BAB
18
Aizriel Danish menolak troli di
pasaraya Giant perlahan. Matanya melilau-lilau mencari barang yang dicari di
rak hadapannya. Tangannya membelek-belek kotak biskut di tangannya. Mulutnya
sedikit terjuih kerana berfikir.
“Betul ke yang ni Kak Iqa nak? Hmm..ambik ajelah.”
Aizriel Danish berjalan lagi ke depan. Matanya tidak
perasan akan sepasang mata yang memerhatikannya dengan penuh teliti dari jauh.
Mata itu tidak lepas dari memandangnya. Rasa tidak percaya masih hadir dalam
dirinya hingga dia rasa itu satu mimpi. Akhirnya, dia hilang di sebalik
kelompok orang ramai yang ingin membeli keperluan masing-masing.
Aizriel Danish makin ralit memandang
persekitarannya. Dia seronok memerhatikan perubahan yang berlaku di sekelilingnya.
Banyak perubahan yang berlaku di sini ketika dia masih berada di Jerman selama
tiga tahun. Tadi, ketika dia memandu pun banyak jalan dan bangunan baru telah
ditubuhkan. Hampir-hampir dia tersesat tadi tapi nasib baik di cepat pick up dengan situasi barunya.
Matanya makin liar memandang senarai barang yang
diperlukannya lagi. Tanpa dia sedari dia telah pun melanggar troli pengunjung
yang lain. Aizriel Danish terkejut. Pengunjung itu juga terkejut. Kata-kata
maaf daripada mereka berdua kedengaran. Masing-masing memohon maaf atas
kecuaian masing-masing. Seterusnya, mata mereka saling terpaut. Kata-kata maaf
yang keluar dari mulut mereka berdua terhenti tiba-tiba. Terkejut. Iya, itulah
apa yang dirasakan mereka berdua kini. Akhirnya, terukir senyuman manis di
wajah masing-masing.
“Betul ke depan mata aku ni, Aizriel Danish anak
Dato’ Kamarul?” suara garau lelaki itu kedengaran. Penuh dengan persoalan dan
sindiran.
“Kau ni memang tak berubah dari dululah, Sai.
Pantang jumpa aku mesti kau selalu nak kenakan aku kan?” kata-kata Aizriel
Danish diikuti dengan tumbukan mesra di bahu lelaki itu. Mereka berdua saling bersalaman
dan berpelukan. Ukhuwah persahabatan antara mereka sudah lama terjalin sejak
dari sekolah menegah lagi.
Twin michevious!
Itulah gelaran mereka dahulu. Sama-sama
bijak, kacak, baik hati dan peramah. Bakat mereka masing-masing telah
menjadikan mereka berdua gilaan ramai para gadis dan disegani oleh semua orang.
Dahulunya, Aizriel Danish memegang jawatan sebagai ketua pelajar dan sahabatnya
pula memegang jawatan sebagai ketua pengawas. Seorang pakar dalam judo dan
seorang lagi pakar dalam taekwondo. Sai juara debat peringkat negeri di sekolah
dulu manakala Aizriel Danish digelar Prince
of Chess peringkat kebangsaan. Masing-masing tidak kalah dengan kredibiliti
dan personaliti yang tersendiri. Malah, banyak lagi sumbangan mereka berdua
ketika sekolah dulu mampu mengharumkan nama baik sekolah mereka dan menjadi
kebanggaan ramai.
“Hahaha..bukan apa. Aku tengok kau dari tadi. Aku
ingatkan aku ni silap orang. Nak tegur tak berani kot anak teruna mana aku
tegur nanti. Itu sebab aku perhati aje kau dari jauh. Kau macam mana sekarang,
sihat? Amboi, aku tengok kau sekarang bukan main lagi ya? Makin handsome giler kau sekarang! Ini mesti
dah ada awek.”
“Banyaklah kau punya awek. Aku solo lagilah, Sai.
Aku sihat aje. Kau macam mana? Family kau
semua sihat?”
“Alhamdulillah, aku sihat. Family aku pun Alhamdulillah semua sihat. Cuma biasalah mak aku itu
dah tua sakit-sakit macam itulah. Eh,
sejak bila kau balik Malaysia ni? Sampai hati kau iya, langsung tak call aku ke apa.”
“Sorrylah, Sai. Aku lupa nak bagi tau kau. Aku dah
sampai Malaysia minggu lepas. Hehe..”
“Hmm, tulah kau. Kalau kau beritahu aku ni boleh
jugak aku jemput kau kat airport.”
“Maaflah. Haa..Kau buat apa sekarang?”
“Aku? Aku tengah buat master sekarang. Itu yang makin sibuk akhir-akhir ni. Belajar lagi,
kena handle program lagi, assignment lagi, kerja part time lagi. Hidup aku selalu sibuk.”
“Program? Kau handle
program apa? Ini mesti kau pegang jawatan tinggi ni. Cuba cerita sikit kat
aku.”
“Ishh..tak adalah. Mana ada tinggi. Aku tak macam
kau itu. Tinggal kat luar negara pun kau tetap jadi orang penting kat sana.
Dari sejak sekolah lagi aku tau kau lagi hebat dari aku.”
“Kau ni merepek ke apa? Aku suruh cakap pasal kau,
kau cakap pasal aku pulak. Ceritalah. Kau handle
program apa? Aku pun nak join jugak program yang kau handle.” Ujar Aizriel Danish bersemangat. Dia menepuk perlahan bahu
teman rapatnya itu.
“Ishh..kau ni. Nak kenakan akulah tu.”
“Mana ada aku berniat jahat kat kau nak kenakan
kawan sendiri. Aku betul-betul nak tau ni. Ikhlas dari lubuk hati aku yang
terpendam.”
“Aishh..sejak bila kau jadi mamat sastera ni?”
“Banyaklah kau.”
Mereka ketawa serentak.
“Aku handle
program Pemikiran Strategik Mahasiswa tapi aku ada masalah sikitlah. Program
dah hari Khamis ni tapi panel tak cukup lagi. Aku kena cari panel baru untuk
program itu. Tiba-tiba, panel lama kitorang ada emergency kes tak dapat hadir dalam forum itu. Itu sebab aku tengah
mati kutu sekarang ini nak kena cari orang. Hmm…” luah lelaki itu.
“Oh macam itu ke? Habis, tajuk forum kau itu lebih
tertumpu pada apa?”
“Lebih kepada cara pemikiran mahasiswa untuk jadi
seorang graduan yang berjaya. Pemikiran yang bukan hanya tertumpu pada kos yang
diambil oleh mahasiswa tapi pemikiran yang lebih luas, terbuka dan segar dengan
kehidupan sekarang. Biar mereka peka dengan keadaan sekeliling dan berfikiran
secara saintifik ataupun logik dalam sesetengah situasi”
“Oh..maknanya kau nak gabungkan skop pemikiran pelbagai
aspeklah ni macam psikologi, sosial, ekonomi, agama dan budaya. Tapi cara kau
cakap ini kau macam nak relate kan
jugak elemen sains, matematik dan physics
dalam pemikiran students. Macam itu?” Aizriel Danish menggaru dagunya yang
tidak gatal.
“Hmm, lebih kurang macam itulah. Eh, mana kau tahu
ini? Aku tak terang detail pun kat kau. Kau..” Temannya itu hanya memandang
wajahnya. Persoalan mulai timbul.
Aizriel Danish tersenyum penuh makna. Kening kirinya
terangkat sedikit. Sahabatnya membalas senyuman itu. Masing-masing tersenyum
dengan maksud tersirat tersendiri. Akhirnya, mereka ketawa bersama-sama.
* * *
“AINAA!!!
Kau kat mana ni?! Kau tahu tak Puan Halimah dah berguni-guni membebel kat aku
kau tak datang-datang lagi!! Kau ingat sekarang ini pukul berapa, hah?! Kau
jadi sleeping beauty lagi ke?!” suara
terpekik, terlolong milik Farah Amira boleh buat tahi telinga aku cair dalam
beberapa saat aje. Aku memandang lesu ke arah handphone Sony Ericsson W580i
kesayanganku. Dengar sahaja suara nenek kebayan moden ini dah buat mood aku di
pagi yang indah dan ceria ini bertukar jadi kelam dan huru-hara.
Minah ini tak reti bagi salam ke apa? Dahlah aku tak
sempat pun nak cakap helo ke, hai ke, babai ke. Ini main terjah aje menjerit
macam nenek kebayan kena rasuk hantu Jepun! Tak tahu ke pelajaran asas kalau call orang ke apa bagi salam.
Ishh..teruk betul moral minah ini!! Kawan siapalah ini?!
“Ainaa!! Kau dengar tak aku cakap ini?!” jerit Farah
Amira lagi. Nyaring dan lantang, beb! Ini kalau masuk pertandingan suara opera
ini boleh menang kawan aku sorang ini!
“Ainaa!!!” aku menjarakkan sedikit handphone aku itu dari telinga.
“Kau ni tak ada kerja lain ke selain menjerit?
Kenapa nak kena jerit jugak? Kau tak sakit tekak ke apa? Telinga aku ini boleh
hangus tau dengar kau menjerit.” Aku mula bersuara.
“Haa..ada pun kau iya? Aku ingat kau jadi sleeping beauty lagi” perli Farah Amira.
“Tak ada maknanya aku jadi sleeping beauty. Nanti tak ada putera pun yang nak sedarkan aku
ni.”
“Dah, dah. Aku tak nak dengar kau merepak yang entah
apa-apa itu. Sekarang aku nak tahu kau kat mana ni?” soal temanku itu.
“Aku dalam perjalananlah ni. Dah sampai kampus dah
pun. Tadi kau jugak yang suruh aku pergi beli souvenir. Ini nak marah aku
macam-macam pulak.” Aku mula merungut.
“Memanglah aku suruh kau pergi beli cenderemata itu
tapi kau ini pergi beli ke atau kau pergi buat cenderemata? Lama giler kot! Kau tak tahu macam mana rupa
Puan Halimah mengamuk sekarang ini? Dah macam harimau tau..” bebel Farah Amira
tidak henti-henti.
Kalau Puan Halimah harimau, kau pulak nenek kebayan!
Sesuai sangatlah itu! Aku ketawa kecil.
“Apa pulak
yang kau gelakkan itu, Ainaa. Kau tahu tak yang VIP dah nak datang. Cepat-cepatlah datang. Aku
hairan kenapalah Puan Halimah nak kau jadi exco untuk program ini. Kau ni
bukannya cekap sangat. Aku pun tak paham.” Hentam Farah Amira lagi.
“Amboi, amboi! Seronoknya kau mengutuk aku, iya? Kau
ingat aku ni bengap sangat ke, hah? Kau tak tau aku ini anak murid kesayangan
dia. Kau jelouslah itu.”
“Aku malas nak dengarlah kau cakap apa. Sekarang ini
aku bagi kau lima minit untuk sampai ke dewan ini. Kalau kau lewat siap kau.
Aku hisap darah kau sampai kering.” Arah
Farah Amira tegas. Terus dia mematikan telefonnya. Aku menjegilkan
mataku pada telefonku. Seolah-olah itu adalah Farah Amira.
Apa dia ingat vampire
ke dracula?! Sesuka hati nak hisap
darah orang. Darah aku ini manis tau tak? Tak hingin aku nak bagi darah sunti
kepunyaan kau kat kau. Huh! Ini mesti pengaruh tengok cerita Twilight dan Vampire Diaries ini. Tapi memang sesuai sangatlah si Farah Amira
itu jadi nenek kebayan. Nenek kebayan moden yang suka hisap darah orang! Tak
sia-sia aku bagi gelaran itu pada dia. Muahahaha..
Tanpa membuang masa, aku melajukan langkah aku.
Semakin lama, semakin laju. Aku memandang jam di tangan. Masya Allah, aku
betul-betul lewat ini!! Padanlah Puan Halimah dan si Farah Amira itu duk membebel
dari tadi. Aisshh..kenapalah aku baru perasan lewat sangat ini? Mati aku kalau
VIP dah datang!
Buat sekalian kalinya, aku malas nak jaga imej aku
sebagai ‘wanita muslimah sejati’! Cewaahh..macamlah aku ini baik sangat! Tapi
tak apalah kan? Aku ini boleh dalam kategori itu jugak sebab dalam proses nak
jadi wanita muslimah sejati gitu! Hihi..dah, tak payah nak melawak, memang tak
jadi pun lawaknya. Apa yang penting sekarang, I’m really late right now!! Hambik kau sampai keluar speaking itu kelam kabut sangat! Aku
berlari laju sepantas kilat, sepantas kuda berlari, sepantas angin yang
bertiup. Hmm..memang hiperbola betul perumpamaan macam itu!! Hihi…tapi nak bagi
tahunya aku betul-betul lari laju. Larian pecut Ainaa Farhanah terserlah!
Senang cakap aku ‘mencemar duli’ imej aku sebagai
‘muslimah sejati’ dengan berlari ala-ala ninja. Alah, larian macam kartun
Naruto gitu. Kedua belah tangan kiri dan kanan berada di belakang. Beg milikku
dikalas ke belakang. Fuhh..nasib baik kat kaki lima ini tak ada orang. Kalau
tak malu giler kot! Dahlah aku pakai
baju jubah seluar warna purple lembut. Ayu gitu! Selendang labuh aku berkibaran
kuat akibat larian aku yang kuat itu. Kuatlah sangat. Kalau dah berlari
memanglah tudung itu akan bertiup ke belakang bukan ke depan. Melainkan aku
berlari pelik dengan berlari ke belakang.
Tengah syok-syok aku berlari nak feeling jadi ninja macam Naruto
tiba-tiba aku dirempuh suatu tubuh yang entah dari planet mana datangnya aku
sendiri pun tak tahu! Ya Allah, Masya Allah…sakitnya!! Aku langgar apa sebenarnya
ini? Batu ke? Tunggul ke? Tiang ke? Entah-entah anak gajah kot! Sampai
tersungkur aku ke tanah. Siap berpusing lagi itu! Mak aihh..pening sekejap
kepala aku.
Kenapalah masa genting macam ini nak
berlanggar semua? Kenapa tak langgar aku masa aku jalan baik-baik? Kenapa tak
langgar aku masa aku free ke?
Sekarang ini, aku busy tau tak? Ingat
ini cerita novel atau hikayat puteri bertemu putera ke? Nak kena berlanggar.
Aku tak nak jadi watak utama cerita-cerita macam itulah. Kepalaku yang sedikit
pusing kembali normal.
“Maaf, cik. Maaf sangat-sangat. Saya
betul-betul tak sengaja. Saya ingat tak ada orang tadi. Cik, tak apa-apa?” tangannya
dihulurkan kepadaku.
Aku yang sedang terduduk di lantai
mendengus geram. Ini yang aku tak puas hati ini! Kalau nak mintak maaf sahaja
aku tak kisah tapi kalau nak pegang-pegang ini sorry to say, okay?! Aku nak tengok sikit anak siapalah yang suka suki dia aje nak pegang anak dara orang
ini. Aku cuba menoleh ke atas. Terkejut beruk aku melihatnya. Kalau beruk
terkejut pun tak macam ni rasanya. Eh, mana boleh samakan wajah JELITA aku
dengan beruk. Allah ciptakan manusia sebaik-baik kejadian. Kena ingat itu! Kena
bersyukur! Yang aku hairannya kenapa mesti lelaki aku langgar? Kenapa tak
perempuan? Kalau perempuan aku tak kisah sangat.
“Awak ini tak tahu ke batas lelaki
dan perempuan? Mana boleh pegang sesuka hati? Ustaz kat sekolah awak dulu tak
ajar, ek?” aku meng‘hentam’ lumat mamat depan aku ini. Biarpun aku juga masih
dalam keadaan shock!
Tangannya yang terhulur masih kaku
di depanku. Matanya bulat memandang aku. Entah apa yang ditenung aku pun tak
tahu! JELITA sangat aku ni kot sampai dia tenung aku macam itu sekali. Kini,
mukanya pula pucat. Mulutnya terkumat-kamit melihat aku. Alamak, aku penyebab
dia nak masuk sawan ke? Ah..sudah!!
No comments:
Post a Comment