Nuffnang

Thursday, January 2, 2014

PERANAN AKAL MAMPU MEMBENTUK MASYARAKAT YANG BERILMU LUHUR, BERFIKIRAN TERBUKA, BERAKHLAK MULIA DAN BERTAMADUN.

PENGENALAN

Akal merupakan satu anugerah agung Allah berikan kepada manusia. Disebabkan itulah akal memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Menurut pandangan Islam, akal digalakkan untuk mencari bukti dan hujah kewujudan Tuhan dalam kehidupan sehariannya. Walhal menurut pandangan Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Khairul Naim Che Nordin (2012), bersandarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a; yang telah mengatakan bahawa manusia telah diciptakan oleh Allah dengan fitrahnya tersendiri iaitu mereka merupakan hamba Allah dan hanya Dia yang berhak disembah. Oleh itu, mereka diperintahkan oleh para Rasul supaya menjauhi perkara yang boleh melanggar fitrah mereka dalam Islam. Manusia dibezakan dengan makhluk lain melalui kurniaan akal yang memberikan mereka kefahaman, pemikiran, kebebasan untuk berfikir, diberi pilihan untuk memberi pandangan dan perilaku. Jika mereka menggunakan akal dan kefahaman berpandukan fitrah, maka mereka akan berada di ajalan yang lurus seperti yang diterangkan oleh para rasul.
            
     Walau bagaimanapun, penggunaan akal dalam mencari hujah kewujudan Tuhan ini sebenarnya sudah menjadi fitrah manusia itu sendiri mengikut pandangan Dr. Insaf Ramadhan. Beliau telah menjelaskan melalui pandangan al-Ghazali berkenaan fitrah, kewujudan Allah disedari secara yakin oleh semua manusia berasaskan perasaan semula jadi yang dikurniakan Allah kepada mereka. Semua perasaan ini tidak memerlukan pembuktian dan pemikiran untuk menentukan kewujudan sesuatu yang dirasakan ada iaitu Allah s.w.t. oleh itu, ia dirasa oleh semua manusia sama ada kecil, dewasa, seorang yang berilmu atau jahil dan sebagainya. Malahan, tokoh Barat seperti Alvin Plantinga (1932) juga berpendapat yang sama mengenai akal iaitu sudah menjadi fitrah pada diri manusia, dengan mengatakan keyakinan manusia terhadap Tuhan terdapat dalam jiwa manusia tanpa memerlukan dalil akal.
            
        Akal bukan sahaja membolehkan manusia menaakul atau mengingat namun, mampu berfikir. Berfikir inilah yang akan melahirkan pemikiran.  Pemikiran mencetuskan idea, gagasan, andaian, pendapat, analisis, hipotesis, dan teori. Tetapi upaya akal bukanlah segala-galanya dan pancaindera juga memiliki upaya yang terbatas. Oleh itu pemikiran manusia mengenai sesuatu juga adalah terbatas. Disebabkan itulah, manusia tidak mampu untuk menyelesaikan semua persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat dan kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, manusia setiap hari akan belajar untuk berfikir menggunakan akalnya kerana peranannya sebagai khalifah muka bumi Allah menjadikan mereka seorang hamba Allah yang tahu memanfaatkan anugerah Allah melalui penggunaan akal secara maksimum.

PERANAN AKAL
Kata akal berasal dari kata Arab al-‘Aql, yang dalam bentuk kata nama. Al-Qur’an telah membawa bentuk kata kerjanya ‘aqaluuh dalam 1 ayat, ta’qiluun 24 ayat, na’qil 1 ayat, ya’qiluha 1 ayat dan ya’qiluun 22 ayat, kata-kata itu membawa maksud faham dan mengerti. Maka akal merupakan peralatan manusia yang berfungsi untuk membezakan perkara yang betul ataupun salah serta menganalisis sesuatu yang kemampuannya sangat luas.

Menurut Prof. Izutzu, kata ‘aql di zaman jahiliyyah dipakai dalam erti kecerdasan praktis (practical intelligence) yang dalam istilah psikologi modern disebut kecakapan memecahkan masalah (problem-solving capacity). Menurut pendapatnya orang berakal adalah orang yang mempunyai kecekapan untuk menyelesaikan masalah. Walau bagaimanapun, kata ‘aqala mengandung erti mengerti, memahami dan berfikir. Sedangkan Muhammad Abduh berpendapat bahawa akal adalah suatu daya yang hanya dimiliki manusia dan oleh sebab itu akallah yang membezakan manusia daripada makhluk lain.

            Manakala menurut Ibnu Khaldun pula, beliau telah mendefinisikan akal sebagai pemikiran. Berfikir ialah upaya untuk mencapai bayang-bayang di sebalik perasaan dan fungsi akal di dalamnya adalah sebagai pembuat analisa. Namun begitu, pakar teologi Islam telah memberi makna akal sebagai daya untuk memperoleh pengetahuan. Menurut Abu Huzail akal adalah “daya untuk memperoleh pengetahuan dan membuatkan seseorang itu membezakan antara dirinya dengan benda lain.” Akal juga mampu membuat abstraksi benda-benda yang ditangkap melalui pancainderanya. Malah, ahli filosofi Yunani juga berpandangan bahawa akal merupakan salah satu daya dari jiwa yang terdapat dalam diri manusia.

            Manusia diciptakan oleh Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya. Dalam melaksanakan tugas itu, Allah tidak membiarkan manusia tanpa bekal. Allah melengkapinya dengan akal agar mereka memahami semua petunjuk dan ciptaan-Nya. Ia menjadikan akal terbuka untuk mengetahui berbagai masalah, dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Melalui ilmu pengetahuan, manusia mampu memahami berbagai masalah kehidupan dan mencari solusinya. Oleh itu, malaikat dan seluruh makhluk penghuni langit diperintahkan Allah untuk bersujud kepada Adam, nenek moyang manusia, kerena dia telah diberi akal. Semuanya sujud kepada Adam, kecuali Iblis yang sombong. Penghormatan Islam terhadap akal adalah sebuah anugerah kerana akal merupakan sumber pengetahuan.
            Walaupun demikian, dalam memusatkan pemikiran umat Islam khususnya Muhammad Ibn Abd Wahab berpendapat bahawa masalah pertama dalam diri muslim itu ialah masalah tauhid. Beliau mengatakan bahawa Tuhan yang perlu dan harus disembah hanyalah Allah Taala dan orang yang menyembah selain Allah telah menjadi musyrik dan boleh dibunuh. Orang musyrik yang meminta bantuan daripada Syeikh, wali atau kekuasaan ghaib bukan lagi penganut agama tauhid yang murni. Malah, mereka yang berdoa dan bernazar dengan menyebut nama nabi, Syeikh atau malaikat sebagai perantaraan dalam doa adalah dianggap syirik kerana meminta syafaat selain daripada Allah. Akal mereka lebih mengutamakan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam menyebabkan pemikiran mereka sesat dan sempit dalam konteks Islam. Oleh itu, Muhammad Ibn Abd Wahab telah memberi pandangan beliau supaya umat Islam perlu mencari ilmu pengetahuan melalui akal yang dikurniakan Allah dengan sumber yang betul. Beliau menegaskan lagi dengan menyeru umat Islam memperoleh pengetahuan daripada Al-Quran, Hadis, qias dan pandangan orang alim ulama’ yang boleh disandarkan sebagai petunjuk dalam kehidupan seorang hamba Allah yang beribadat kepada-Nya.
            Kita tahu bahawa peranan akal sangat penting dalam mencari bukti kewujudan Allah atau Pencipta yang Esa dan akal inilah memerlukan petunjuk dan kebenaran yang sahih dalam kehidupan manusia. Hal ini jelas membuktikan bahawa akal manusia itu terhad dan terdapat keterbatasan untuk berfikir lebih dalam dan sekaligus menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian. Namun begitu, dalam konteks ini manusia memerlukan wasilah atau penghubung daripada seseorang untuk terus mancapai erti kewujudan tuhan itu sendiri. Maksudnya di sini manusia memerlukan seorang yang menjadi wali Allah atau utusan Allah yang menunjuk arah kepada mereka dalam mendapatkan ilmu pengetahuan yang benar dan luhur daripada tuhan.
Oleh itu, menurut pandangan Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Khairul Naim Che Nordin (2012), akidah Islam terhimpun dari keyakinan kepada rukun iman dan saling berkait. Keimanan kepada para Rasul adalah keyakinan terpenting yang berhubung dengan pengetahuan akidah. Tambahan pula, manusia tidak akan mampu mengetahui secara hakiki ilmu ketuhanan dan hal-hal yang berkaitan dengannya hanya berlandaskan akal dan ilmu yang dimilikinya sahaja. Pengetahuan yang benar tidak mampu dicapai hanya dengan pemikiran manusia yang bersifat sangkaan dan tekaan semata-mata yang tidak membawa kepada ilmu yang bersifat yakin serta tidak mampu dibersihkan daripada kesalahan. Disebabkan itulah menurut Muhammad ‘Uthman Najati (2005), akal memerlukan tunjuk ajar daripada perkhabaran para Rasul yang dilantik oleh Allah secara terpilih melalui penyampaian wahyu kepada mereka dan mencontohi sunnah, amalan, psikologi, pendidikan dan pemikiran yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Ini ditegaskan lagi oleh Yusuf al-Qaradhawi, pemberian hidayah Allah kepada manusia melalui wahyu-Nya merupakan tingkat hidayang yang tertinggi kepada manusia terpilih dan ia juga mengatasi dapatan ilmu melalui akal dan pancaindera yang bersifat terbatas ini. Bahkan persoalan-persoalan yang tidak mampu dijawab oleh manusia khususnya berkenaan hakikat kejadian dan persoalan ketuhanan telah dijelaskan secara panjang lebar oleh Al-Quran dan Hadis. Firman Allah Taala yang memberi maksud:
“Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia-lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah,”lalu terjadilah ia. Firman-Nya itu adalah benar, dan bagi-Nyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala, Dia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia-lah yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya.”
                                                                                              Surah al-An’am (6: 73)
Manakala melalui pandangan Akhmad Taufik (2005), beliau mengatakan bahawa manusia tidak dapat memikirkan Zat Allah yang besar kerana Zat Allah ini adalah lebih besar daripada apa yang terjangkau oleh fikiran manusia. Akal atau pemikiran manusia apabila telah sampai kepada tahap maksimumnya maka terhentilah kemampuannya hingga pada akhirnya mereka akan menemui jalan buntu. Menurut Akhmad Taufik lagi, disebabkan itulah kita dilarang untuk memikirkan Zat Allah kerana ini bukanlah larangan untuk berfikir secara bebas tetapi ia bertujuan untuk menjauhkan kita dari melakukan sesuatu yang akal tidak mampu untuk memikirkannya.

Oleh disebabkan manusia memiliki keterbatasan akal yang terhad, manusia sepatutnya mencari lebih banyak ilmu pengetahuan dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai sesuatu perkara memandangkan akal yang luhur akan terus berfikir untuk mencari hujah yang benar dalam perkara yang mereka ingin tahu. Malah, pemikiran manusia yang berterusan ini pada akhirnya akan melahirkan hasil yang menakjubkan. Hal ini telah dibuktikan oleh kenyataan yang dibuat oleh Prof. Dr. Sidek Baba iaitu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengatakan bahawa walaupun manusia memiliki keterbatasan akal namun, manusia dapat berfikir dan pemikiran manusia terus berkembang menghasilkan ilmu dan kemajuan yang menakjubkan. Malahan, dalam Al-Quran, Allah s.w.t. menyatakan dengan jelas bahawa Allah tidak pernah memberikan sebarang ilmu kepada manusia melainkan sedikit sahaja. Pada akhirnya manusia terus menerus untuk melakukan pengamatan, pencarian, penyelidikan dan melakukan rumusan dan hipotesis supaya makna sesuatu yang dicari dapat ditemui jawapan dan jalan keluarnya. Namun, dalam masa yang sama teori yang bersifat sementara dan relevan pada waktu-waktu tertentu dan didapati tidak relevan pula pada masa yang kemudian. Manusia terus mencari, meneroka, mengkaji dan menyelidik bagi mendapatkan formula-formula baru bagi mengatasi masalah baru yang berbangkit. Kesimpulannya, akal sememangnya terbukti dalam membentuk seorang individu berfikiran terbuka dan bertamadun.

Peranan akal dalam membentuk individu atau masyarakat yang berilmu luhur, berfikiran terbuka, berakhlak mulia dan bertamadun merupakan satu bukti yang pasti. Hal ini demikian ia kerana akal adalah merupakan sumber ketiga dan fitrah yang suci dan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur hawa nafsu yang menjadikan manusia mampu memiliki sifat-sifat atau akhlak yang luhur dan terpuji. Sumber akal yang dimaksudkan di sini ialah sumber ilmu daruri yang diketahui kebenarannya secara mudah oleh manusia tanpa perlu berfikir panjang. Allah Taala sendiri menggalakkan manusia menggunakan akal pemikiran untuk berfikir, menilai dan mengkaji sesuatu perkara.

Manusia yang menggunakan akal mampu menilai perkara yang baik dan buruk dalam dirinya dan ini akan menjadikan ia pendinding dalam melakukan sesuatu perkara. Dalam erti kata yang lain, akal inilah akan berperanan untuk mengukur akan sesuatu kebenaran dan kebatilan. Berpikir dengan menggunakan akal merupakan kewajipan yang mesti dilakukan oleh sesiapa saja yang mengaku Islam. Keimanan seseorang bahkan tidak akan sempurna jika tidak disertai dengan pengetahuan melalui akal fikirannya. Itu sebabnya, Allah sampai menyebut orang yang tidak memanfaatkan akalnya sebagai ‘al an’aam’, yang bermaksud binatang ternakan. Mengapa sebutan Allah begitu keras bagi orang-orang yang tidak menggunakan akal fikirannya? Hal ini kerana golongan ini dianggap telah mengabaikan alat pemisah antara kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan keburukan, kejujuran dan kebohongan, petunjuk dan kesesatan, dan keduniaan dan keakhiratan. Bayangkan sahaja bagaimana jika di dunia ini tidak ada pemilihan yang jelas antara yang benar dan salah, yang baik dan buruk, yang sesaat dan abadi, dan sebagainya. Sudah mesti manusia akan melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsunya tanpa mempendulikan arahan dan perintah Allah serta ajaran agama yang dianutinya dalam kehidupan.
Menurut pandangan Prof. Dr. Sidek Baba lagi, peranan akal juga adalah sebagai alat atau wasilah dan bukannya ghayyah atau matlamat. Sifat alat yang terbatas tetap selamanya terbatas. Inilah yang dimaksudkan dengan akal. Walau bagaimanapu, akal inilah yang akan membantu untuk mencapai matlamat sekiranya pemikiran yang ada membantu akal untuk berkembang secara fitrah. Maklumat yang diterima, data yang diperoleh, fakta yang terkumpul memerlukan analisis supaya hikmah di sebalik kajian dan dapatan menemukan manusia dengan sesuatu yang lebih bermakna. Misalnya, Allah telah menciptakan sesuatu dalam alam ini. Ciptaan-Nya itu terkandung hikmah atau rahsia Allah yang amat menakjubkan. Apabila manusia itu mengkaji sesuatu manusia itu akan mengetahui khasiat dan rahsia kejadian yang diciptakan Tuhan itu malah pengetahuan mereka akan bertambah. Ini sekaligus akan melahirkan masyarakat yang berfikiran luas, mendalam, kritis dan kreatif mengenai sesuatu.
Selain itu, menurut beliau lagi, akal yang didukung oleh pedoman nilai melihat sesuatu atau kajiannya itu lebih daripada itu. Malah, mereka akan mengaitkannya dengan Penciptanya dan inilah yang akan menghubungkan dengan kebaikan dan kesejahteraan. Asas pemikiran sebegini memberikan akal pedoman terhadap sesuatu dan menyebabkan manusia sentiasa merasakan kekerdilan diri dalam memahami sesuatu dan kebesaran Allah dalam menciptakan sesuatu. Hasilnya, lahirlah keimanan yang tinggi dan ketakwaan yang kental.
Selain itu, pandangan seorang penulis blog iaitu Muhammad Abduh Tuasikal telah memberikan ideanya mengenai peranan dan sifat akal itu sendiri. Beliau berpendapat seorang yang cerdas sebenarnya tahu bagaimana cara untuk memposisikan akal. Seseorang itu akan mengerahkan segala usahanya untuk berfikir sesuatu. Akal pada asalnya mampu digunakan untuk merenung dan memahami ayat-ayat Al Qur’an, tetapi akal sahaja tidak mampu untuk berdiri sendiri. Malah, akal sangat memerlukan dalil syar’i (Al Qur’an dan Hadis) sebagai penunjuk jalan. Beliau membuat analoginya sendiri iaitu akal itu ibarat mata. Mata memiliki potensi untuk melihat suatu benda namun, tanpa adanya cahaya, mata tidak dapat melihat apa-apa. Apabila ada cahaya, barulah mata boleh melihat benda dengan jelas. Jadi itulah akal. Akal berfungsi sekiranya ada cahaya Al Qur’an dan As Sunnah atau dalil syar’i. Jika tidak ada cahaya wahyu, sangat mustahil bagi akal untuk melihat dan mengetahui sesuatu.
Ini dibuktikan lagi dalam penulisan buku Pemikiran Tauhid Ibnu Taimiyyah oleh Muhammad Chirzin (1999); penulis menyatakan pandangan Syeikh Islam Ibnu Taimiyah iaitu, “Akal adalah syarat untuk mengetahui sesuatu dan untuk beramal dengan baik dan sempurna. Akal pun akan menyempurnakan ilmu dan amal. Akan tetapi, akal tidaklah mampu berdiri sendiri. Akal bisa berfungsi jika dia memiliki naluri dan kekuatan sebagaimana penglihatan mata yang berfungsi sekiranya ada cahaya. Apabila akal mendapati cahaya iman dan Al Qur’an barulah akal akan seperti mata yang mendapatkan cahaya mentari. Jika bersendirian tanpa cahaya, akal tidak akan mampu melihat atau mengetahui sesuatu.” (Majmu’ Al Fatawa, 3/338-339).
Walhal dalam Islam, ajarannya mewajibkan setiap umat Islam untuk solat lima waktu sehari semalam. Malah dalam solat itu tersebut sebenarnya terungkap segala rahsia untuk melahirkan aras pemikiran yang tinggi dan bermatlamat. Melalui pendapat Muhammad Rusli Amin (2010) mengatakan bahawa niat solat itu sahaja sudah mampu melahirkan pemikiran yang jelas, bermotif dan bermatlamat melalui penggunaan akalnya. Beliau menerangkan dalam karangan bukunya seseorang yang solat lima waktu mempunyai visiualisasi akal untuk memperoleh keredhaan Allah dan syurganya. Jika seseorang itu memprakikkan dalam kehidupannya sudah tentu mampu memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat kerana ia melibatkan visual jangka masa panjang dan jangka masa pendek dalam hidupnya. Bukti ini disahkan lagi oleh pandangan Dr. David J. Schwartz yang menerangkan setiap manusia memiliki dua penglihatan mata dan penglihatan fikiran. Penglihatan fikiran inilah yang sangat penting kerana ia mampu membentuk gambaran masa depan dan ia sangat mempengaruhi kejayaan manusia sama ada dalam kerjaya, kesihatan, kekayaan, kebahagiaan dan sebagainya. Jadi, beruntunglah seseorang itu menggunakan akalnya untuk mencorak masa depannya yang lebih baik.
Peranan akal yang cerdas mampu mencorakkan masyarakat atau individu yang bertamadun tinggi dan berwawasan. Hal ini demikian kerana peranan akal yang mempunyai potensi untuk mencorakkan identiti atau bakat seseorang. Ada seseorang yang memiliki kecerdasan yang istimewa yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kata Dr. Thomas Armstrong, “Boleh jadi orang itu menonjol dalam satu ataupun beberapa jenis kecerdasan. Boleh jadi juga sesetengah kecerdasan yang dimiliki seseorang berkembang pesat manakala lain-lain kecerdasannya pula relatif lemah. Hanya beberapa orang sahaja yang terserlah dalam hampir kesemua kecerdasan seperti Johan Wolfgang Von Geothe: dia penyair, negarawan, ilmuwan dan juga ahli falsafah.
Walau bagaimanapun, Dr. Howard Gardner telah memperkenalkan konsep Kecerdasan Berbilang (Multiple Intelligence) kepada dunia.  Ia merangkumi kecerdasan linguistik, kecerdasan logik, kecerdasan ruang atau kecerdasan gambar, kecerdasan kinestetik jasmani, kecerdasan antara individu, kecerdasan dalam diri dan kecerdasan naturalis. Oleh itu, setelah mengenal dan mengetahui potensi diri atau bakat sama ada pengetahuan maka ciri-ciri kecerdasan itu akan terus berkembang jika seseorang itu meletakkan matlamatnya demi mencapai kejayaan. Ini mampu melahirkan masyarakat yang bertamadun apabila seseorang itu mempunyai matlamat kendiri atau sekelompok itu memiliki matlamat yang sama demi kebaikan bersama.
Akal juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk masyarakat yang maju dalam kelompoknya. Jika diteliti konsep mental yang sihat yang didefinisikan oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO) adalah kemampuan adaptasi seseorang dengan dirinya sendiri dan dengan alam sekitar secara umum, sehingga ia merasakan senang, bahagia, hidup dengan lapang, berperilaku sosial secara normal serta mempu menghadapi dan menerima berbagai kenyataan hidup. Namun, konsep kesihatan mental yang dibentangkan oleh Erich Fromn dalam bukunya pula, adalah bergantung kepada kudrat manusia dan kemahuan manusia yang seringkali menginginkan keperluan nafsunya sentiasa dipenuhi. Walau bagaimanapun, jika keperluan itu semua dituruti bukan bermaksud ia terjamin kesihatan dan kesejahteraan mentalnya. Hal ini kerana keperluan manusia itu sentiasa bertambah dan tidak akan pernah berasa cukup seperti yang dinyatakan lagi oleh tokoh Freud. Namun begitu, konsep kesihatan mental yang diutarakan oleh penulis sebenarnya bergantung kepada kesesuaian kewujudan manusia ketika itu kerana umumnya manusia hidup pada zaman dan budayanya yang tersendiri. Akal yang sihat akan membentuk masyarakat yang aman dan sejahtera kerana mereka akan selalu memikirkan cara untuk mengembangkan pemikiran dan kemajuan masyarakatnya mengikut peredaran zaman semasa. Golongan inilah yang telah mencapai tahap perkembangan kematangan yang dinyatakan oleh Erich Fromn (1995) kerana mereka mempunyai objektif yang tersendiri untuk dicapai.
Akal juga berperanan untuk membentuk modal insan yang sangat diidam-idamkan oleh setiap negara. Rentetan daripada kes jenayah yang semakin meningkat saban tahun seperti yang direkodkan dalam rekod jenayah Malaysia iaitu pada tahun 2005 kes adalah sebanyak 157,459 kes meningkat kepada 672,393 kes pada tahun 2008. Kes-kes ini adalah melibatkan kes rompak, rogol, curi, samun, rompakan bersenjata dan banyak lagi. Oleh itu, Malaysia juga tidak terkecuali untuk menjadikan modal insan sebagai salah satu strategi pembangunannya. Dalam erti kata yang sebenar pembangunan modal insan ini mengambil kira akal pemikiran masyarakat kerana ia memfokuskan manusia yang tinggi ilmu pengetahuan dan nilai moral serta memiliki kemahiran yang tertentu untuk dimanfaatkan. Malahan, dalam mencapai Wawasan 2020, salah satu teras yang ditekankan oleh kerajaan sendiri adalah meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Jelas menunjukkan akal dan pemikiran yang unggul mampu membentuk masyarakat yang berfikiran tajam dan tinggi kepada kemajuan negara.
Namun begitu, dalam konteks kehidupan sebagai seorang pelajar, Prof. Dr. Sidek Baba berhujah dengan menyatakan bahawa akal seorang pelajar yang mempunyai nilai-nilai yang Rabbani akan menghubungkan pemikirannya dengan Allah sekaligus melahirkan kreativiti pemikiran pelajar. Hal ini demikian para remaja seharusnya menggunakan otak kanan dan otak kiri untuk berfikir tidak hanya menggunakan fungsi otak kiri terhadap sesuatu yang berbentuk angka dan potensi menganalisis atau menggunakan otak kanan berfikir secara kreatif namun pedoman berfikir perlu ada. Sumber maklumat dan ilmu tidak hanya bergantung hasil daripada pengalaman manusia dan kreativitinya tetapi mereka perlu merujuk pedoman Al-Quran sebagai sumber perkhabaran, maklumat dan petunjuk supaya pemikiran daripada akal mempunyai pedoman yang betul dalam Islam.

PENUTUP
Secara kesimpulannya, masyarakat yang berilmu luhur, berfikiran terbuka, berakhlak mulia dan bertamadun dapat dilahirkan menerusi peranan akal yang dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Manusia seharusnya menggunakan sepenuhnya anugerah Allah ini dalam kehidupan ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup. Malahan, manusia sepatutnya berusaha sedaya upaya untuk memajukan diri dan tidak hanya bergantung kepada sikap dan sifat bergantung kepada orang lain, ingin cepat kaya dan naik pangkat, malas dan tidak mahu berubah akan menjadi duri dalam daging kepada masyarakat Melayu Islam khususnya. Perkara ini pernah dikritik oleh tokoh cendiakawan Melayu iaitu Za’ba mengatakan bahawa masyarakat Islam ini yang kononnya hanya mengharapkan pertolongan Allah dan pihak kerajaan tanpa ingin berusaha mengubah diri ke arah lebih baik. Faktor kurang pengetahuan dan kesilapan dalam kefahaman qadak dan qadar membuatkan mereka sering mencari alasan di atas nasib yang mereka hadapi. Walhal ketamadunan Islam itu bukanlah datang bergolek dengan sendirinya tetapi muncul daripada pemikiran yang luhur seiring dengan tindakan untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup itu lebih diutamakan dan dipraktikkan. Malahan, ia dinyatakan oleh Za’ba sendiri dalam bukunya masyarakat yang ‘berperangai bergantung pada diri sendiri’ merupakan bangsa yang kuat dan maju.
            Malahan dalam Al-Quran sendiri Allah mengajak umat Islam dan manusia untuk terus menggunakan akal fikirannya untuk memperoleh petunjuk dengan berkreativiti dan bekerja keras sehingga hidup menjadi lebih bermakna. Malahan, Allah mengangkat darjat manusia kerana akalnya. Jelas terbukti betapa pentingnya akal, sampaikan Al-Qur'an menyebutkannya dengan berulang-ulang seperti kalimat “Afalaa ta'qiluun” (apakah kamu tidak berfikir?), “fa'tabiruu ya ulil albab” (hendaklah berfikir wahai orang-orang yang berakal!). Maka berfikirlah menggunakan akal fikiran kerana Allah telah menggelarkan golongan ulul albab iaitu orang yang mampu menggunakan akal sebagai asas untuk berfikir ke arah kebaikan dan kesejahteraan kerana inilah yang akan memandu tugas seorang khalifah di muka bumi Allah untuk membawa kebaikan ke seluruh alam.


RUJUKAN
Creative thinking (2008). Diperoleh pada Oktober 11, 2013 daripada
Creative thinking (2012). Diperoleh pada Oktober 11, 2013 daripada
Erich Fromm (1995), Masyarakat yang sehat. Jakarta: Penerbit Yayasan Obor Indonesia.
Husain Mazhahiri (2001), Membentuk Pribadi Menguatkan Rohani. Jakarta: Penerbit PT Lentera
Basritama.
Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Khairul Naim Che Nordin (2012), Aqidah dan Pembangunan
Modal Insan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Muhammad Abduh Tuasikal (2013), Diperoleh pada Oktober 11, 2013 daripada
Muhammad Chirzin (1999), Pemikiran Tauhid Ibnu Taimiyyah. Yogyakarta: Penerbit PT. Dana
Bhakti Prima Yasa.
Muhammad Rusli Amin (2010), Jika Ingin Berjaya, Bersolatlah. Selangor: PTS Millennia Sdn.
Bhd.
Muhammad ‘Uthman Najati (2005), Psikologi Nabi. Bandung: Penerbit Pustaka Hidayah.
Taufik, Akhmad (2005), Sejarah Pemikiran dan Tokoh Modernisme Islam. Jakarta: Penerbit PT
RajaGrafindo Persada.
Utusan online (2006). Diperoleh pada Oktober 11, 2013 daripada
Za’ba (2007), Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka. 

No comments:

Post a Comment