BAB
27
“Apa
mak?? Kak ngah nak kahwin??!!” jerit suatu suara di hujung telefon. Puan Rokiah
terpaksa menjauhkan sedikit ganggang telefonnya daripada telinga. Anaknya yang
seorang ini memang suka menjerit. Aduh, sabar jelah dapat anak macam ni?
“Achik, kenapa jerit kuat sangat ni? Perit telinga
mak tau?”
“Hehe..sorila mak. Terkejut sangat. Tulah gosip
hangat macam ni siapa yang tak terkejut. Habis tu mak, kak ngah setuju ke
pinangan lelaki tu?” Cepat-cepat dia bertanya. Semangat ingin tahu.
“Hmm.. kakak kamu cakap dia nak fikir dulu macam
mana. Mana boleh buat keputusan melulu bab kahwin ni” ujar Puan Rokiah lagi.
“Huhu.. tak sangka kak ngah yang garang dan ganas tu
ada orang nak jugak. Hehe..lepas ni bolehlah nak usik dia.”
“Kamu ni achik, macam-macamlah. Tak baik tau usik
kakak kamu itu.”
“Alah, tak apalah. Bukan salah pun ma..huhu..Ma,
bakal suami kak ngah kerja apa?” soalnya lagi.
“Doktor kalau tak silap.”
“Wow,
doktor tu..hehe..doctor and doctor.
Sweet! Pasangan bahagia gitu”
“Hmm..kalau bab kakak nak kahwin bukan main semangat
kamu iya, kamu itu bila lagi? Manalah
tahu boleh buat dua majlis sekali?”
“Ishh, mak
ni. Mak tahukan Achik tak kan kahwin.”
“Ainaa, tak kanlah mak nak tengok kamu membujang
sampai ke tua, sayang?” ujar Puan Rokiah lagi.
Aku hanya mendiamkan diri. Serius, aku langsung
tiada keinginan untuk melangsungkan perkahwinan dengan mana-mana lelaki. Lelaki
semua sama. Semuanya hanya suka memainkan perasaan perempuan.
“Acik..?” kedengaran suara Puan Rokiah perlahan.
Risau hatinya bila anak gadisnya itu mendiamkan diri.
“Acik tak nak bincang pasal ni lagi? Oh iya, hari ni
ma masak apa? Mesti best kan? Tak sabar acik nak balik rumah makan masakan mak”
Aku cuba mengelak.
Puan Rokiah hanya terdiam.
“Acik..”
“Mak..tolonglah..”
Puan Rokiah hanya mengeluh. Dia faham apa yang dimaksudkan
Ainaa Farhanah itu. Dia sudah tak tahu nak cakap macam mana mengenai jodoh
anaknya itu. Dalam diam Puan Rokiah hanya mendoakan moga hati anaknya itu akan
terbuka juga suatu hari nanti kepada mana-mana lelaki yang sudah termaktub
jodohnya oleh Allah Taala. Amin.
“Okeylah, Acik. Mak banyak lagi kerja ni. Nanti acik
call lain kali lagi iya, sayang?”
ujar Puan Rokiah lemah.
Aku tahu ibuku kecewa. Nada suaranya sahaja sudah
memberitahu semua yang dirasai oleh ibunya itu. Maafkan acik, mak. Acik tak
suka cakap pasal ni. Maafkan achik mak..maaf
sangat-sangat. Hatiku masih sakit bila mengenangkan apa yang telah
berlaku dulu. Aku menggenggam bajuku di dada kuat. Aku mengetap bibirku
perlahan.
“Baik, mak. Nanti kirim salam kat ayah dan adik-adik
lain iya, mak?”
“Insya Allah. Nanti mak sampaikan. Acik jaga diri
baik-baik tau.”
“Insya Allah, mak. Sayang mak. Assalamualaikum.” Aku
memberi salam tanda perpisahan.
Puan Rokiah hanya mengeluh perlahan. Dia hanya
menggelengkan kepalanya bila mengingatkan anaknya yang seorang itu, selalu
mengelak daripada berbual mengenai soal hati dan perasaan. Jauh sekali
membincangkan soal jodoh hidupnya kelak. Jauh di sudut hatinya dia ingin
melihat anaknya bahagia di samping pasangan hidupnya seperti insan lain.
Bahagia bersama suami yang akan melindungi dirinya, menyayanginya, dan
mencintainya buat selama-lamanya. Tetapi jika dilihat dengan reaksi anaknya itu
mungkin harapan dan impiannya untuk melihat anaknya, Ainaa Farhanah berkahwin
sampai bila-bila pun dia tak kan dapat tercapai. Hati anaknya itu masih lagi
keras untuk menerima mana-mana lelaki. Dia sangat kecewa bila mendengar
pengakuan anaknya suatu ketika dahulu yang tak ingin hidup berumah tangga
seperti perempuan yang lain. Terkejut dia dan suaminya mendengar pengakuan
Ainaa Farhanah itu. puas dipujuk, puas dinasihat namun, apa-apa pun tidak
berubah sehingga sekarang anak ketiganya itu sudah menginjak usia 23 tahun.
Sekalipun usia anaknya itu masih muda namun jauh di
dasar hatinya dia menginginkan anaknya bahagia. Memang naluri seorang ibu
sentiasa menginginkan kebahagiaan kepada semua anaknya. Sebab itulah, setiap hari
dan setiap masa dia selalu berdoa moga anaknya itu terbuka hatinya dan menerima
lelaki yang akan menyayanginya sepanjang hidup kelak. Insya Allah.
Puan Rokiah termenung lagi. Fikirannnya terimbau di
saat achik menangis kuat dan mengurungkan dirinya di dalam bilik kerana
peristiwa lampau itu. Seorang ibu yang melihat bagaimana anaknya berubah
menjadi orang lain. Sedih hatinya melihat anaknya ketika itu seolah-olah
meninggalkan mereka sekeluarga walaupun masih hidup di depan mata. Dia tidak
ubah seperti bangkai bernyawa. Jiwanya mati walaupun berjasad. Anaknya tidak
menghiraukan makan minumnya selama beberapa hari dan tidak bersikap ceria
seperti biasa. Demi kasih sayang orang yang terlalu dia hormati dan sayangi, ia
menjadi suatu pengalaman penderitaannya dan kesedihannya yang tidak berbelah
bagi. Anaknya yang dahulu bertukar menjadi seorang yang sangat keras kepala dan
degil selepas peristiwa itu.
Walaupun, anaknya kini kembali ceria namun dia tahu
peristiwa itu tak kan selama-lamanya lenyap daripada pemikiran anak gadisnya
itu kerana dia sangat arif dengan perangai anak gadisnya itu. Puan Rokiah
mengeluh lagi. Dia tak tahu ikhtiar apa lagi yang perlu dilakukan olehnya sebagai
ibu untuk mengubah pendirian anaknya yang tidak masuk akal itu.
“Acik..acik..sampai bila acik nak terus macam ni?
Mak risau sangat achik.” Perlahan suaranya berbisik.
“Daripada aku terus memikirkan masalah achik ni ada
baiknya aku sambung menyapu sampah kat halaman rumah ni.” Puan Rokiah
meneruskan kerjanya menyapu sampah di ruangan depan rumahnya. Daun-daun kering
yang ada di halaman rumahnya di sapu bersih. Usai dia menyapu daun-daun kering
itu, Puan Rokiah terus mengumpulkannya ke dalam plastik hitam yang lebih besar.
Lalu, dia mengikat kemas dan dia membawa bungkusan sampah itu ke tong sampah di
luar pintu utama rumahnya.
“Selesai pun.” Puan rokiah tersenyum lega kerana
menyelesaikan kerja menyapu sampah di kawasan rumahnya itu. Dia mula merancang menu
untuk memasak tengah hari pula. Belum sempat dia masuk ke halaman rumahnya
tiba-tiba suatu suara memberi salam mula kedengaran.
“Assalamualaikum.” Suara lunak garau seorang lelaki
kedengaran.
Puan Rokiah berpaling. Dahinya mula berkerut
kehairanan melihat gerangan pemuda yang sopan memberi salam dengan sebaris
senyuman yang tidak lekang di wajahnya. Namun, salam itu tetap dijawab
perlahan. Dia cuba berfikir siapakah pemuda yang tiba-tiba hadir di depan
rumahnya kini. Matanya tidak puas melihat lelaki muda itu. Pemuda itu seorang
lelaki yang tinggi lampai, bersusuk tubuh kurus tetapi masih kelihatan sasa dan
kekar, rambutnya unik hitam keperang-perangan, wajahnya matang dan kelihatan
segak walaupun hanya berpakaian kasual.
“Anak ni siapa? Cari siapa iya?” soal Puan Rokiah
setelah berusaha untuk mengingat wajah lelaki muda di depannya ini. Tapi
langsung dia tidak tahu siapa. Langsung dia bertanya soalan itu.
Lelaki muda itu hanya tersenyum manis. Makin lebar
senyumannya. Tercuit hati tua Puan Rokiah melihatnya. Dia yang sudah berusia
boleh cair melihat senyuman anak muda ini apatah lagi kalau perempuan-perempuan
muda seusia atau sebaya lelaki di depannya ini. Agaknya boleh luluh jantung
kalau melihat senyuman manis pemuda ini.
“Maaf, mak cik. Saya datang tanpa diundang. Boleh
saya tahu ini ke rumah Encik Awi Bin Mohd?” soalnya sopan.
Puan Rokiah mengangguk. “A’ah. Betullah itu. Inilah
rumah Encik Awi. Dia suami mak cik. Anak ini siapa? Ada urusan ke dengan dia?”
“Saya Aizriel Danish Bin Kamarul. Kenalan kepada
anak mak cik, Ainaa Farhanah.”
Puan Rokiah terkejut. ‘Kenalan kepada acik?! Siapa
dia ini? Acik ada kawan lelaki?’ desis hatinya. Pelbagai soalan mulai timbul di
fikirannya.
“Saya memang ada urusan penting dengan Encik Awi
tapi bukan dengan Encik Awi seorang aje tapi dengan semua keluarga Encik Awi
termasuklah mak cik sendiri” kata-kata yang keluar dari mulut Aizriel Danish
memeranjatkan lagi Puan Rokiah. Dia kehairanan.
Aizriel Danish hanya tersenyum manis.
No comments:
Post a Comment