BAB
29
Encik Awi sabar menanti gilirannya untuk membuat
urusan bank. Dia meneliti nombor giliran miliknya di tangan. Rasa bosan
menunggu mula merajai hatinya. Dia berusaha untuk terus bersabar menunggu
nombor gilirannya disebut. Tiba-tiba, bunyi kecoh kedengaran di bank tersebut.
Encik Awi melihat sekumpulan lelaki bertopeng memasuki ruangan bank dengan
senapang dan pistol masing-masing.
“Diam semua!!”
Dengan satu teriakan kuat oleh lelaki bertopeng yang
memiliki tubuh yang agak besar menjerit kepada semua orang yang berada di situ
berjaya meriuhkan suasana di bank itu. semua orang kaget melihat sekumpulan
perompak itu. Ada di kalangan orang awam yang cuba untuk melarikan diri tapi
tidak berjaya kerana ada salah seorang perompak itu sempat menahan mereka dan
menghumbankan mereka ke lantai. Serentak itu senapang mereka berada tepat di
muka mereka. Pintu bank itu ditutup kasar oleh salah seorang perompak. Pintu
itu dikunci rapat dengan kunci khas mereka sediakan.
“Jangan bergerak dari tempat duduk kamu semua. Kalau
ada sesiapa yang cuba bertindak sembarangan siaplah korang!!” arah suara itu
lagi.
Tidak semena-mena ketua perompak itu menembak
senapang ke atas. Melalui das tembakan itu mulalah kedengaran tangisan orang
ramai dan jeritan orang ramai. Ada yang menjerit meminta tolong, ada yang
teresak-esak sendirian dan ada juga yang berpelukan sesama sendiri.
Ketua perompak itu tersenyum sinis melihat reaksi
orang ramai. Dia puas melihat raut wajah yang risau dan kesedihan yang terpamer
di wajah masing-masing. Encik Awi beristighfar panjang melihat situasi mereka.
Jantungnya berdegup kuat. Dan semakin kuat. Jauh di sudut hatinya dia berdoa
moga tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
Tidak jauh dari suatu sudut, sepasang mata yang
cukup tenang melihat tindakan para perompak itu. Dia hanya bertindak untuk
memerhatikan situasi ketika itu tanpa membuat sebarang tindakan.
“Aku nak semua berkumpul kat tempat ini. Cepat!!”
Ada yang teragak-agak untuk bergerak tapi tidak lama
kemudian ketua perompak itu menjerit lagi dengan tembakan yang membabi buta. Orang
ramai menjerit lagi.
“Aku kata berkumpul kat sini, kumpul jelah!! Atau
korang nak makan penembak aku ini!! Bodoh!!”
Cepat-cepat mereka bergerak ke tempat itu daripada
terus terkena tembakan perompak itu. Perompak-perompak yang lain mendesak dan
menolak kasar tubuh orang awam supaya bergerak cepat. Encik Awi terkejut.
Debarannya makin kuat dirasakan. Tidak dapat tidak, dia pun turut bergerak ke
tempat rahan ketua perompak itu. Namun, belum sempat dia melangkah tubuh tuanya
ditolak kasar supaya bergerak ke depan dengan lebih cepat. Kuat dan kasar.
Hampir-hampir dia terjelopok ke lantai tapi nasib baik ada tangan gagah milik
seorang pemuda sempat memautnya. Encik Awi menoleh ke arah lelaki yang baik
hati memaut tubuhnya. Wajah pemuda itu awalnya ditutupi topi di kepala langsung
tidak menjejaskan penglihatan Encik Awi yang sedang memerhatikannya. Wajah
pemuda itu kelihatan sangat tenang. Dia hairan melihat wajah setenang itu
dengan situasi yang kalut sebegini.
“Kot iya pun tak payahlah sampai nak tolak orang
tua.” Tenang suara pemuda itu berbicara.
“Kau siapa hah, nak tegur aku?! Kau duduk diam jelah,
bodoh!!” perompak itu baru sahaja ingin memukul kepala pemuda itu dengan
senapangnya tapi tenungan tajam pemuda itu menghentikan tindakan yang
selanjutnya. Renungan tajam itu seakan membawa aura membunuh yang sangat kuat.
Akhirnya, perompak itu mengacukan senapangnya tepat di kepala pemuda itu bagi
menutup rasa gugupnya melihat tenungan lelaki berani itu. Tindakan perompak itu
langsung tidak menimbulkan rasa takut di hati pemuda itu. Apatah lagi untuk
membuatkan dia berubah riak wajahnya.
Encik Awi semakin gugup melihat tindakan lelaki itu.
Janganlah jadi apa-apa. Akhirnya, Encik Awi cuba memegang tangan pemuda itu
daripada bertindak sembarangan. Iyalah, darah orang muda ini masih lagi membara
takut-takutlah dia bertindak membabi buta. Namun, jauh di sudut hatinya dia
takut juga melihat renungan berani lelaki itu sekalipun renungan itu bukan
ditujukan kepadanya. Pegangan tangan Encik Awi itu barulah berjaya menenangkan
lelaki itu. Pemuda itu membalas pegangan lelaki tua di lengannya. Dia tahu
lelaki tua itu bimbang akan dirinya daripada melakukan perkara yang bodoh. Dia
berpaling memandang wajah tua itu lalu mengukir senyuman ikhlas. Encik Awi
tergamam. Barulah dia duduk. Perompak itu sekadar membiarkan lelaki itu lalu
menjauhkan diri ke tempat lain.
“J dan K.. cepat pergi kutip duit kat kaunter itu.
Jangan tinggal sedikit pun.” Arah lelaki bertubuh besar itu lagi.
“Baik bos!” lelaki bertopeng yang digelar J dan H
itu mula bergerak. Dengan guni kain yang bersaiz besar itu mereka ambil
daripada beg dan mereka mula mengugut pekerja bank yang berada di situ supaya
membuka peti simpanan yang berada di bank tersebut. Senapang dan pistol mereka
tidak terlepas daripada tangan mereka.
Perompak-perompak itu memainkan peranan
masing-masing dengan mengambil posisi yang telah dirancang. Ada yang berjaga di
pintu. Ada yang berjaga di tempat orang awam berkumpul dan ada juga yang
melilau memandang keadaan sekeliling. Mereka perlu cepat bertindak sebelum
polis sampai.
Usai mereka mengambil semua duit dan barangan berharga,
mereka cuba meloloskan diri ke tempat yang lebih selamat namun belum sempat
mereka keluar bunyi siren polis mula kedengaran. Speaker yang digunakan oleh
anggota polis juga kedengaran.
“Kami polis! Lebih baik kamu semua menyerah! Kami
dah kepung semua tempat ini!” suara ketua polis. Semua anggota polis mengambil posisi masing-masing.
“Shit!! Macam
mana polis boleh sampai secepat ini. Tak guna!!” ketua perompak mengamuk. Dia
mula bertindak ganas. Beg duit di tangannya digalas ke bahu. Dengan senapang
yang besar itu dia ajukan kepada semua orang tawanan.
“Bos, macam mana ini?”
“Berundur! Berundur! Suruh Jack hantar van ke luar
kawasan bank ni!! Now!!”
Dengan menggunakan alat komunikasi di telinganya J
cepat menghubungi Jack yang berada di luar.
“Cepat keluar!! Kalau korang semua nak selamat, cepat menyerah!” ujar ketua polis lagi.
Sepasang mata laju menterjemah situasi mereka. Dia
mula membuat perkiraan yang strategik untuk menyelamatkan semua tawanan
daripada segala bahaya. Otaknya ligat berfikir. Umpama menggunakan formula
matematik dia cepat mengatur perancangan dalam situasi getir ini.
Tiba-tiba, sebuah van muncul mendadak di luar
kawasan bank tersebut. Empat orang perompak yang bertopeng bertindak pantas
menembak semua anggota polis membabi buta. Ramai polis tercedera tanpa sempat
bertindak. Akhirnya, hanya tinggal beberapa kerat anggota polis yang berada di
situ. Lalu bermulalah acara tembak menembak. Jeritan orang ramai membingitkan
suasana. Sejurus kemudian, ketua perompak memberi isyarat kepada anak buahnya
untuk memasuki ke van mereka itu. J dan K laju menyusup ke van itu dengan
beg-beg yang banyak itu lalu diikuti perompak-perompak yang lain. Keadaan itu
berlaku terlalu pantas.
Namun, semua itu tidak berjalan dengan lancar. Baru
sahaja ketua perompak itu mahu memasuki ke dalam van itu langkahnya terhenti.
Inspektor Kamal pantas menembak bahu ketua perompak itu. Tepat. Walaupun
jaraknya hanya tinggal dalam empat kaki dengan van itu. Ketua perompak itu
cepat membaling beg sandang yang dipenuhi wang itu ke dalam van. Isyarat
matanya menyuruh anak buahnya cepat meninggalkan kawasan itu. Walaupun,
tindakan ketuanya itu membuatkan anak buahnya berat hati untuk bertindak namun,
ketua perompak itu menjerit kuat memaksa anak buahnya pergi dari situ. Jack
cepat memasukkan gear lalu meluncur laju meninggalkan tempat itu. Polis-polis
menembak van itu untuk menghalang mereka tetapi gagal.
Ketua polis Kapten Johan memberi arahan kepada anak
buahnya untuk mengejar van perompak tersebut. Sejurus itu, beberapa kereta
polis bergerak laju mengejar para perompak yang berjaya melarikan diri. Dalam
kekalutan situasi itu, ketua perompak itu mula bertindak memaut seorang tawanan
yang berada berdekatannya.
Malang tidak berbau apabila tawanan itu adalah Encik
Awi sendiri. Tubuh tua itu menggigil berada dalam dakapan kuat ketua perompak
itu. pemuda tadi terkejut. Bagaimana dia boleh terlepas pandang untuk menjaga
lelaki tua yang berada di sampingnya. Dia sendiri tidak sedar bila lelaki tua
itu menjauhi dirinya dari tadi. Mungkin semasa waktu kalut tadi, lelaki tua itu
bertindak untuk melarikan diri. Dia bangun untuk cuba menyelamatkan lelaki tua
itu lagi tetapi…
“Jangan ada sesiapa yang bertindak sembarangan!!
Kalau tak lelaki ini dulu mati kat tangan aku!!” jerit ketua perompak itu.
“Tolong encik. Tolong jangan apa-apa kan saya.” Rayu
Encik Awi.
Ketua perompak itu membengis. Dia memaut leher Encik
Awi dengan senapang yang masih ada di tangan. Namun, dalam diam dia menjerit
kesakitan kerana kesan tembakan yang terkena di bahunya tadi. Rasa sakit masih
terasa di bahu. Namun, dia persetankan semua itu. dia sekarang hanya mahu
menyelamatkan dirinya sahaja. Lelaki yang berada dalam dakapannya dipaut kasar.
Dia tidak pendulikan semua itu. Asal dia selamat.
“Kau diam!! Kalau kau nak selamat kau dengar cakap
aku!! Bodoh!!”
“Baik kamu lepaskan dia. Dia tak ada kena mengena
dengan kamu. Lepaskan dia elok-elok.”
“Kau ingat aku bodoh nak ikut cakap kau” jerit ketua
perompak itu lagi. Dia tahu risiko dia untuk melepaskan diri sangat tipis tapi
itu sahaja cara dia untuk membebaskan diri. Dengan menjadikan tawanan sebagai
alat. ‘Cis, tak guna! Kenapa plan aku tak menjadi?’ dia mnjerit dalam hati.
Setelah lama pemuda itu mendiamkan diri dia mula
bertindak. Dia perlahan-lahan merangkak ke belakang ketua perompak itu di
celah-celah orang ramai. Dia tahu situasinya mengambil risiko namun dia perlu
ambil risiko itu dengan bertindak daripada membiarkan keadaan itu begitu
sahaja. Entah kenapa dia merasakan perlu untuknya menyelamatkan lelaki tua itu.
Rasa perikemanusiaan itu menebal dalam dirinya tambahan dia memilki ilmu
mempertahankan diri yang utuh di dada. Rasa untuk menghulurkan bantuan itu
terlonjak-lonjak demi keselamatan orang ramai bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Anggota polis yang lain setia dengan pistol
masing-masing dengan mengajukan pistol ke perompak terbabit. Mereka tahu dalam
keadaan yang tegang itu risiko untuk menyelamatkan nyawa tawanan adalah sangat
penting.
Ketua perompak yang tidak mempendulikan belakangnya
ketika itu membuatkan kedudukan pemuda itu berpihak kepadanya. Pemuda itu
menyusup ke belakang lalu membelit tangan ketua perompak itu dari belakang.
Serentak itu, senapangnya terjatuh ke tanah. Pegangannya pada Encik Awi juga
terlepas. Encik Awi terkejut dengan tindakan refleks pemuda itu. Semua anggota
polis turut terpana. Mereka juga masih bersiap-siap dengan sebarang kemungkinan
yang bakal berlaku.
Ketua perompak itu kaget tiba-tiba. Dia yang
terlepas pandang dengan keadaan belakang tidak menyangka bahawa akan ada
seseorang yang hanya orang awam biasa bertindak di belakangnya itu. Sebelum
ini, dia hanya berjaga-jaga dengan semua anggota polis. Perkiraannya meleset
sama sekali apabila melihat pemuda biasa menyerangnya. Belum sempat dia
bertindak balas, pemuda berani itu mematahkan kaki lawannya dengan kaki kanan
lalu dia pantas menarik baju lawannya ke belakang. Sebelah tangannya memegang
tangan kanan lawan. Sejurus kemudian, ketua perompak itu terjatuh mendadak ke
lantai. Bunyi kuat kedengaran akibat hentakan kuat tubuh perompak itu jatuh ke
lantai. Encik Awi menutup sebelah matanya umpama dia yang terasa sakit waktu
itu. Teknik judo ‘kosotogari’ dipraktikkan
dalam situasi itu. Usai ketua perompak itu terjatuh, pemuda itu tersenyum sinis
melihat lawannya di tanah.
Tidak lama kemudian, polis datang menyerbu ke arah
pemuda itu. mereka bergegas menggari tangan ketua perompak itu yang seakan-akan
terkejut dengan tindakan refleks pemuda tadi. Kepalanya masih mamai kerana
hentakan tadi. Terus tubuh perompak itu dibangunkan lalu di bawa ke dalam
kereta polis. Dia masih terpinga-pinga ketika itu. Selepas itu, panggilan
telefon daripada salah seorang anggota polis memberitahu van perompak tadi
berjaya ditangkap dan semua perompak berjaya ditahan. Semuanya selamat sekarang.
Ucapan tahniah dan terima kasih diberikan oleh semua
pengawai polis kepada pemuda berani tadi. Sekalipun, dia turut diberi teguran
sedikit dengan tindakan refleksnya yang amat berisiko tadi. Pemuda itu hanya
menggarukan kepalanya yang tidak gatal apabila ditegur. Namun, pujian demi
pujian diperolehinya kerana semangat dan pertolongannya kepada pihak polis yang
ditunjukkan sebentar tadi. Pandangan Encik Awi tertumpu kepada pemuda berani
itu. Hatinya betul-betul terpaut dengan keberanian yang ditunjukkan tadi.
Pertolongan lelaki muda itu betul-betul menyelamatkan nyawanya yang difikirkan
akan berakhir hari ini. Dia betul-betul bersyukur kepada Allah. Dengan
pertolongan Allah yang mengirimkan lelaki itu untuk menyelamatkan nyawanya.
Alhamdulillah. Dari jauh dia memerhatikan lelaki itu. Akhirnya, dia tersenyum.
Kini, dia dirawat di kereta ambulans yang telah dihubungi oleh pihak polis tadi.
Nanti dia akan di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kesan goresan di
lehernya tadi masih terasa perit.
Keadaan kini dalam keadaan terkawal dan selamat.
Namun, dalam deruan nafas lega itu sepasang mata yang penuh dengan rasa benci
terpamer di raut wajah seseorang. Tangannya yang digari digenggam kuat kerana
rasa tidak puas hati yang muncul tiba-tiba. Matanya tajam menikam wajah pemuda
berani yang sedang berbual mesra dengan anggota polis di suatu sudut.
Rancangannya gagal kerana lelaki itu. Mulutnya terkumat-kamit menyumpah lelaki
muda itu.
No comments:
Post a Comment