Nuffnang

Wednesday, January 8, 2014

Bab 6 Harga Sekuntum Cinta

BAB 6
Aizriel Danish melepaskan lelah di sebuah bangku.  Pagi ini sahaja, dia baru selesai membuat senaman lima pusingan di taman rekreaksi yang penuh dengan kuntuman bunga. Tidak cukup itu, Aizriel Danish turut melakukan bangkit tubi dan bangun tubi sebanyak seratus kali. Dia perlu mendapatkan lebih stamina untuk pertandingan judo akan datang.
Badannya kini sudah dibasahi dengan peluh. Tangan Aizriel Danish spontan mengesat peluh yang merencik di dahinya. Tangannya juga mengibas-ngibas baju T-shirt kuning itu. Cepat-cepat dia mengambil tuala untuk mengesat peluhnya itu. Tidak tahan melihat badannya yang terus menerus melekit.
            Usai dia mengesat peluhnya, Aizriel Danish terus mencapai botol air di dalam beg sandangnya. Beberapa teguk air mengalir di alur tengkuknya. Sejuk dan nyaman. Rasa puas dan lega membuatkan dia tersenyum kecil sendirian. Dia memandang dengan penuh minat ke arah kuntuman bunga orkid di hadapannya. Di sebelah bangku yang didudukinya sekarang terdapat kuntuman ros putih dan ros merah jambu yang sangat indah berkembang.
            Serentak itu, angin lembut menyapa tubuhnya yang kehangatan. Aizriel Danish menutup matanya perlahan dan dia cuba menghirup udara yang nyaman itu sepuas-puasnya. Dia cuba menterjemah maksud angin yang menyapa dirinya kini. Rasa rindu mula menggamit sanubarinya. Terus raut wajah mama, papa, Kak Iqa dan satu-satu anak buahnya yang nakal, Haiqal hadir di ingatannya. Serentak itu juga, wajah Dania turut hadir dalam kepalanya. Terus cepat-cepat dia mengikis buang wajah ayu itu dengan segera. Dia sudah tiada apa-apa kaitan dengan gadis itu lagi. Tapi sekali lagi dirinya diganggu dengan kehadiran gadis Russia, Maria yang mula menagih kasihnya. Sungguh dia bosan melayan kerenah wanita itu. Sekali lagi, Aizriel Danish mengeluh berat.   
            Tiba-tiba, Aizriel Danish bangun dari duduknya. Dia malas memikirkan perkara yang bukan-bukan. Daripada dia memikirkan benda yang tidak sepatutnya, terus dia mengambil keputusan untuk praktis dengan lebih gigih latihan judonya. Tangannya mula dikepal lalu bunga judo mula dicorak dengan penuh gaya.
            Bunga judo yang dibukanya itu mampu menarik minat ramai orang yang melihatnya. Langkah kekudanya dikukuhkan lagi bagi mengimbangi tubuhnya yang tinggi lampai itu. dalam masa yang sama, dia juga berlatih seni bela yang lain, seni bela taekwondo. Dengan satu lompatan sahaja dia mampu melompat setinggi-tingginya dengan melayangkan tubuhnya ke udara. Serentak itu, tendangan di udara terbentuk.
            Aizriel Danish sekali lagi membuat gerakan tumbukan yang bertubi-tubi di tanah. Gerakannya makin lama, makin pantas. Tubuhnya yang tegap itu seolah-olah sedang bertarung dengan musuh yang lain. Matanya, tangannya, kakinya serta anggota tubuhnya yang lain seperti diajar untuk peka dengan pelbagai situasi terutamanya pada situasi yang cemas dan genting. Dia sebenarnya memerlukan stamina yang kuat, terutamanya pada pergelangan tangan hingga ke lengan memandangkan seni bela judo memerlukan tenaga yang kuat untuk membaling sekaligus menjatuhkan musuh.
            Akhirnya, bunga judo dan taekwondo yang diaturnya berakhir. Jiwanya kembali tenang. Aizriel Danish mula melangkah ke bangku dia duduki tadi untuk mengambil beg sandangnya dan pulang ke rumah sewanya. Tapi dengan tidak semena-mena Aizriel Danish perasan sesuatu di belakangnya. Aura jahat menyentuh aura kendirinya. Pantas dia mengelak tanpa berpaling ke belakang. Tangannya cepat menangkap tangan penghendap di belakangnya. Namun, penghendap itu laju mengelak dengan memusingkan tangannya agar terlepas daripada pautan Aizriel Danish. Terus sebilah pisau yang berada pada tangan penghendap itu jatuh ke lantai. Jadi terbukti bahawa aura kendirinya mampu menterjemah aura jahat yang ada pada situasinya sekarang.
            Aizriel Danish laju menendang tubuh penghendap itu selepas dia mengetahui pautan kemas pada tangan penghendap terlepas.  Penghendap itu pantas mengelak biarpun dadanya terkena tendangan kuat milik Aizriel Danish. Dia sedikit terbatuk sambil memegang dadanya.
Aizriel Danish merenung tajam tubuh di hadapannya. Daripada apa yang dilihatnya dia tahu bahawa musuhnya itu seorang lelaki kerana lelaki itu juga memiliki tubuh yang tegap sepertinya. Lelaki itu lengkap memakai baju t-shirt berjaket biru gelap dan berseluar sukan. Tapi wajah itu di tutupi dengan topeng muka. Wajah itu hanya mempamerkan sepasang mata yang penuh dengan dendam kesumat. Mata yang turut sama merenung tajam ke arah Aizriel Danish.
Tanpa membuang masa, lelaki itu sekali lagi menyerang Aizriel Danish secara berhadapan. Kali ini Aizriel Danish semakin peka dengan gerakan musuhnya. Dia merenung langkah dan gerakan lelaki bertopeng itu. Lelaki itu cuba menumbuk Aizriel Danish tapi dengan mudah serangan itu dipatahkan. Tendangan padu ditujukan lagi ke arah Aizriel Danish tapi dia pantas mengelak.
Kedengaran keluhan penuh benci keluar daripada mulut lelaki bertopeng itu. Aizriel Danish hanya tersengih. Sinis umpama mengejek lawan. Kali ini Aizriel Danish menyerang musuhnya. Kakinya diangkat tinggi ke tubuh lelaki itu. Lelaki itu mengelak. Tangannya lincah menumbuk bertubi-tubi dan tidak cukup itu dia cuba memecah pertahanan lelaki bertopeng itu.
Musuhnya itu hanya mampu menahan. Kedua-dua tangannya disilangkan di hadapan mukanya. Sedikit demi sedikit, tubuh lelaki itu terundur ke belakang. Setelah melihat potensi lawan, Aizriel Danish cuba menumbuk perut lelaki itu tapi berjaya dielak. Aizriel Danish tersenyum kecil lalu serentak itu dia melompat lalu menendang dari belakang tubuh di depannya itu. Lelaki itu panik dan tendangan itu terkena di kepalanya. Dia sekali lagi jatuh menjunam ke tanah.
Lelaki itu bangun dengan segala kudrat yang ada. Kepalanya sedikit berpinar-pinar akibat tendangan itu. Bahunya terhinjut-hinjut melepaskan lelah yang ada. Tangannya spontan menggosok tengkuknya yang sakit. Terus dia mencerlung tajam raut wajah Aizriel Danish. Aizriel Danish pula memandang sepi melihat musuh itu berdiri.
Perlahan-lahan Aizriel Danish berjalan ke arah lelaki bertopeng itu. Berniat untuk membantu musuh itu berdiri. Gerakan langkah Aizriel Danish yang berjalan itu dipandang lelaki bertopeng itu. Tidak jauh di sudut hatinya dia turut bimbang jika Aizriel Danish tiba-tiba bertindak dengan lebih agreasif terhadapnya. Tapi lain yang terjadi apabila tangan Aizriel Danish terhulur di hadapannya. Tanpa segaris senyuman Aizriel Danish memandangnya. Mata lelaki itu sedikit membulat. Terkejut melihat reaksi Aizriel Danish itu.
Tiba-tiba tubuhnya sedikit menggigil. Tangannya di tanah dikepal kuat. Dia mula hairan kenapa Aizriel Danish bertindak sedemikian. Tidak semena-mena dia cepat melemparkan tanah ke mata Aizriel Danish. Aizriel Danish laju mengelak dengan lengannya. Usai detik itu, dia diam tidak berkutik melihat lelaki itu meninggalkannya tanpa kesan, tanpa bayangan. Semuanya umpama mimpi yang menjengah dirinya buat beberapa ketika. Namun, titisan darah yang terdapat di tanah membuktikan bahawa dia tidak bermimpi. Ya, itulah darah milik lelaki tadi akibat tendangan yang dihadiahkan olehnya.
Aizriel Danish mula berfikir jauh. Keningnya sedikit berkerut apabila dia memikirkan motif lelaki bertopeng itu menyerangnya. Walaupun, dirinya selamat dan tidak tercedera tetapi lelaki itu…
“Kenapa dia serang aku tadi? Apa motif dia buat macam itu? Aku tahu dari seni gerakan mempertahankan diri dia, dia pun ahli kelab judo jugak. Aku pasti itu. Tapi kenapa aku?” persoalan itu berputar-putar di kepalanya. Fikiran Aizriel Danish mulai kusut.

*                       *                        *
 “KAU cakap biar betul, Aizriel? Betul ke ada orang serang kau masa bersenam tadi?” soal Fairus tergesa-gesa. Fairus memandang raut wajah Aizriel Danish yang sunyi sepi membelakanginya. Kepala Aizriel Danish sedikit terangguk-angguk. Fairus kehairanan. Ini bukan soal angguk ke geleng ini. Ini namanya pekak! Tak dengar orang cakap! Kurang asam boi punya kawan! Bukan main aku bimbang pasal dia, dia boleh buat selamba badak dengan aku.
            Melihat reaksi Aizriel Danish yang sepi terus serta merta Fairus mendekati tubuh lelaki itu. Dari belakang Fairus melihat Aizriel Danish yang masih ralit bermain i-pad miliknya. Earphone di telinga Aizriel Danish membangkitkan lagi rasa geram di hati Fairus. Patutlah kepala terhinjut-hinjut rupanya dia ralit mendengar lagu di i-padnya.
            “Ni buat aku bengang ni..” Fairus spontan mencabut earphone sahabatnya itu. Terus ruangan bilik itu dipenuhi dengan lagu Inggeris ‘I can’ nyanyian kumpulan popular Blue. Pantas butang off ditekan oleh Fairus. Huh, ambik kau! Tak bagi perhatian kat aku sangat!
            “Laa..kau ni apahal, Fairus?” lemah suara Aizriel Danish kedengaran. Protes.
            “Apahal kau cakap? Kau sedar tak kau buat sahabat baik kau ni macam tunggul? Aku bukan main risau kat kau, kau dengan selamba badak pasang lagu kuat-kuat kat lubang telinga kau itu. Padan muka kau” luah Fairus geram.
            “Haa..kau nak cakap apa sebenarnya? Cakaplah, aku dengar sekarang” kerusinya berpusing mengadap Fairus kini.
            “Haa, macam itu baru concern sikit pasal aku. Ni tak buat bodoh aje orang cakap.”
            “Cepatlah cakap.”
“Aku tanya. Betul ke kau kena serang masa kau bersenam tadi?”
Aizriel Danish hanya mengangguk lemah. Malas ambil penduli.
“Haa..betul ke? Ya Allah, sahabatku ini dalam bahaya. Kau selamatkanlah sahabatku ini. Kau lindungilah dia, ya Allah.” Fairus menadah tangan ke langit berdoa moga sahabatnya selamat. Bersungguh-sungguh dia berdoa. Reaksi Fairus hanya mengundang ketawa Aizriel Danish.
“Eh..kau ni ketawa kenapa? Bukannya nak aminkan doa aku pohon ini” bahu Aizriel Danish ditepuk perlahan.
“Hahaha..tak adalah. Kau ni risau sangat kenapa? Aku okey jelah. Kan aku dah cakap, aku tak cedera ke apa. Yang cedera itu cuma si pengendap tadi aje. Aku selamat walafiat.” Terang Aizriel Danish sempoi.
“Ishh..kau ni. Ini soal hidup dengan mati kau. Boleh pulak kau buat selamba macam ni. Dibuatnya dia serang kau lagi lepas ni. Siapa yang susah, aku jugak!! Aku ni bukan apa Aizriel, aku ni sayang kau. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Kalau kau sakit ke, cedera ke, benda-benda buruk jadi kat kau aku jugak yang merasa sakit dan sedih”
‘Hmm..dah start dah dia nak emo..’desis hati Aizriel Danish. Dia hanya menongkah dagu melihat tingkah Fairus yang berdrama di depannya.
“Yalah, yalah. Aku paham maksud kau itu. Tak payahlah kau nak berdrama king depan aku ini. Bukan aku cair pun kau buat macam itu.”
Fairus mencebik bosan. Tiba-tiba ingatannya terlintas.
“Kau dah bagi tahu kat parents kau kat Malaysia pasal kau ini?”
“Buat apa nak bagi tahu? Nak suruh diorang fly ke Jerman ni tengok aku okey tak? Baik tak payah cakap” tenang Aizriel Danish menjawab. Dia tenang membelek buku rujukan pengajiannya.
“Isshh..aku bukan nak suruh diorang datang sini. Paling kurang diorang tahu pasal kau. Tapi kau ni pulak buat macam tak ada apa-apa. Kau ini tak reti bahasa ke? Kau itu nak kena bunuh tahu tak? Ada orang berdendam dengan kau sampai nak bunuh kau itu segala.”
“Alah, bukannya aku mati pun sekarang”
“Ya Allah, aku tak tahulah apa dalam kepala otak kau ni, Aizriel. Sabar jelah aku tengok kau ini.”
“Haa..baguslah macam itu. Tak payah kau nak pusing kepala fikir pasal aku.”
“Kau ni Aizriel. Memanglah. Kan ada baiknya kau bagi tahu family kau. Manalah tahu family kau boleh upah bodyguard ke jaga kau. Selamat sikit kau ni.”
“Kau ingat aku ni budak kecik ke nak suruh orang guard aku. Anyway, aku ni lagi suka jaga diri sendiri. Tak payah nak pasang bodyguard ke apa. Aku dah ada judo. Insya Allah aku boleh jaga aku sendiri. Dengan kau sekali aku boleh jaga.”
“Huh, buat penat aku aje gaduh dengan kau ini. Dahlah malas aku layan kau ini”
“Bagus sangatlah itu. Dah chow kau dari bilik aku.” Ujar Aizriel Danish selamba mengusir sahabatnya itu. Sengaja dia menolak tubuh kurus Fairus ke pintu biliknya. Fairus terdorong ke hadapan akibat tolakan tersebut.
“Oh ya, Aizriel. Aku lupa nak bagi tahu kau yang Maria ajak kita pergi dinner malam ni kat Restoran Larke. Kau nak pergi tak?”
Spontan tangan Aizriel Danish terhenti daripada terus menolak tubuh Fairus. Senyuman di bibirnya mati terus.
“Tak nak. Aku nak study malam ni.” Cepat dia memberi jawapan itu.
“Hmm..tolak rezekilah itu. Orang nak belanja mujur tau tak?”
“Tak heranlah aku kalau takat nak isi perut aku. Duit belanja aku banyak lagi tau tak?”
“Aku tahulah kau ni anak orang kaya. Tak payahlah berlagak.”
“Mana ada aku berlagak. Aku cakap perkara yang betul aje.”
“Betul kau tak nak pergi ini? Aku nak call Maria lepas ini”
Aizriel Danish hanya mengangguk.
“Agaknya kau ni ada penyakit gynophobia kot”
“Amboi, sedapnya mulut kau cakap aku ini fobia dengan perempuan, ya? Aku ni normallah tahu tak?”
“Haha..taklah bukan apa. Kau ni macam langsung tak nak dekat dengan perempuan terutamanya si Maria itu. Dia itu cukup pakej tahu tak”
“Aku hanya akan dekat dengan perempuan yang betul-betul aku cintai aje. Yakin bahawa dia itu memang jodoh untuk aku.” Perlahan suara Aizriel Danish kini. Ikhlas kenyataan itu lahir dari lubuk hatinya. Fairus hanya tersenyum kecil melihat Aizriel Danish.
“Gaya macam dah jumpa bidadari hati aje?” seloroh Fairus mengusik rakannya.
“Tak muncul lagilah, beb. Tapi aku yakin dia akan hadir untuk sempurnakan hidup aku ini. Insya Allah.” Aizriel Danish tersenyum lagi. Rindu hatinya kepada gadis yang akan menemani hidupnya sebagai seorang isteri.
“Aku dengar kakak kau dah kenalkan kau dengan seorang perempuan untuk kau, betul ke?”
“Mana kau tahu ini?” kening Aizriel Danish sedikit terjungkit. Kehairanan apabila mengetahui rahsia hidupnya diketahui sahabatnya.
“Kau tak payah nak soroklah. Semua pasal kau aku tahu taulah. Semua dalam tangan aku tau tak? Aku mestilah ada sumber yang boleh dipercayai ini” Fairus sedikit berlagak.
“Hmm..ni mesti mama yang report ini” perlahan nada Aizriel Danish.
“Haa..pandai!”
Aizriel Danish membuat muka bosan.
“Perempuan itu tak nak sebab dia dah berpunya. Dan aku pun tak nak sebab aku tak yakin dia itu untuk aku.”
“Aikk..kenapa pulak?”
“Ishh..kau ini, dia itu tunangan oranglah”
“Ohh..ya ke? Habis itu tak kan kakak kau tak check latar belakang dia dulu belum dia rekomen untuk kau?”
“Entah. Perempuan itu tipu dia. Dia cakap kat kakak aku dia itu single. Arghh, dahlah. Malas aku cakap pasal perempuan itu lagi.” Tingkah Aizriel Danish pantas. Mengelak. Dia pantas terbaring di atas katil lalu mengambil buku untuk di baca.

Fairus memandang sahabatnya itu. Kesian kau, Aizriel. Aku doakan moga kau bertemu jodoh yang sesuai untuk kau. Pasti ada wanita yang betul-betul cintakan kau dan terima kau seadanya. Yakin dengan jodoh yang Allah dah aturkan untuk kau, sahabatku.

No comments:

Post a Comment