Nuffnang

Tuesday, January 28, 2014

Bab 30 Harga Sekuntum Cinta

BAB 30
            Aizriel Danish terkejut. Jantungnya berdebar-debar melihat keadaan sekeliling. Debaran makin terasa apabila dia melihat kawasan yang begitu familiar dengannya walaupun hanya seketika, dia cuba untuk membiasakan diri dengan tempat itu. Tempat tinggal si jantung hatinya! Rumah Ainaa Farhanah!!
            Aizriel Danish menelan liurnya. Rasa macam tersekat. Wajah lelaki di sebelahnya diperhati dalam-dalam. Memang ada iras Ainaa Farhanah! Kenapa dia tak pernah sedar sebelum ini? Dia menggigit bibir. Tiba-tiba, dia mengetuk kepalanya perlahan. Menyesali dengan kekhilafannya.
Kereta yang dipandu lelaki itu membelok di sebuah simpang lalu sekejap sahaja dia sampai di depan rumahnya. Lelaki tua itu memberhentikan keretanya. Mematikan enjin kereta.
“Jemputlah ke rumah pak cik, nak. Silakan.” Senyum lelaki di sebelahnya. Aizriel Danish hanya mengangguk perlahan sambil membalas senyuman. Lelaki itu pun keluar dari perut kereta. Bergegas dia menuju ke pintu rumahnya memanggil-manggil nama isterinya.
“Yah..!! Oh, Yah!! Mana awak ni?! Yahh…”
“Ya, bang. Saya datang ni. Apa kena dengan abang ni? Terjerit terlolong macam ni. Dah tak reti bagi salam dah ke?” bebel Puan Rokiah pada suaminya. Dengan senduk ditangan, apron di tubuhnya, Puan Rokiah berlari-lari anak mendapatkan suaminya yang terjerit-jerit bagai anak kecil itu. Belum sempat dia melanjutkan bebelannya Puan Rokiah terkejut besar. Mana taknya dengan leher yang berbalut macam apa di leher suaminya itu. Terus jatuh senduk di tangannya.
“Ya Allah, abang. Kenapa dengan leher abang ni??” Terus dia membelek leher suaminya itu.
“Kat bank tadi ada rompakan. Abang jadi tebusan diorang tapi tak apalah nanti abang cerita lebih lanjut lepas ni. Apa yang penting sekarang nyawa abang selamat sebab lelaki itulah yang selamatkan abang. Dua kali dia selamatkan abang. Abang betul-betul terhutang nyawa dengan dia. Jadi, abang ajaklah dia datang rumah kita.” Ujar Encik Awi.
“Lelaki mana pulak ni, bang?”
“Itu..” Encik Awi menunjukkan kelibat lelaki yang sedang asyik melihat sekeliling kawasan rumah mereka. Pokok-pokok bunga tanaman Puan Rokiah menarik hatinya untuk melihat. Seukir senyuman terlukis di wajahnya.
Puan Rokiah turut menoleh ke arah yang ditunjukkan suaminya. Matanya mengecil untuk mengenali kelibat lelaki itu.
“Hah..abang!! Dialah lelaki yang nak jumpa abang hari itu!” jerit Puan Rokiah. Terkejut. Suaminya di sebelah turut terkejut dengan kenyataan isteri kesayangannya.
Jeritan Puan Rokiah itu juga mengejutkan Aizriel Danish. Dia berpaling. Hanya sebaris senyuman mampu diberikan.
“Assalamualaikum, mak cik. Tak sangka saya boleh jumpa mak cik lagi.”
 Pasangan suami isteri itu terpana. Tiada kata yang mampu dikeluarkan saat ini.

       *                                  *                                 *
“JEMPUTLAH minum, nak. Jangan malu-malu.” Ujar Puan Rokiah menghidangkan minuman di atas meja.
“Terima kasih mak cik.”
“Jadi rupanya kamulah yang nak jumpa pak cik hari itu?” soal Encik Awi tidak sabar. Sungguh dia tak sangka lelaki muda inilah yang telah menyelamatkan nyawanya dalam masa yang sama dia cuba mencari dirinya.
“Ya, pak cik. Sayalah orangnya. Saya sendiri tak sangka yang pak cik ini Encik Awi yang saya cari.” Sopan suara pemuda itu berbicara.
 “Kamu ada urusan apa dengan pak cik, iya? Boleh pak cik tolong?”
“Eh, tak ada apalah yang perlu pak cik tolong. Saya cuma nak kenal pak cik aje..”
“Kamu ini. Tak kan kamu segan dengan pak cik lagi? Pak cik yang patut segan dengan kamu sebenarnya. Kamu yang dah selamatkan pak cik tadi. Kalau kamu tak ada mungkin nyawa pak cik dah lama tak ada.” Ujar Encik Awi sedikit sebak. Isterinya di sebelah memegang tangan suaminya. Memberi semangat kepada suaminya.
 “Pak cik. Jangan, pak cik. Saya ikhlas tolong pak cik tadi.” Cepat-cepat Aizriel Danish bersuara. Tidak mahu hati tua itu berkecil hati.
“Habis itu. Cakap ajelah. Mana tahu kami boleh tolong. Sebelum ini, kamu ada datang rumah pak cik. Mak cik kamu ini ada cakap kamu ada urusan penting dengan keluarga pak cik. Apa urusan kamu itu? Pak cik ajak kamu datang rumah pak cik ini pun sebab nak ucap terima kasih pada kamu. Pak cik berhutang dengan kamu. Manalah pak cik tahu rupanya kamu yang cari pak cik sebelum ni. Jadi, kalau kamu ada masalah ke Insya Allah, pak cik akan tolong kamu sedaya yang mampu.” Kata Encik Awi lagi.
Aizriel Danish diam mendengar kata-kata lelaki yang dihormatinya. Hatinya mula merasakan debaran untuk memberitahu tujuan asalnya menemui lelaki itu. Sungguhpun sebelum ini dia bukan main bersemangat tapi sekarang kenapa dia mula berasa begitu berdebar-debar. Dia mula rasa takut jika dia menyuarakan hasrat hatinya orang tua di depannya menyalahertikan maksud hatinya. Apatah lagi kalau suara hatinya ditolak mentah-mentah.
Lama dia mendiamkan diri.
“Kamu ni kenapa diam? Oh ya, apa nama kamu iya. Lupa pulak nak tanya. Apa patut pak cik panggil kamu ni?”
“Erm..saya Aizriel Danish Kamarul. Pak cik boleh panggil saya Aizriel.”
“Oh..Aizriel. Dah, kamu tak nak cakap ke apa urusan kamu cari pak cik?” soal Encik Awi lagi.
“Tak payahlah kamu malu-malu, Aizriel. Kami ni bukan manusia makan orang. Kami makan nasi. Jadi, kamu tak payah takutlah dengan kami ini. Kami tak kan makan kamunya” sampuk Puan Rokiah setelah lama mendiamkan diri. Dia jadi tidak sabar untuk mendengar urusan penting Aizriel Danish sebelum ini.
“Ishh..awak ni. Ada pulak cakap macam itu. Kalau awak itu makan orang, saya pun tak berani nak dekat dengan awak tau, Yah.” Encik Awi mengengsot kedudukannya sedikit. Cuba menjauhi isterinya.
“Abang ni. Saya bergurau jelah. Yang abang jauh dari saya ni kenapa? Abang ingat saya betul-betul makan orang iya?”
“Dah kamu cakap macam itu. takut jugaklah saya kalau isteri saya yang saya sayang selama ni manusia kanibal”
“Abang ni. Kot iya pun janganlah usik saya depan tetamu. Malu saya dengan Aizriel itu” cubit Puan Rokiah pada lengan isterinya.
Aizriel Danish hanya ketawa kecil melihat telatah suami isteri itu.
“Hah..kalau yang ini saya penuh yakin dan percaya yang isteri saya ni seekor ketam berbisa!” usik Encik Awi lagi. Makin ligat dia mengusik isterinya.
“Abang ni. Tak bagi chance lagsung kat saya.”
“Dah awak cubit saya macam itu.” akhirnya ketawa mereka bertiga terburai. Senang.
Aizriel Danish berasa sedikit lega daripada tertekan sebelum ini. Entah kenapa dia gembira berada di dalam keluarga Ainaa Farhanah ini. Akhirnya, dia menarik nafas perlahan-lahan. Bertekad untuk memberitahu hasrat hatinya.
“Sebenarnya pak cik, mak cik, saya datang sebelum ni sebab nak mintak izin pak cik dan mak cik serta semua keluarga pak cik nak melamar Ainaa Farhanah, anak perempuan pak cik, mak cik. Saya ikhlas nak jadikan dia sebagai isteri saya. Pendamping hidup saya. Bidadari dunia saya dan Insya Allah bidadari saya di akhirat kelak. Jadi saya nak mintak izin dan restu pak cik dan mak cik dulu.” Ujar Aizriel Danish dengan penuh keyakinan. Hatinya tekad untuk memperisterikan Ainaa Farhanah. Setekad itulah dia menyuarakan hasrat hati yang cuba diluahkan di depan ibu bapa Ainaa Farhanah, perempuan yang dicintainya dalam diam.
Suasana senyap. Diam dan tenang. Hanya bunyi kipas sahaja yang kedengaran di ruang tamu rumah kediaman Encik Awi itu. Kelihatan pasangan suami isteri itu terkejut mendengar luahan hati pemuda di depannya itu. Lama mereka berdua diam membisu. Aizriel Danish memerhatikan perubahan kedua-dua wajah di depannya. Dia kaget.
Puan Rokiah ternganga.
Encik Awi terkebil-kebil melihat raut wajah pemuda di depannya.
Aizriel Danish kini seakan-akan tahu jawapan kedua-dua orang tua di hadapannya. 
“Ermm…saya..saya.. Erm..kalau pak cik dan mak cik tak setuju, saya..” tergagap-gagap Aizriel Danish cuba menutup rasa kecewa di hatinya.
“Kami setuju!!” jerit Encik Awi dan Puan Rokiah serentak.
Terkejut Aizriel Danish mendengarnya. Dia pula yang terkebil-kebil melihat respons drastik pasangan suami isteri itu. Sungguh dia terkejut mendengar jawapan itu.
Encik Awi dan Puan Rokiah berpaling sesama sendiri. Masing-masing menguntumkan senyuman. Akhirnya, mereka berdua mengadu ibu jari masing-masing. Situasi itu tak ubah macam kanak-kanak yang berjaya melakukan sesuatu. Aizriel Danish makin terkejut melihatnya.
“Saya..saya..” Aizriel Danish cuba mengatakan sesuatu.
“Sebenarnya kami okey aje. Tak ada masalah bagi kami. Lagipun, kami ingat dengan perangai Ainaa Farhanah, anak perempuan kami itu macam itu tak akan ada sesiapa yang nak kat dia.” Tambah Encik Awi. Dia gembira mendengar luahan hati pemuda yang telah menyelamatkan nyawanya. Sungguh dia tak sangka dengan anugerah Allah berikan kepadanya. Hari ini dia mendapat anugerah bernilai iaitu nyawa yang masih memberikan dia untuk terus hidup dan anugerah bakal menantu yang baik hati untuk anak perempuan kesayangannya. Dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Segala puji-pujian hanya kepada Allah.
“Kami dah lama nantikan saat-saat ini, Aizriel. Saat di mana jodoh untuk achik tiba.”
“Achik?” Aizriel Danish kehairanan.
“Ainaa Farhanah yang kamu gilakan itulah.” Sampuk Encik Awi.
Muka Aizriel Danish kemerah-merahan menahan malu.
“Tapi kamu kenal dia macam mana? Kenapa dia tak pernah bagi tahu pun pasal kamu ini?” soal Puan Rokiah pula.
“Saya kenal dia masa universiti  dia anjurkan program. Saya jadi panel khas untuk ceramah yang dia buat. Ainaa Farhanah jadi AJK program waktu itu. Pertama kali saya jumpa dia, hati dah terpaut pada dia. Sebenarnya, sebelum ini saya dah pernah mimpikan dia dalam istikharah saya buat. Selepas saya jumpa dia pun, saya tetap buat istikharah dan Alhamdulillah hati saya tenang. Saya yakin jodoh saya dengan dia. Mungkin bagi pak cik dan mak cik saya ni agak terburu-buru dalam urusan ini tapi Insya Allah saya yakin dengan ketetapan hati saya ni. Saya jugak yakin ini jawapan daripada Allah bagikan kepada saya.”
“Pak cik faham. Lagipun, benda-benda macam ni kan lebih elok kalau dipercepatkan. Tak macam itu, Yah. Kamu setuju?” dia menyiku perlahan isterinya di sebelah.
Puan Rokiah tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Hatinya terlalu gembira mendengar berita baik ini. Tiada kata-kata yang mampu dia ucapkan.
“Terima kasih mak cik, pak cik. Terima kasih banyak-banyak. Saya..saya tak sangka..” belum ayat Aizriel Danish sempurna Encik Awi cepat menyampuk.
“Tak apa. Kami faham perasaan Aizriel. Kami yang sepatutnya berterima kasih pada Aizriel sebab sudi terima anak perempuan kami. Kami bersyukur sangat sebab kamu sudi terima anak perempuan kami itu.”
“Tak pak cik, saya yang patut berterima kasih kepada pak cik dan mak cik sebab sudi terima saya. Cuma sekarang saya minta izin pak cik, mak cik untuk dekat dengan anak pak cik dan mak cik” sopan Aizriel Danish bertutur.
Encik Awi hanya mengangguk perlahan. Sungguh hatinya berasa lapang kini. Namun, Puan Rokiah di sebelah masih lagi mendiankan diri. Hatinya sedikit dipagut rasa bimbang.
“Tapi abang, anak kita itu..” Dia memegang lengan suaminya.
Encik Awi berpaling. Dia akhirnya baru tersedar. Akhirnya, dia turut sama mendiamkan diri.
Aizriel Danish kehairanan.
“Kenapa pak cik?” soalnya bimbang.
“Maafkan pak cik, Ayie. Ainaa ni degil. Dia ni memang keras kepala tapi mungkin peluang kamu nak memperisterikan dia ni susah sikit sebab dia ada satu masalah.”
“Iya Aizriel, Ainaa ni degil. Masalahnya dia ni..” Ujar Puan Rokiah pula.
“Bencikan lelaki.” Sambut Aizriel Danish tenang.
Mata kedua-dua pasangan suami isteri itu membulat. Terkejut kerana Aizriel Danish sudah maklum dengan perkara itu.
“Saya tahu masalah itu mak cik, pak cik. Saiful ada beritahu saya hal itu. Sebab itu saya mintak izin pak cik dan mak cik untuk bagi keizinan dan restu kepada saya rapat dengan Ainaa. Supaya dia yakin saya jodohnya dan terima saya sebagai suami kelak. Saya akan cuba pulihkan Ainaa sekarang. Ainaa sekarang yang masih lagi diselubungi kisah silam. Saya dapat lihat penderitaan dia dari matanya. Saya nampak ada tanda kesedihan dalam hatinya walaupun dia mampu bergelak ketawa riang hari ini. Saya tahu jugak Ainaa sekarang masih lagi tak mampu untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidup dia. Sebab itu saya nak selamatkan dia mak cik, pak cik. Saya ikhlas nak selamatkan dia daripada penderitaan dan kesakitan semua itu.” Terang Aizriel Danish panjang lebar.
Encik Awi dan Puan Rokiah tersenyum bahagia. Hatinya senang mendengar luahan hati Aizriel Danish. Sungguh mereka terharu dengan keprihatinan pemuda itu yang sudi membuka semula hati anak perempuan mereka.
“Maaf kalau pak cik tanya ni Ayie, tapi kami nak tahu perkara sebenar. Kenapa dengan hanya pertemuan pertama sahaja sudah cukup untuk kamu yakin dia itu jodoh kamu? Dan kamu senekad ini nak jadikan Ainaa itu sebagai isteri kamu? Kenapa kamu nak selamatkan dia sedangkan kamu masih lagi belum kenal sangat dengan dia?”
Puan Rokiah hanya mengangguk setuju. Sungguh dia juga masih lagi sedikit ragu dengan kejujuran lelaki muda itu berkenaan rasa suka dan sayangnya kepada anak perempuannya sehingga membuatkan lelaki ini bertindak sejauh itu.
Lama soalan itu tak berjawab. Kedua pasangan suami isteri itu hanya memandang pemuda di hadapannya itu. Aizriel Danish hanya menundukkan kepalanya. Matanya terpejam rapat cuba untuk menjawab dengan baik soalan daripada insan yang penting bagi wanita terpenting dalam hidupnya kini.
Aizriel Danish menarik nafas dalam-dalam sebelum membuka matanya yang redup itu. dengan lafaz bismillah dia menggungkapkan perkataan keramat tersebut.
“Sebab saya sayangkan dia, pak cik, mak cik. Saya juga kadang-kadang terfikir kenapa saya secepat ini buat keputusan penting ini tapi setelah saya solat istikharah saya dapat jawapannya pak cik, mak cik. Akhirnya, daripada jawapan istikharah itu jugaklah membuatkan hati saya yakin dengan kata hati ini. Hati saya tetap kuat mengatakan yang saya ikhlas cintakan dia, Ainaa Farhanah dengan sepenuh hati. Mungkin sebab inilah mendorong saya untuk selamatkan dia.” Kata-kata terakhir Aizriel Danish diakhiri dengan senyuman manis.
Encik Awi dan Puan Rokiah terkedu mendengar kenyataan itu. Sungguh tidak dapat diungkap dengan kata-kata bahawa Allah datangkan penyelamat untuk mereka. Atau lebih tepat lagi, Allah datangkan khas penyelamat ini untuk anaknya, Ainaa Farhanah untuk membebaskan belenggu di hati anak gadisnya. Rasa kesyukuran itu akhirnya bertukar menjadi sayu. Air mata mengalir di tubir mata Puan Rokiah. Encik Awi tidak putus-putus menadah tangan tanda bersyukur kepada Allah. Mereka berharap segala urusan Aizriel Danish selepas ini dipermudahkan dan mereka mendoakan moga jodoh itu benar untuk mereka berdua. Jodoh antara Aizriel Danish dan Ainaa Farhanah.


No comments:

Post a Comment