BAB
30
Aizriel Danish terkejut. Jantungnya
berdebar-debar melihat keadaan sekeliling. Debaran makin terasa apabila dia
melihat kawasan yang begitu familiar dengannya
walaupun hanya seketika, dia cuba untuk membiasakan diri dengan tempat itu.
Tempat tinggal si jantung hatinya! Rumah Ainaa Farhanah!!
Aizriel Danish menelan liurnya. Rasa
macam tersekat. Wajah lelaki di sebelahnya diperhati dalam-dalam. Memang ada
iras Ainaa Farhanah! Kenapa dia tak pernah sedar sebelum ini? Dia menggigit
bibir. Tiba-tiba, dia mengetuk kepalanya perlahan. Menyesali dengan
kekhilafannya.
Kereta yang dipandu lelaki itu membelok di sebuah
simpang lalu sekejap sahaja dia sampai di depan rumahnya. Lelaki tua itu
memberhentikan keretanya. Mematikan enjin kereta.
“Jemputlah ke rumah pak cik, nak. Silakan.” Senyum
lelaki di sebelahnya. Aizriel Danish hanya mengangguk perlahan sambil membalas
senyuman. Lelaki itu pun keluar dari perut kereta. Bergegas dia menuju ke pintu
rumahnya memanggil-manggil nama isterinya.
“Yah..!! Oh, Yah!! Mana awak ni?! Yahh…”
“Ya, bang. Saya datang ni. Apa kena dengan abang ni?
Terjerit terlolong macam ni. Dah tak reti bagi salam dah ke?” bebel Puan Rokiah
pada suaminya. Dengan senduk ditangan, apron di tubuhnya, Puan Rokiah
berlari-lari anak mendapatkan suaminya yang terjerit-jerit bagai anak kecil
itu. Belum sempat dia melanjutkan bebelannya Puan Rokiah terkejut besar. Mana
taknya dengan leher yang berbalut macam apa di leher suaminya itu. Terus jatuh
senduk di tangannya.
“Ya Allah, abang. Kenapa dengan leher abang ni??” Terus
dia membelek leher suaminya itu.
“Kat bank tadi ada rompakan. Abang jadi tebusan
diorang tapi tak apalah nanti abang cerita lebih lanjut lepas ni. Apa yang
penting sekarang nyawa abang selamat sebab lelaki itulah yang selamatkan abang.
Dua kali dia selamatkan abang. Abang betul-betul terhutang nyawa dengan dia. Jadi,
abang ajaklah dia datang rumah kita.” Ujar Encik Awi.
“Lelaki mana pulak ni, bang?”
“Itu..” Encik Awi menunjukkan kelibat lelaki yang
sedang asyik melihat sekeliling kawasan rumah mereka. Pokok-pokok bunga tanaman
Puan Rokiah menarik hatinya untuk melihat. Seukir senyuman terlukis di
wajahnya.
Puan Rokiah turut menoleh ke arah yang ditunjukkan
suaminya. Matanya mengecil untuk mengenali kelibat lelaki itu.
“Hah..abang!! Dialah lelaki yang nak jumpa abang
hari itu!” jerit Puan Rokiah. Terkejut. Suaminya di sebelah turut terkejut
dengan kenyataan isteri kesayangannya.
Jeritan Puan Rokiah itu juga mengejutkan Aizriel
Danish. Dia berpaling. Hanya sebaris senyuman mampu diberikan.
“Assalamualaikum, mak cik. Tak sangka saya boleh
jumpa mak cik lagi.”
Pasangan
suami isteri itu terpana. Tiada kata yang mampu dikeluarkan saat ini.
* * *
“JEMPUTLAH minum, nak. Jangan malu-malu.” Ujar Puan
Rokiah menghidangkan minuman di atas meja.
“Terima kasih mak cik.”
“Jadi rupanya kamulah yang nak jumpa pak cik hari
itu?” soal Encik Awi tidak sabar. Sungguh dia tak sangka lelaki muda inilah
yang telah menyelamatkan nyawanya dalam masa yang sama dia cuba mencari
dirinya.
“Ya, pak cik. Sayalah orangnya. Saya sendiri tak
sangka yang pak cik ini Encik Awi yang saya cari.” Sopan suara pemuda itu
berbicara.
“Kamu ada
urusan apa dengan pak cik, iya? Boleh pak cik tolong?”
“Eh, tak ada apalah yang perlu pak cik tolong. Saya
cuma nak kenal pak cik aje..”
“Kamu ini. Tak kan kamu segan dengan pak cik lagi?
Pak cik yang patut segan dengan kamu sebenarnya. Kamu yang dah selamatkan pak
cik tadi. Kalau kamu tak ada mungkin nyawa pak cik dah lama tak ada.” Ujar
Encik Awi sedikit sebak. Isterinya di sebelah memegang tangan suaminya. Memberi
semangat kepada suaminya.
“Pak cik.
Jangan, pak cik. Saya ikhlas tolong pak cik tadi.” Cepat-cepat Aizriel Danish
bersuara. Tidak mahu hati tua itu berkecil hati.
“Habis itu. Cakap ajelah. Mana tahu kami boleh
tolong. Sebelum ini, kamu ada datang rumah pak cik. Mak cik kamu ini ada cakap
kamu ada urusan penting dengan keluarga pak cik. Apa urusan kamu itu? Pak cik
ajak kamu datang rumah pak cik ini pun sebab nak ucap terima kasih pada kamu.
Pak cik berhutang dengan kamu. Manalah pak cik tahu rupanya kamu yang cari pak
cik sebelum ni. Jadi, kalau kamu ada masalah ke Insya Allah, pak cik akan
tolong kamu sedaya yang mampu.” Kata Encik Awi lagi.
Aizriel Danish diam mendengar kata-kata lelaki yang
dihormatinya. Hatinya mula merasakan debaran untuk memberitahu tujuan asalnya
menemui lelaki itu. Sungguhpun sebelum ini dia bukan main bersemangat tapi
sekarang kenapa dia mula berasa begitu berdebar-debar. Dia mula rasa takut jika
dia menyuarakan hasrat hatinya orang tua di depannya menyalahertikan maksud
hatinya. Apatah lagi kalau suara hatinya ditolak mentah-mentah.
Lama dia mendiamkan diri.
“Kamu ni kenapa diam? Oh ya, apa nama kamu iya. Lupa
pulak nak tanya. Apa patut pak cik panggil kamu ni?”
“Erm..saya Aizriel Danish Kamarul. Pak cik boleh
panggil saya Aizriel.”
“Oh..Aizriel. Dah, kamu tak nak cakap ke apa urusan
kamu cari pak cik?” soal Encik Awi lagi.
“Tak payahlah kamu malu-malu, Aizriel. Kami ni bukan
manusia makan orang. Kami makan nasi. Jadi, kamu tak payah takutlah dengan kami
ini. Kami tak kan makan kamunya” sampuk Puan Rokiah setelah lama mendiamkan
diri. Dia jadi tidak sabar untuk mendengar urusan penting Aizriel Danish
sebelum ini.
“Ishh..awak ni. Ada pulak cakap macam itu. Kalau
awak itu makan orang, saya pun tak berani nak dekat dengan awak tau, Yah.”
Encik Awi mengengsot kedudukannya sedikit. Cuba menjauhi isterinya.
“Abang ni. Saya bergurau jelah. Yang abang jauh dari
saya ni kenapa? Abang ingat saya betul-betul makan orang iya?”
“Dah kamu cakap macam itu. takut jugaklah saya kalau
isteri saya yang saya sayang selama ni manusia kanibal”
“Abang ni. Kot iya pun janganlah usik saya depan
tetamu. Malu saya dengan Aizriel itu” cubit Puan Rokiah pada lengan isterinya.
Aizriel Danish hanya ketawa kecil melihat telatah
suami isteri itu.
“Hah..kalau yang ini saya penuh yakin dan percaya
yang isteri saya ni seekor ketam berbisa!” usik Encik Awi lagi. Makin ligat dia
mengusik isterinya.
“Abang ni. Tak bagi chance lagsung kat saya.”
“Dah awak cubit saya macam itu.” akhirnya ketawa
mereka bertiga terburai. Senang.
Aizriel Danish berasa sedikit lega daripada tertekan
sebelum ini. Entah kenapa dia gembira berada di dalam keluarga Ainaa Farhanah
ini. Akhirnya, dia menarik nafas perlahan-lahan. Bertekad untuk memberitahu
hasrat hatinya.
“Sebenarnya pak cik, mak cik, saya datang sebelum ni
sebab nak mintak izin pak cik dan mak cik serta semua keluarga pak cik nak
melamar Ainaa Farhanah, anak perempuan pak cik, mak cik. Saya ikhlas nak
jadikan dia sebagai isteri saya. Pendamping hidup saya. Bidadari dunia saya dan
Insya Allah bidadari saya di akhirat kelak. Jadi saya nak mintak izin dan restu
pak cik dan mak cik dulu.” Ujar Aizriel Danish dengan penuh keyakinan. Hatinya
tekad untuk memperisterikan Ainaa Farhanah. Setekad itulah dia menyuarakan
hasrat hati yang cuba diluahkan di depan ibu bapa Ainaa Farhanah, perempuan
yang dicintainya dalam diam.
Suasana senyap. Diam dan tenang. Hanya bunyi kipas
sahaja yang kedengaran di ruang tamu rumah kediaman Encik Awi itu. Kelihatan pasangan
suami isteri itu terkejut mendengar luahan hati pemuda di depannya itu. Lama
mereka berdua diam membisu. Aizriel Danish memerhatikan perubahan kedua-dua
wajah di depannya. Dia kaget.
Puan Rokiah ternganga.
Encik Awi terkebil-kebil melihat raut wajah pemuda
di depannya.
Aizriel Danish kini seakan-akan tahu jawapan
kedua-dua orang tua di hadapannya.
“Ermm…saya..saya.. Erm..kalau pak cik dan mak cik
tak setuju, saya..” tergagap-gagap Aizriel Danish cuba menutup rasa kecewa di
hatinya.
“Kami setuju!!” jerit Encik Awi dan Puan Rokiah
serentak.
Terkejut Aizriel Danish mendengarnya. Dia pula yang
terkebil-kebil melihat respons drastik pasangan suami isteri itu. Sungguh dia
terkejut mendengar jawapan itu.
Encik Awi dan Puan Rokiah berpaling sesama sendiri.
Masing-masing menguntumkan senyuman. Akhirnya, mereka berdua mengadu ibu jari
masing-masing. Situasi itu tak ubah macam kanak-kanak yang berjaya melakukan
sesuatu. Aizriel Danish makin terkejut melihatnya.
“Saya..saya..” Aizriel Danish cuba mengatakan
sesuatu.
“Sebenarnya kami okey aje. Tak ada masalah bagi
kami. Lagipun, kami ingat dengan perangai Ainaa Farhanah, anak perempuan kami
itu macam itu tak akan ada sesiapa yang nak kat dia.” Tambah Encik Awi. Dia
gembira mendengar luahan hati pemuda yang telah menyelamatkan nyawanya. Sungguh
dia tak sangka dengan anugerah Allah berikan kepadanya. Hari ini dia mendapat
anugerah bernilai iaitu nyawa yang masih memberikan dia untuk terus hidup dan
anugerah bakal menantu yang baik hati untuk anak perempuan kesayangannya. Dia
memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Segala puji-pujian hanya kepada Allah.
“Kami dah lama nantikan saat-saat ini, Aizriel. Saat
di mana jodoh untuk achik tiba.”
“Achik?” Aizriel Danish kehairanan.
“Ainaa Farhanah yang kamu gilakan itulah.” Sampuk
Encik Awi.
Muka Aizriel Danish kemerah-merahan menahan malu.
“Tapi kamu kenal dia macam mana? Kenapa dia tak
pernah bagi tahu pun pasal kamu ini?” soal Puan Rokiah pula.
“Saya kenal dia masa universiti dia anjurkan program. Saya jadi panel khas
untuk ceramah yang dia buat. Ainaa Farhanah jadi AJK program waktu itu. Pertama
kali saya jumpa dia, hati dah terpaut pada dia. Sebenarnya, sebelum ini saya
dah pernah mimpikan dia dalam istikharah saya buat. Selepas saya jumpa dia pun,
saya tetap buat istikharah dan Alhamdulillah hati saya tenang. Saya yakin jodoh
saya dengan dia. Mungkin bagi pak cik dan mak cik saya ni agak terburu-buru
dalam urusan ini tapi Insya Allah saya yakin dengan ketetapan hati saya ni.
Saya jugak yakin ini jawapan daripada Allah bagikan kepada saya.”
“Pak cik faham. Lagipun, benda-benda macam ni kan
lebih elok kalau dipercepatkan. Tak macam itu, Yah. Kamu setuju?” dia menyiku
perlahan isterinya di sebelah.
Puan Rokiah tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Hatinya
terlalu gembira mendengar berita baik ini. Tiada kata-kata yang mampu dia
ucapkan.
“Terima kasih mak cik, pak cik. Terima kasih
banyak-banyak. Saya..saya tak sangka..” belum ayat Aizriel Danish sempurna
Encik Awi cepat menyampuk.
“Tak apa. Kami faham perasaan Aizriel. Kami yang
sepatutnya berterima kasih pada Aizriel sebab sudi terima anak perempuan kami.
Kami bersyukur sangat sebab kamu sudi terima anak perempuan kami itu.”
“Tak pak cik, saya yang patut berterima kasih kepada
pak cik dan mak cik sebab sudi terima saya. Cuma sekarang saya minta izin pak
cik, mak cik untuk dekat dengan anak pak cik dan mak cik” sopan Aizriel Danish
bertutur.
Encik Awi hanya mengangguk perlahan. Sungguh hatinya
berasa lapang kini. Namun, Puan Rokiah di sebelah masih lagi mendiankan diri.
Hatinya sedikit dipagut rasa bimbang.
“Tapi abang, anak kita itu..” Dia memegang lengan
suaminya.
Encik Awi berpaling. Dia akhirnya baru tersedar. Akhirnya,
dia turut sama mendiamkan diri.
Aizriel Danish kehairanan.
“Kenapa pak cik?” soalnya bimbang.
“Maafkan pak cik, Ayie. Ainaa ni degil. Dia ni
memang keras kepala tapi mungkin peluang kamu nak memperisterikan dia ni susah
sikit sebab dia ada satu masalah.”
“Iya Aizriel, Ainaa ni degil. Masalahnya dia ni..”
Ujar Puan Rokiah pula.
“Bencikan lelaki.” Sambut Aizriel Danish tenang.
Mata kedua-dua pasangan suami isteri itu membulat.
Terkejut kerana Aizriel Danish sudah maklum dengan perkara itu.
“Saya tahu masalah itu mak cik, pak cik. Saiful ada
beritahu saya hal itu. Sebab itu saya mintak izin pak cik dan mak cik untuk
bagi keizinan dan restu kepada saya rapat dengan Ainaa. Supaya dia yakin saya
jodohnya dan terima saya sebagai suami kelak. Saya akan cuba pulihkan Ainaa
sekarang. Ainaa sekarang yang masih lagi diselubungi kisah silam. Saya dapat
lihat penderitaan dia dari matanya. Saya nampak ada tanda kesedihan dalam
hatinya walaupun dia mampu bergelak ketawa riang hari ini. Saya tahu jugak
Ainaa sekarang masih lagi tak mampu untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidup
dia. Sebab itu saya nak selamatkan dia mak cik, pak cik. Saya ikhlas nak
selamatkan dia daripada penderitaan dan kesakitan semua itu.” Terang Aizriel
Danish panjang lebar.
Encik Awi dan Puan Rokiah tersenyum bahagia. Hatinya
senang mendengar luahan hati Aizriel Danish. Sungguh mereka terharu dengan
keprihatinan pemuda itu yang sudi membuka semula hati anak perempuan mereka.
“Maaf kalau pak cik tanya ni Ayie, tapi kami nak
tahu perkara sebenar. Kenapa dengan hanya pertemuan pertama sahaja sudah cukup
untuk kamu yakin dia itu jodoh kamu? Dan kamu senekad ini nak jadikan Ainaa itu
sebagai isteri kamu? Kenapa kamu nak selamatkan dia sedangkan kamu masih lagi
belum kenal sangat dengan dia?”
Puan Rokiah hanya mengangguk setuju. Sungguh dia
juga masih lagi sedikit ragu dengan kejujuran lelaki muda itu berkenaan rasa
suka dan sayangnya kepada anak perempuannya sehingga membuatkan lelaki ini
bertindak sejauh itu.
Lama soalan itu tak berjawab. Kedua pasangan suami
isteri itu hanya memandang pemuda di hadapannya itu. Aizriel Danish hanya
menundukkan kepalanya. Matanya terpejam rapat cuba untuk menjawab dengan baik
soalan daripada insan yang penting bagi wanita terpenting dalam hidupnya kini.
Aizriel Danish menarik nafas dalam-dalam sebelum
membuka matanya yang redup itu. dengan lafaz bismillah dia menggungkapkan
perkataan keramat tersebut.
“Sebab saya sayangkan dia, pak cik, mak cik. Saya
juga kadang-kadang terfikir kenapa saya secepat ini buat keputusan penting ini
tapi setelah saya solat istikharah saya dapat jawapannya pak cik, mak cik.
Akhirnya, daripada jawapan istikharah itu jugaklah membuatkan hati saya yakin
dengan kata hati ini. Hati saya tetap kuat mengatakan yang saya ikhlas cintakan
dia, Ainaa Farhanah dengan sepenuh hati. Mungkin sebab inilah mendorong saya
untuk selamatkan dia.” Kata-kata terakhir Aizriel Danish diakhiri dengan
senyuman manis.
Encik Awi dan Puan Rokiah terkedu mendengar
kenyataan itu. Sungguh tidak dapat diungkap dengan kata-kata bahawa Allah
datangkan penyelamat untuk mereka. Atau lebih tepat lagi, Allah datangkan khas
penyelamat ini untuk anaknya, Ainaa Farhanah untuk membebaskan belenggu di hati
anak gadisnya. Rasa kesyukuran itu akhirnya bertukar menjadi sayu. Air mata
mengalir di tubir mata Puan Rokiah. Encik Awi tidak putus-putus menadah tangan
tanda bersyukur kepada Allah. Mereka berharap segala urusan Aizriel Danish
selepas ini dipermudahkan dan mereka mendoakan moga jodoh itu benar untuk
mereka berdua. Jodoh antara Aizriel Danish dan Ainaa Farhanah.