Nuffnang

Tuesday, January 14, 2014

Bab 12 Harga Sekuntum Cinta

BAB 12
Aizriel Danish berjalan dengan penuh tenang di tepi sebatang sungai. Airnya jernih sehingga mampu menampakkan anak-anak ikan di dalam sungai itu. Aizriel Danish tersenyum kecil melihat ikan-ikan itu berkejaran. Dia melihat keadaan sekelilingnya. Keadaan di sisinya sangat tenang dan damai. Udara sepoi-sepoi bahasa menampar lembut pipinya. Aizriel Danish memejamkan matanya bagi menghayati suasana yang ada di sampingnya. Sebuah kedamaian dapat dia capai pada masa kini. Rasa syukur mula menggamit di tangkai hatinya. Alhamdulillah ya Allah kerana dia dapat mengalami ketenangan di sini.
            Aizriel Danish sekali lagi menghirup udara itu sedalam-dalamnya. Sungguh dia merasa sangat tenang di sini. Dia memandang ke bawah lagi. Air jernih sungai itu sangat menarik minatnya untuk disentuh. Perlahan-lahan telapak tangannya dihulurkan ke dalam sungai itu. Rasa sejuk air sungai dia rasakan kini. Sebuah senyuman terukir lagi di raut wajahnya.
            Tanpa dia sedari entah sejak bila dia sudah duduk di tebing sungai itu lalu membenamkan kedua-dua belah kakinya di dalam sungai. Masya Allah, dia senang berbuat begitu. Air sungai yang mengalir makin membuatkan Aizriel Danish ralit. Dia menghayati ketenangan itu dengan sesungguhnya. Perlahan-lahan bibirnya menuturkan zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.
            Rasa ralit Aizriel Danish sedikit terganggu dek suatu bunyi yang memenuhi ruang di sekitarnya. Suatu bunyi itu seperti kedengaran mendayu-dayu disertai alunan suara yang sangat merdu.
            Aizriel Danish berpaling ke kiri dan kanan. Melihat siapakah gerangan suara yang merdu itu. Dia mula memfokuskan pendengarannya kali ini. Alunan suara yang dilantunkan makin menarik minat Aizriel Danish untuk makin megetahui siapa pemiliknya? Bunyi suara itu mampu menenangkan hati sesiapa pun yang mendengarnya.
Kini, Aizriel Danish berdiri. Dia mula mengorak langkah ke tempat suara itu berada. Kedengaran suara itu datang dari arah hadapan bertentangan dengan sungai yang dia duduki sekarang. Sepantas kilat dia mengharungi sungai jernih itu. Aizriel Danish mengatur langkahnya lagi. Baru beberapa langkah dia berjalan, Aizriel Danish sedikit terkejut melihat pemandangan di depannya kini.
Sebuah taman yang sangat indah dan cantik terbentang di depan matanya. Taman itu dipenuhi dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni. Tapi dia perasan bahawa di taman itu terdapat banyak bunga lily berwarna-warni iaitu warna putih, purple, merah jambu dan kuning. Taman yang cantik itu turut dihiasi dengan rama-rama yang berterbangan dengan gembiranya.
Aizriel Danish makin teruja dengan suasana di sekelilingnya. Suara yang mandayu-dayu tadi maikn jelas di peluput telinganya. Rupa-rupanya suara itu adalah suara perempuan yang sedang mengalunkan bacaan ayat suci Al-quran. Suara yang merdu itu menjamah hati Aizriel Danish seketika. Dia terpegun. Langkahnya kini perlahan-lahan mendekati suara itu.
Akhirnya, Aizriel Danish menyedari bahawa disebalik bunga-bunga yang mekar berkembang terdapat suatu bentuk tubuh seorang gadis yang membelakanginya. Tangannya automatik mengalih bunga-bunga yang menghalang pandangannya itu. Azriel Danish terus maju ke hadapan. Dia masih belum cukup puas dengan melihat belakang tubuh gadis itu. Dapat dirasakan kini jantungnya makin pantas berdegup. Dia mula menarik nafasnya dalam-dalam. 
Suara gadis itu makin lunak kedengaran ketika dia sedang asyik membacakan ayat-ayat Al-quran itu. Sedang elok Aizriel Danish makin menghampirinya, gadis itu mula menghabiskan ayat yang dibacakan sebelum ini. Tanpa Aizriel Danish berbuat apa-apa, gadis itu berpaling mengadapnya.
Alangkah terkejutnya Aizriel Danish apabila di depannya seorang gadis yang sangat cantik dan rupawan. Aizriel Danish terpaku. Jantungnya makin berdegup pantas lebih daripada denyutan normal. Nafasnya mula terasa tercungap-cungap. Air liurnya ditelan umpama terasa hempedu yang ditelannya. Cukup pahit. Kenapa dengan dirinya ini, dia sendiri tidak tahu.
Aizriel Danish merenung lagi wajah gadis itu. Walaupun seluruh mukanya hanya ditutupi kain sutera hijau muda seperti purdah namun, dengan sepasang mata gadis itu cukup untuk memberitahu keseluruhan wajahnya. Gadis itu memiliki sepasang mata yang sangat cantik. Mata itu berkilauan umpama mutiara di dasar lautan yang tidak pernah dijumpai oleh sesiapa pun. Cukup redup, cukup jernih dan cukup menawan. Matanya yang sedikit bulat elok terletak indah bersama alis yang sangat cantik. Keningnya terukir cantik seperti diukir oleh pengukir yang sangat terkenal. Di sebalik purdah itu, Aizriel Danish dapat melihat kulit putih kuning milik gadis di depannya kini.
Gadis itu berpakaian jubah putih dan kepalanya dilengkapi selendang labuh berwarna putih ke bawah. Tangan gadis itu memegang mushaf Al-quran yang sangat cantik. Aizriel Danish terpaku melihat gadis di depannya. Matanya tidak lepas-lepas dari memandang mata gadis itu. Gadis itu seperti tidak sanggup bertentang mata dengan Aizriel Danish segera dia menunduk. Aizriel Danish tersedar. Dia sedar dia sudah melampau melihat gadis itu sehingga menghadirkan rasa malu di hatinya.
“Assalamualaikum” Aizriel Danish memulakan bicaranya dengan gadis itu. Dia merasakan wajar dia memulakan dahulu kerana dia adalah lelaki dan gadis itu perempuan.
“Walaikumusalam.” Halus suara gadis itu kedengaran. Dia langsung tidak melihat raut wajah Aizriel Danish. Mungkin kerana malu.
“Boleh saya tahu awak ini siapa?” sopan Aizriel Danish bertanya. Rasa ingin tahu membuak-buak di dadanya menyebabkan dia segera bertanya.   
Gadis itu hanya diam membisu. Dia langsung tidak menjawab apa-apa. Hanya kerlingan matanya sahaja terukir di peluput mata Aizriel Danish kini. Tidak semena-mena, gadis berpurdah itu memberikannya mushaf Al-Quran miliknya kepada Aizriel Danish. Aizriel Danish menyambut perlahan. Tangannya sedikit gementar menyambut Al-Quran itu.
Usai itu, Aizriel Danish ditinggalkan. Gadis itu berundur ke belakang perlahan-lahan. Matanya sedikit terkatup seperti sedang senyum. Aizriel Danish yang melihat sedikit kaget melihat situasi itu. Sungguh hatinya tidak mahu berpisah dengan gadis itu. Rasa sedih mula menggapai di tangkai hati Aizriel Danish. Gadis itu perlahan-perlahan hilang daripada pandangan matanya. Tinggallah Aizriel Danish dengan pelbagai persoalan yang terbit di kepalanya.  

*                       *                        *
AIZRIEL Danish terjaga dari tidurnya. Nafasnya tercungap-cungap menahan lelah. Dia memegang dadanya erat. Jantungnya umpama baru boleh bernafas seperti sedia kala selepas keluar dari tubuh. Peluh mula merencik dari tubuhnya. Perpisahannya dengan gadis yang dimimpikannya sangat memeritkan jiwa lelakinya. Sungguh dia sangat sedih saat gadis itu pergi meninggalkannya. Seakan-akan nyawanya juga turut diragut. Aizriel Danish melihat biliknya yang sedikit gelap dan sunyi itu. Terus matanya tertancap pada sejadah yang tergantung di kerusinya. Segera pandangannya beralih pada Al-quran yang sering menjadi penemannya di kala kesunyian dan kebosanan. Al-quran itu elok berada di meja studynya.
            “Adakah itu tanda jawapan istikharah aku buat selama ini?” soal Aizriel Danish dengan penuh persoalan. Soalan itu tidak mampu dia jawab. Segera dia merebahkan badan di katilnya semula. Matanya terkelip-kelip memandang ke atas syiling. Dia cuba untuk kembali tidur namun gagal.

            Aizriel Danish bangun semula. Dia menggosok-gosok kepalanya yang tidak gatal itu. Tanpa membuang masa, Aizriel Danish segera bangun lalu mengambil wuduk. Dia ingin melakukan solat tahajjud pada malam ini. Dia inginkan ketenangan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Dia juga inginkan kepastian di sebalik mimpinya tadi. Sepasang mata yang redup itu muncul lagi di kepalanya. 

No comments:

Post a Comment