, "Dia menemui harta karun, tuanku." Raja itu berkata, "Kamu tidak perlu takut! Nabi Isa memerintahkan supaya kami hanya memungut seperlima daripada harta karun itu. Serahkan seperlima kepadaku dan kamu akan selamat." Raja itu berkata dengan lembut. "Tuanku, saya tidak menemui harta karun seperti yang dituduh oleh mereka Saya adalah penduduk kota ini yang kebetulan ingin membeli makanan!" jawab Tamlikha.

          "Engkau penduduk kota ini?" tanya raja itu.

         "Ya. Benar, tuanku!"

        "Sekiranya kamu benar-benar penduduk kota ini, apakah kamu mengenali para penduduknya?" selidik raja.

         "Ya, aku mengenali mereka."

        "Adakah kamu dapat menyebut nama-nama orang yang kamu kenal?" tanya raja.

       Tamlikha menyebut nama-nama orang yang dikenalinya iaitu hampir seribu orang. Namun, tidak ada satu daripada nama-nama yang disebut itu pernah didengari ataupun dikenali oleh raja dan orang lain yang hadir sama menyaksikan soal siasat itu. Salah seorang daripada mereka berkata, "Semua nama yang disebutkan oleh Tamlikha bukan nama-nama orang yang hidup di zaman kita ini. Tetapi, mereka hidup di zaman dahulu ratusan tahun yang lalu."

        Raja berkata, "Beginilah, adakah kamu mempunyai tempat tinggal di kota ini?"

     "Ya, tuan," jawab Tamlikha. "Utuslah seseorang bagi menyertai saya," pinta Tamlikha. Permintaan dikabulkan. Raja memerintahkan beberapa orang kepercayaannya menyertai Tamlikha menuju ke tempat tinggalnya. Tamlikha mengajak mereka menuju ke sebuah rumah yang tertinggi di kota itu. Setibanya di sana, Tamlikha berkata kepada orang yang menghantarnya, "Inilah rumahku!" Selepas pintu rumah itu diketuk, muncul seorang lelaki tua membukakan pintu. Terlihat sepasang alisnya yang sudah putih dan mengerut hampir menutupi mata kerana sudah terlalu tua. Orang tua itu terkejut dan ketakutan lalu bertanya kepada mereka, "Kenapa kalian datang ke sini?"

       "Orang muda ini mengaku rumah ini adalah miliknya, wahai orang tua!" jawab orang utusan raja. Selepas mendengar pengakuan itu, orang tua itu kelihatan marah. Ditatapnya anak muda itu dengan tajam dan bertanya, "Siapa namamu, anak muda?"

       "Aku Tamlikha putera Filistin!"

       "Apa? Cuba ulang sekali lagi!"

      Tamlikha mengulang namanya dengan lebih jelas dan suara yang agak keras. Dia menganggap orang tua itu sudah terlalu tua sehingga tidak dapat mendengar dengan baik. Namun selepas Tamlikha menyebutkan namanya dengan jelas, tiba-tiba orang tua itu duduk berlipat lutut di hadapan kaki Tamlikha sambil berkata, "Tidak salah lagi orang ini adalah datukku yang pernah hidup ratusan tahun yang lalu. Demi Allah, dia adalah salah seorang daripada orang-orang yang melarikan diri daripada kekuasaan Raja Diqyanus." Orang tua itu berkata dengan nada bimbang. "Dia sengaja melarikan diri dan memohon perlindungan daripada yang maha berkuasa, Tuhan pencipta langit dan bumi ini. Bukankah kalian pernah mendengar Nabi Isa kita berkata kepada mereka itu akan hidup kembali!" kata orang tua itu meyakinkan mereka yang hadir.

       Selepas peristiwa itu dilaporkan kepada raja, keliahatn raja itu datang dengan menunggang kuda menghampiri mereka yang masih berkerumun di rumah orang tua itu. Raja turun dan menghampiri Tamlikha. Dengan perasaan terharu, raja itu memeluk Tamlikha. Orang lain melakukan hal yang sama sambil bertanya, "Hai Tamlikha, bagaimana dengan keadaan teman-temanmu?" Kemudian Tamlikha menjawab, "Teman-temanku masih berada di gua. Mereka sedang menungguku membeli makanan."


        Ali melanjutkan kisahnya, "Kemudian, mereka beramai-ramai menyertai Tamlikha dan pergi ke gua tempat persembunyiannya dan teman-teman. Sebelum sampai di pintu gua, Tamlikha menghentikan langkah dan berkata, "Saya khuatir apabila teman-temanku mendengar bunyi tapak kaki kuda, mereka fikir pasukan Diqyanus datang. Oleh itu, kalian berhenti sahaja di sini. Biar saya sendiri yang menemui dan memberitahu mereka!"

        Atas permintaan Tamlikha, mereka menunggu. Tamlikha masuk seorang diri ke dalam gua. Teman-teman yang menunggunyasejak tadi berasa girang kerana Tamlikha pulang dengan selamat. Mereka memeluk Tamlikha dengan kuat sambil berkata, "Puji dan syukur kepada Allah yang menyelamatkan dirimu daripada Diqyanus raja derhaka itu!" Tamlikha berkata, "Sekarang kita sudah tidak berurusan dengan Diqyanus lagi!"

        "Apa maksudmu kita tidak mempunyai urusan dengan Diqyanus?" tanya salah seorang temannya dengan hairan. 

            "Tahukah kalian, sudah berapa lama kita tinggal di sini?" tanya Tamlikha.

           "Kita tinggal di sini sehari semalam sahaja," jawab mereka.

           "Tidak!" jawab Tamlikha. "Ternyata kita sudah tinggal di sini selama 309 tahun! Diqyanus sudah lama meninggal dunia! Generasi demi generasi silih berganti. Penduduk kota ini kini beriman kepada Allah yang maha agung! Sekarang mereka datang dan ingin bertemu dengan kalian!" Teman-teman Tamlikha menyahut, "Hai Tamlikha, adakah engkau menjadikan kami ini orang-orang yang menggemparkan dunia?" Tamlikha bertanya lagi, "Lantas, apa yang kalian inginkan?" Mereka menjawab, "Angkatlah tanganmu ke atas dan kami akan berbuat seperti itu juga."

            Mereka bertujuh mengangkat tangan ke atas dan kemudian berdoa, "Ya Allah, dengan kebenaran yang kamu perlihatkan kepada kami perihal keanehan-keanehan yang kami alami sekarang ini, cabutlah nyawa kami tanpa pengetahuan orang lain!"

             Allah mengabulkan doa dan permohonan mereka lalu memerintahkan Malaikat Maut mencabut kembali nyawa mereka. Kemudian, Allah melenyapkan pintu gua tanpa meninggalkan kesan. Orang-orang yang menunggu di luar gua segera mara mendekati gua, mengelilinginya selama tujuh hari bagi mencari pintunya tetapi tidak berhasil. Mereka tidak menemui jalan masuk ke dalam gua."


             Sampai di sini, Ali bin Abu Talib berhenti menceritakan kisah para penghuni gua. Kemudian, dia berkata kepada pendeta Yahudi yang menanyakan kisah itu, "Demikianlah yang terjadi dalam kisah mereka. Demi Allah, sekarang saya mahu bertanya kepadamu, adakah semua yang saya ceritakan itu sama dengan cerita yang terdapat dalam kitab kalian?"

          Pendeta Yahudi itu menjawab, "Wahai Ali, kamu tidak menambah dan tidak mengurangkan cerita itu. Sekarang, kamu jangan menyebut diriku sebagai orang Yahudi, kerana saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba Allah serta Rasul-Nya."

~TAMAT~

[Masya ALLAH..dengan berpuluh-puluh soalan para pendeta Yahudi menyoal Ali tetapi dengan hanya satu soalan daripada Saidina Ali bin Abu Talib mengakhiri mereka dengan ISLAM..Maha Suci Allah yang memberikan hidayah kepada hamba-hambaNya yang terpilih! Betapa pentingnya ilmu dan sejarah agar kita sebagai umat Islam mampu mengambil iktibar daripadanya. Amin~] 


RUJUKAN:

Muhammad Makhdlori (2011). Mukjizat Surah Al-Kahfi. Selangor: Penerbit PTS Millennia Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment