Rentetan sejarah lalu, Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh orang-orang suruhan tokoh Quraisy mengenai 3 perihal antaranya adalah perihal Ashabul Kahfi. Rasulullah tidak dapat menjawab soalan-soalan mereka pada waktu itu juga. Beberapa hari kemudian wahyu yang mengisahkan sejarah Ashabul Kahfi diturunkan dan Rasulullah dapat menjawab segala pertanyaan yang diajukan oleh mereka.
Ternyata kejadian ini berulang kembali ketika Umar al-Khattab menjadi khalifah. Pada waktu itu, beberapa pendeta Yahudi datang berjumpa dengan Khalifah Umar al-Khattab lalu mereka mengemukakan beberapa pertanyaan.
Salah seorang pendeta itu berkata, "Tanpa mengurangkan rasa hormat saya kepada Khalifah Umar, saya dan beberapa orang kawan saya datang ke sini kerana mahu bertanyakan hal berkaitan sejarah. Sekiranya Khalifah Umar mampu menjawab semua pertanyaan kami, tentu kami tidak segan-segan mengakui agama Islam adalah agama yang lurus dan terpuji serta Muhammad benar-benar utusan Tuhan. Sebaliknya, apabila tuan tidak dapat menjawab semua pertanyaan kami, maka Islam adalah agama yang batil dan Muhammad adalah nabi palsu.
Khalifah Umar menjawab, "Baik, silakan bertanya sesuka hati kalian. Sekiranya saya mampu, pertanyaan kalian akan saya jawab dengan benar. Namun, sekiranya saya tidak dapat menjawabnya, saya akan memanggil saudara saya iaitu Ali Bin Abu Talib. Beliau dianggap sebagai ladang ilmu."
Salah seorang daripada pendeta yang duduk di bahagian depan itu berkata, "Terserah kepada tuan menentukan orang yang akan menjawab pertanyaan kami ini. Kami memerlukan jawapan yang tepat. Pertama, tolong jelaskan perihal induk kunci yang dapat mengunci langit. Kedua, tolong jelaskan kepada kami perihal sebuah kubur yang dapat bergerak bersama penghuni di dalamnya. Ketiga, berikan penjelasan kepada kami berkaitan makhluk ciptaan-Nya yang dapat memberikan peringatan kepada kaum bangsanya tetapi makhluk itu bukan manusia ataupun jin! Keempat, tolong terangkan dengan sejelas-jelasnya kepada kami di sini berkaitan lima jenis makhluk yang dapat hidup di dunia. Tetapi makhluk-makhluk itu tidak berasal daripada kandungan ibunya. Kelimanya, jelaskan kepada kami perihal kicauan burung pada saat sedang berdendang di angkasa. Keenam, apa makna kokok ayam jantan ketika sedang berkokok? Ketujuh, apa makna ringkilan kuda? Apa makna suara katak? Apa makna kicauan burung pipit? Bagaimanakah Khalifah Umar yang dihormati, apakah engkau dapat menjawab semua pertanyaan kami ini?"
Khalifah Umar menundukkan kepalanya seketika. Sejenak kemudian beliau kembali mengangkat kepalanya sambil berkata, "Saya tidak tahu. Saya tidak dapat menjawab semua pertanyaan kalian. Bagi saya, pengakuan ini bukan hal yang memalukan!" ungkap Khalifah Umar berterus terang.
Para pendeta terus berdiri sambil tertawa kegirangan, "Sekarang kami benar-benar bersaksi bahawa agama Islam adalah agama yang batil dan Muhammad adalah seorang nabi yang palsu!"
Perkara itu tidak benar sehingga Salman al-Farisi yang berada dalam majlis itu segera bangkit dari tempat duduknya sambil berkata, "Kalian tunggu sebentar!"
"Kenapa dengan orang itu, kawan-kawan?" tanya salah seorang daripada pendeta yang masih berdiri kegirangan.
"Tidak tahu, kita tunggu sahaja," jawab salah seorang di antara mereka.
"Dia sahabatku yang bernama Salman al-Farisi. Dia mahu menemui Ali Bin Abu Talib supaya beliau dapat menjawab semua pertanyaan kalian," ujar Umar al-Khattab.
Tanpa mempendulikan mereka yang sedang melonjak kegirangan, Salman al-Farisi melangkah dengan terburu-buru menuju ke rumah Ali Bin Abu Talib. Selepas bertemu, Salman al-Farisi menceritakan semua kejadian yang menimpa Khalifah Umar yang dihina begitu sekali oleh para pendeta Yahudi.
Selepas itu, Ali mengajak Salman al-Farisi berjalan dengan cepat menuju ke rumah Khalifah Umar. Ali ketika itu memakai burdah (selembar kain penutup punggung ataupun leher) peninggalan Rasulullah. Umar yang melihat Slaman al-Farisi dan Ali Bin Abu Talib datang terus bangun dari tempat duduknya dan memeluk Ali bin Abu Talib.
"Alhamdulillah, saudara datang tepat pada waktunya, ya Abal Hasan. Namun sebelum itu saya meminta maaf atas kebodohan saya ini kerana tidak dapat menjawab semua pertanyaan mereka," ucap Umar bin Khattab.
"Tidak menjadi hal wahai Amirul Mukminin Khalifah Umar. Mari kita selesaikan bersama-sama," jawab Ali dengan bahasa halus dan tidak merendahkan antara satu sama lain.
Selepas mereka berhadapan dengan para pendeta Yahudi yang sejak tadi menunggu-nuggu jawapan, Ali bin Abu Talib berkata kepada mereka, "Silakan kalian bertanya perkara yang kalian inginkan. Rasulullah sudah mengajarku bermacam-macam ilmu dan setiap bidang ilmu itu mempunyai cabang-cabang ilmu!" ungkap Ali dengan serius. "Tetapi ada syarat untuk kalian."
"Apabila saya dapat menjawab pertanyaan yang kalian ajukan bersesuaian dengan kitab Taurat kalian, mahukah kalian memeluk agama kami dan beriman kepada Allah?"
"Baik. Apabila engkau dapat menjawab semua pertanyaan daripada kami dan jawapannya sesuai dengan kitab Taurat, kami akan beriman kepada Allah dan memeluk agama Islam," jawab pendeta itu.
"Apakah kunci induk yang dapat mengunci pintu-pintu langit?" tanya pendeta itu.
"Kunci induk yang dapat mengunci pintu-pintu langit adalah perbuatan syirik. Ini kerana perbuatan syirik adalah perlakuan yang mendatangkan dosa besar. Itu dosa besar yang sukar diampunkan kecuali dengan bertaubat. Ingat! Dosa syirik itu dapat melenyapkan segala amal sehingga ketika orang itu mahu berbuat baik, pahalanya tidak sampai kepada Allah!" jawab Ali.
"Seperti yang sudah saya katakan tadi bertaubat. Bertaubat dengan sebenar-benarnya taubat, taubat yang didahului dengan ucapan kesaksian tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah rasul Allah!" jawab Ali dengan tegas.
Para pendeta itu saling berpandangan sambil berkata, "Benar juga katanya!" Kemudian mereka meneruskan dengan pertanyaan yang lain, "Terangkanlah kepada kami perihal kuburan yang dapat bergerak bersama penghuninya!"
Ali menjawab, "Itu adalah kubur bernama ikan hiu (kod) yang menelan Nabi Yunus putera Matta alam perutnya, kemudian membawa beliau mengelilingi tujuh samudera!"
"Baik. Berikutnya, tolong jelaskan makhluk yang bukan daripada golongan manusia ataupun jin yang dapat memberikan perintah kepada bangsanya?"
"Semut. Pada saat Nabi Sulaiman iaitu putera Nabi Daud berjalan bersama rombongannya, terdapat semut yang berkata, 'Hai para semut, masuklah kalian semua ke dalam tempat kediaman masing-masing suapaya tidak diinjak-injak oleh kaki Nabi Sulaiman dan pasukannya kerana mereka tidak sedar apabila memijak semut."
"Hebat, fikiranmu memang cerdas! Tetapi masih ada pertanyaan lain yang perlu kamu jawab," kata pendeta itu kepada Ali.
"Silakan!" jawab Ali.
"Apakah kamu mampu menjawab soalan ini? Tolong jelaskan kepada kami lima jenis makhluk yang hidup di atas bumi namun makhluk itu tidak dilahirkan daripada kandungan ibunya?"
"Lima jenis makhluk yang hidup di permukaan bumi tanpa dilahirkan oleh ibunya ialah Adam dan Hawa, domba (kambing kibas) Nabi Ibrahim a.s., unta Nabi Salleh dan tongkat Nabi Musa yang menjelma menjadi seekor ular. Ular yang dapat mengusir makhluk sihir yang sengaja dipanggil oleh Firaun yang ketika itu memusuhi Nabi Musa."
Ternyata selepas Ali selesai menjawab soalan itu, kedua-dua pendeta itu terus berdiri dan bersaksi dengan kalimah syahadah. Namun, salah seorang daripada tiga pendeta itu berdiri dan berkata, "Tunggu! Kalian tidak perlu bersaksi sebelum saya bertanya kepadanya satu hal lagi."
"Baik. Silakan bertanya perkara itu kepada saya. Saya sedia menjawabnya," kata Ali.
"Jelaskan kepada saya sejarah orang-orang zaman dahulu yang sudah mati selama 309 tahun kemudian dihidupkan kembali oleh Tuhan," tanya pendeta itu.
Ali menjawab, "Wahai pendeta Yahudi, dengarlah dengan baik-baik. Saya dapat menjawabnya kerana saya sudah mendapat penerangan daripada Rasulullah. Namun, sebelum itu saya bacakan dahulu ayat-ayat al-Quran dalam surah al-Kahfi yang dapat menjelaskan segala sejarah itu kepada kalian."
"Tidak perlu. Saya sudah banyak mengetahui perihal kitab al- Quran iaitu kitab orang Islam. Sekiranya engkau memang benar-benar mengetahuinya seperti yang dikatakan tadi, iaitu Rasulullah menceritakan kepada engkau dengan mendalam, maka ceritakanlah. Ceritakan nama-nama mereka, nama ayah-ayah mereka, nama kota mereka, raja mereka, tidak ketinggalan nama anjing mereka, nama gunung dan gua mereka. Jelaskan semuanya, jangan tertinggal sedikit dari awal sampai akhir!" pinta pendeta itu sambil menahan emosi.
Selepas mendapat reaksi sedemikian daripada pendeta Yahudi, Ali membetulkan posisi duduknya lalu berkata, "Sejarah berkaitan kisah itu terjadi di negeri Romawi iaitu di kota yang bernama Aphesus yang ketika itu disebut Tarsus. Namun nama kota itu pada zaman dahulu adalah Aphesus atau Ephesus. Selepas Islam datang, kota itu berubah dan diganti dengan nama Tarsus atau Tarse. Kini terletak di wilayah Turki.
Sejarahnya begini, ketika itu penduduk negeri itu iaitu bangsa Aphesus yang sudah bernama Ephesus mempunyai seorang raja yang baik. Masyarakatnya hidup aman dan sejahtera. Namun selepas raja yang baik itu meninggal dunia, Raja Persia yang bernama Diqyanus menyerbu negeri itu bersama pasukan yang besar dan kuat demi menguasainya. Dia seorang yang kafir, zalim dan bongkak. Tidak lama kemudian, akhirnya raja dan bala tenteranya berjaya menguasai Kota Aphesus. Dengan kata lain, dia dapat merampas kota itu dan kemudian membina istana yang megah di situ.
Sampai pada bahagian ini, pendeta itu berdiri dan berkata, "Baik. Selanjutnya, adakah engkau tahu perihal bentuk istana yang dibina oleh raja itu? Jelaskan bentuknya, serambi dan ruangan-ruangan yang ada dalam istana itu."
"Bangunan istana yang dibuat atas perintah raja itu berukuran 1 X 1 farsakh (satu farsakh berukuran 4.8 kilometer persegi, maka lebar istana itu lebih kurang 4.8 X 4.8 kilometer persegi). Tiang-tiang istana itu berjumlah 1000 buah dan semuanya diperbuat daripada emas. Begitu juga lampu-lampu istana yang berjumlah 1000 buah, semuanya dihasilkan daripada emas. Semua lampu itu tergantung pada rantai-rantai yang diperbuat daripada perak. Pada tiap-tiap malam, apinya dinyalakan dengan sejenis minyak yang mengeluarkan bau harum. Di sebelah timur serambi istana terdapat 100 buah lubang cahaya, demikian juga di sebelah baratnya. Hal ini bertujuan supaya matahari selalu menyinari ruangan itu," terang Ali. panjang lebar kepada para pendeta.
Para pendeta yang mendengarnya mengangguk-angguk sambil memandangnya tidak berkelip. Dalam baik, pendeta Yahudi itu berkata, "Memang cerdas fikiran orang ini sehingga dapat menjelaskannya dengan begitu baik. Saya sendiri belum mengetahuinya semapai ke tahap itu. Tetapi orang ini dapat menjelaskannya sejarah itu dengan begitu terperinci. Hebat!"
Ali menjelaskan selanjutnya, "Raja itu membuat sebuah singgahsana daripada emas. Singgahsana itu berukuran 80 X 40 hasta dan dilengkapi 80 buah kerusi yang diperbuat daripada emas. Di situlah tempat duduk para penguasa tinggi yang lain. Raja bersemayam di atas singgahsana dengan mengenakan mahkota kebesaran di atas kepalanya."
"Sebentar!" pendeta menghentikan penjelasan Ali. Pendeta itu bertanya lagi, "Apakah engkau juga tahu, apakah bahan buatan mahkota kebesara raja itu?"
"Mahkota raja itu diperbuat daripada kepingan-kepingan emas, mempunyai sembilan bucu, dan tiap-tiap bucunya bertaburan mutiara yang memantulkan cahaya laksana bintang-bintang menerangi kegelapan malam," jelas Ali kepada pendeta itu.
"Baik. Teruskan!" perintah pendeta itu.
"Perlu kalian ketahui, raja itu mempunyai 50 orang pelayan yang terdiri daripada anak-anak hulubalang. Semua hulubalang yang dipilih oleh raja memakai selempang dan baju sutera berwarna merah. Celana mereka diperbuat daripada sutera yang berwarna hijau. Mereka dihiasi dengan gelang-gelang kaki yang indah dan bergemerlapan. Setiap hulubalang memegang sebuah tongkat yang diperbuat daripada emas. Atas perintah raja, mereka terdiri di belakang raja selagi raja itu duduk di atas singgahsananya.
"Adakah engkau juga mengetahui nama keenam-enam orang kepercayaan raja itu?" tanya pendeta itu.
"Rasulullah memberitahuku nama mereka. Mereka yang berdiri di sebelah kanan raja ialah Tamlikha, Miksalmina dan Mikhaslimina. Manakala yang berdiri di sebelah kiri bernama Martelius, Casitius dan Sidemius."
Ali menyebut nama mereka satu persatu dengan tepat sehingga pendeta Yahudi terkesima dengan kecerdasan Ali.
"Kalian perlu tahu, ketika raja itu duduk di atas singgahsananya, dia selalu dikerumuni oleh semua hulubalang dan para pembesar kerajaan bagi bermesyuarat. Ketika semua sudah berkumpul mengelilingi raja, kelihatan tiga orang pelayan kerajaan akan membawa piala emas masuk mendekati raja. Salah seorang daripada pelayan itu membawa piala emas yang dipenuhi oleh minyak wangi yang asli dan semerbak harum aromanya. Seorang lagi membawa piala perak yang menerbitkan aroma sari bunga. Pelayan yang seterusnya tidak membawa piala kebesaran melainkan burung yang memahami isyarat supaya burung itu terbang mendekati piala yang dibawa oleh kedua-dua pelayan lain.
Selepas pelayan itu memberikan isyarat kepada burung, maka burung itu terbang dan hinggap di atas piala yang berisi wangi-wangian. Burung itu mengibas-ngibaskan sayapnya sehingga habis sari bunga itu dipercikkan ke semua tempat di ruangan itu.
Apabila burung itu selesai mengibas-ngibaskan sayapnya di atas satu piala yang berisi wangi-wangian sari bunga, pelayan yang membawa burung tadi mengeluarkan suara sebagai isyarat sekali lagi. Lalu burung itu terbang dan hinggap di atas piala yang berisi wangi-wangian asli. Sama seperti ketika burung itu hinggap di atas piala yang sebelumnya, burung mengibas-ngibaskan sayapmya sehingga haruman asli di piala itu habis dipercikkan. Kemudian, burung itu terbang dan hinggap di atas mahkota kebesaran raja dan melebarkan kedua-dua sayapnya yang harum semerbak. Burung itu seakan-akan memberikan salam kepada pengawai kerajaan dan semua yang berada di ruangan itu."
Pendeta itu kemudian bertanya, "Berapa lamakah raja itu berkuasa?"
"Raja itu bertakhta di atas singgahsana kekuasaannya selama 30 tahun. Selama dia berkuasa dalam kerajaannya, dia tidak pernah diserang penyakit sama ada penyakit ringan ataupu berat. Badannya sentiasa sihat. Ini menyebabkan raja itu tidak mahu bersyukur atas segala nikmat yang diberikan. Dia fikir dirinya kuat kerana tidak pernah terkena serangan sebarang penyakit seperti manusia lain. Dia menjadi raja yang sombong, derhaka dan zalim. Itu sebabnya dia sanggup mengaku sebagai Tuhan yang harus disembah. Dia berkata, 'Aku adalah Tuhan kalian yang layak disembah. Tidak ada tuhan selain aku. Orang yang tidak mahu menyembah aku pasti mendapat balasan yang pedih iaitu segera aku bunuh. Sebelum itu aku akan menyeksanya. Sebaliknya, orang yang taat menyembah aku, dia akan mendapat hadiah dan hidupnya akan menjadi mulia atas kekuasaan aku.' Demikian ungkapan raja zalim itu kepada rakyatnya. Dia tetap disembah bagi tempoh yang lama. Demikian yang dapat saya jelaskan. Bagaimana, ada pertanyaan lagi?" tanya Ali.
"Setakat ini tiada. Silakan dengan peneranganmu," ujar pendeta itu yang masih duduk tenang.
P/S: Sambungan soal jawab Ali dan pendeta Yahudi akan diteruskan pada Sejarah Ashabul Kahfi (Soal Jawab Saidina Ali Bin Abu Talib & Para Pendeta Yahudi) Siri 2. Insya ALLAH..Dengan izin ALLAH.. :)
No comments:
Post a Comment