Nuffnang

Thursday, September 26, 2013

TEORI KONFLIK MENUMPUKAN KEPADA PERSOALAN TENTANG PERSELISIHAN PENDAPAT, PERBALAHAN, KONFLIK DAN LAIN-LAIN.

1.0  PENGENALAN

Teori Konflik merupakan teori alternatif kepada Teori Fungsionalisme Struktural dalam bidang sosiologi. Teori ini menganggap konflik itu merupakan satu aspek utama (fundamental) dalam kehidupan masyarakat dan ini tidak mungkin dapat diatasi semua permasalahan yang berlaku itu. Dari perspektif teori konflik, undang-undang merupakan alat yang sangat penting untuk digunakan oleh kerajaan atau badan berkuasa dalam masyarakat untuk menjamin semua masyarakat tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan institusi utama dalam masyarakat.

            Salah seorang tokoh utama yang menyokong kuat Teori Konflik ini adalah Karl Marx. Pemikir Karl Marx ini sangat berpengaruh dan menjadikan dasar daripada teori konflik ini. Teori ini mula berkembang dan merebak dari tahun 1950an dan 1960an. Selain itu, antara tokoh yang bersetuju dengan teori konflik ini juga adalah Weber, Simmel, Danredolf dan Coser. Setiap daripada mereka mempunyai persepsi masing-masing dalam teori konflik ini.

            Di Malaysia, ketika pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Perdana Menteri Malaysia pertama telah meluahkan rasa gembiranya kerana kejayaan beliau yang mampu menyatupadukan tiga komuniti etnik utama yang berbeza peradaban dan budaya bersama-sama membina negara bangsa yang baru dan maju. Komuniti utama inilah yang terdiri daripada etnik Melayu selaku penduduk asal dan komuniti majoriti di Tanah Melayu, manakala komuniti kedua terbesar ialah komuniti etnik Cina dan diikuti komuniti etnik India, kedua-dua etnik inilah merupakan golongan pendatang pada asalnya.

            Walau bagaimanapun, kerjasama antara kaum ataupun etnik ini yang diharap untuk terus berterusan kembali ‘bergelora’ selepas merdeka kesan daripada perubahan di Persekutuan Tanah Melayu seperti penubuhan Malaysia 1963, penyingkiran Singapura 1965, rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan setiap kali pilihan raya diadakan akan berlaku konflik atau permasalahan.[1] Namun begitu, untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu, suadah menjadi lumrah akan munculnya koflik nilai induk antara komuniti etnik yang berbeza ketika meluahkan pandangan dan mempertahankan rukun teras masing-masing. Sejauhmanakah konflik ini berterusan, ia bergantung pada tahap ancaman dan persaingan yang dihadapi melalui tindakan masing-masing.


2.0  TEORI KONFLIK MENURUT PANDANGAN TOKOH

Menurut Karl Marx, terdapat tiga perkara utama yang harus diketengahkan dalam teori konflik iaitu Teori Kelas, Kaedah Dialectic dan Konsep Alienation. Dalam Teori Kelas, Karl Marx mengatakan bahawa ekonomi merupakan faktor utama atau ‘basic needs’ dalam masyarakat. Namun, faktor-faktor lain seperti politik, agama, dan lain-lain adalah disebut sebagai ‘super structure’ yang bergantung kepada faktor utama tadi.  Menurutnya juga, perkembangan modal yang membawa kepada kekayaan material inilah dapat membebaskan kesempitan hidup manusia. Golongan yang menguasai modal atau kekayaan dipanggil sebagai kelas borjuis manakala golongan yang tidak menguasai modal disebut sebagai kelas proletar (kelas pekerja). Kelas borjuis inilah memperalatkan kelas proletar untuk menambah modal dan kekayaan ini. Akhirnya, kelas proletar ini sedar mereka diperalatkan dan ditindas oleh golongan borjuis (class consciousness) maka wujudnya perasaan kelas (class feeling) dalam diri mereka. Akibatnya, wujud tindakan yang menghapus yang berkelas (class society) kepada masyarakat yang tidak berkelas (classless society).

            Melalui Kaedah Dialectic pula, Marx telah memperluaskan gagasan “dialectic of idea” yang dikemukakan oleh Hegel kepada aspek material yang dikenali sebagai konsep “dialectical materialism”. Menurutnya lagi, manusia tidak akan pernah puas dengan apa yang dimilikinya dan sentiasa berjuang secara berterusan demi memenuhi keperluan baru.

Manakala dari aspek Alienation pula, ia merupakan di mana manusia dikuasai oleh gerak kuasa (force) yang dicipta oleh manusia itu sendiri yang akan berdepan dengan mereka sebagai kuasa-kuasa alien. Sebagai contohnya, wang- yang diciptakan oleh manusia akhirnya menguasai diri mereka sendiri sehingga manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan wang dan kekayaan demi kepentingan mereka sendiri. Akibatnya, fakta yang mengeluarkan kekayaan seseorang itu bergantung pada kuasa wang yang dimilikinya.
Selain itu, terdapat juga dua tokoh pemikir teori konflik yang moden seperti Lewis A. Coser dan Ralf Dahrendorf yang turut mengembangkan teori konflik ini sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, teori konflik ini juga terdapat kelemahannya iaitu teori konflik mengabaikan kestabilan dalam masyarakat dan terlalu menekankan perubahan dan konflik. Walaupun perubahan yang berlaku itu bersifat minor atau kecil.


3.0  SITUASI YANG MENJEJASKAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA
3.1     Konflik hudud antara PAS, MCA dan DAP

Darsawarsa kini, Malaysia dihangatkan dengan isu perdebatan mengenai hukum hudud yang berlaku di kalangan parti politik seperti UMNO, PAS dan DAP. Masing-masing hebat berhujah dengan pendapat masing-masing sehingga berlaku konflik di kalangan kelompok parti politik sekaligus menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat. Konflik ini berlaku apabila berlakunya pertembungan ideologi dan perbezaan agama sehingga menyebabkan pertelingkahan dalam parti politik
        Melalui kenyataan PAS yang sebelum ini ingin menjadikan sebuah negara yang menjalankan hukum hudud di negara Malaysia adalah merupakan sebuah propaganda dan manifesto untuk meraih undi masyarakat sempena Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan dijalankan tidak lama lagi. Impian PAS yang ingin mentadbir negara dengan hukum hudud ini membangkitkan pelbagai spekulasi sama ada parti politik UMNO ataupun DAP. Kedua-dua parti ini seakan-akan menolak apa yang cuba dibawa oleh parti PAS ini.
        Walau bagaimanapun, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam. Beliau mendakwa jika hukum hudud ini dilaksanakan, 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja. Selain itu, Soi Lek juga menyenaraikan pelbagai industri yang bakal terjejas seperti sektor pelancongan dan perkhidmatan yang akan kehilangan pekerjaan. Malahan, beliau turut mengatakan pelabur asing akan meninggalkan Malaysia sekiranya hudud dijalankan.[2] Tindakan beliau ini telah dikecam hebat termasuklah pemimpin PAS dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menteri Besar Selangor yang jarang mengkritik isu sebegini turut menganggapnya melampaui batas. Di samping itu juga, Pemuda PAS telah mendesak Soi Lek untuk memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

        Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan bahawa isu membabitkan agama tidak dibicarakan tanpa kajian dan kefahaman yang tinggi. Beliau turut berkata bahawa pemimpin MCA itu tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan yang sedemikian sedangkan beliau tidak mempunyai kepakaran dalam undang-undang Islam.[3]

        Tambahan pula, manifesto ini juga bukan sahaja ditentang oleh parti politik MCA tetapi juga DAP yang menentang PAS untuk meneruskan hukum hudud ini di negara. Menurut Dr. Mashitah Ibrahim (2012), DAP menentang hasrat PAS kerana matlamat PAS bertentangan dengan semangat dan persefahaman dalam Manifesto Bersama BA 1999. DAP mengatakan bahawa penubuhan negara Islam melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta bercanggah dengan prinsip demokrasi dan hak asasi.[4] Melalui kenyataan ini juga, DAP berusaha untuk membuktikan bahawa mereka menentang bukanlah kerana dasar jawatan tetapi berlandaskan prinsip mereka tersendiri. DAP juga pernah mengingatkan pemimpin Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkenaan hukum hudud terbabit.

        Pertelingkahan dan konflik ini juga terus menerus sehingga parti UMNO turut terkena biasnya. Apabila hukum hudud yang turut dibangkang oleh pemimpin UMNO, PAS telah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO berkeinginan menjadikan Malaysia sebuah negara yang sekular dan tidak mahu memerintah dengan undang-undang Islam. Kenyataan ini akhirnya dibidas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang sekular kerana Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukan ini diperkukuhkan dengan adanya peruntukan lain bagi menjaminnya.[5]

Mohamed Nazri akur akan kenyataan yang dibuat oleh mantan tiga Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang menyebut Malaysia sebuah negara yang sekular dan mengamalkan sistem undang-undang berdasarkan “English Common Law”. Mohamed Nazri turut memberi contoh bahawa negara-negara secular yang lain seperti Amerika Syarikat, India dan Turki jelas memperuntukkan bahawa negara itu adalah negara sekular dalam Perlembagaan di mana sebuah negara sekular tidak mengenal pasti sesuatu agama sebagai agama rasminya tetapi rakyat di negaranya bebas untuk mengamalkan agama masing-masing.

Perbezaan pendapat dan ideologi kelompok parti politik ini telah mengelirukan orang ramai dan inilah yang disebutkan sebagai psikologi dalam politik seperti mana yang diperkatakan oleh Rahman Shaari. Menurut Rahman Shaari (2012), isi sains politik adalah cabang sains sosial yang hanya menunggu seseorang mengatakan sesuatu. Bidang ini tidaklah mudah tetapi asasnya adalah penemuan yang subjektif. Termasuklah mengenai isu perlawanan antara Karpal Singh dengan Nik Aziz Nik Mat dalam hal hukum hudud. Sehinggakan Karpal Singh ingin menyaman fitnah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang dikatakan memfitnahnya yang bukan sahaja menentang hukum hudud bahkan turut menentang Islam. Namun, akibat daripada pertelingkahan hudud inilah, berlakunya rusuhan dan pemberontakan di kalangan pembangkang seperti Bersih dan sebagainya.

Keinginan untuk mentadbir negara sendiri inilah yang telah membawa kepada kemunculan wakil dari komuniti etnik yang tertentu sanggup berusaha bermati-matian untuk mempertahankan ideologi, rukun dan fahaman etnik masing-masing melalui parti politik dan institusi sosial. Apabila berlakunya pertembungan ideologi dan fahaman yang berbeza dengan komuniti etnik yang berlainan, inilah yang akan menimbulkan konflik dan pertelagahan sesama mereka dan tiada titik persamaan yang wujud antara mereka.[6] Ini mungkin berpunca dari perbezaan kelas sosial seperti perbezaan pandangan ketika memberikan persepsi terhadap sesuatu perkara sama ada ia berbentuk pembaharuan ataupun kedatangan etnik pendatang ke tanah air. Contoh yang dapat dilihat selain Malaysia juga ialah negara Amerika Latin dan Singapura.

Selain itu, politik Malaysia juga turut berteraskan kepada etnik dan perkauman masing-masing. Konflik dan pertembungan rukun dan budaya berlaku kerana masing-masing membawa fahaman dan kepentingan etnik yang tersendiri menyebabkan mereka sukar untuk bekerjasama. Menurut Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (1996), ada yang berpendapat bahawa struktur politik yang berteraskan etnik ini tidak menjamin kepada pencapaian keadilan sosial dalam masyarakat.[7] Oleh itu, konflik pertembungan nilai ini memerlukan toleransi semua pihak untuk menyelesaikannya. Kita juga perlu menekankan bahawa kaum bukan Melayu juga sikap live and let live yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia seluruhnya.


3.2 Konflik antara penyokong dan pembangkang mengenai LGBT

Selain daripada isu politik di Malaysia yang mampu melahirkan konflik tetapi isu berkenaan LGBT juga mampu menggoyahkan perpaduan di negara ini. Walaupun aktiviti atau perbuatan ini sangat ditegah dalam Islam namun jika dilihat hari ini gejala LGBT ini makin berleluasa di Malaysia. Ia bukan sahaja melibatkan negeri di Pantai Barat tetapi juga di negeri-negeri Pantai Timur termasuklah di Kelantan. Pendedahan itu yang dibuat oleh Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan mengundang persoalan besar tetapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Kajian sudah membuktikan bahawa golongan gay yang melakukan hubungan intim bersama pasangannya berkemungkinan tinggi untuk mendapat penyakit HIV dan AIDS positif.[8]

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini gejala homoseksual menjadi-jadi. Sebahagian aktiviti golongan itu dilakukan secara berani dan terbuka antaranya menerusi kelab gay dan lesbian. Sememangnya sudah diketahui umum bahawa fenomena LGBT ini sudah menjadi isu global hari ini sehingga ia semakin hebat diperdebatkan di serata dunia. Walau bagaimanapun, pelbagai persepsi atau pandangan mengenai LGBT ini telah banyak menimbulkan konspirasi terhadap masyarakat di dunia sehinggakan negara Malaysia tidak terkecuali terkena akan bahana LGBT ini. Ada yang menyokong pandangan LGBT ini kerana ia merupakan hak asasi manusia yang sudah menjadi persetujuan seluruh negara di dunia namun, ada juga yang membangkang keras gejala yang tidak sihat ini kerana perbuatan ini bercanggah dengan fahaman agama dan budaya serta bertentangan dengan fitrah semulajadi penciptaan manusia itu sendiri.

Malaysia telah digemparkan dengan berita seorang pelajar Malaysia yang dikenali sebagai Alif Alfian Rosli, lelaki gay yang telah hilang di Dublin sebelum ini dijumpai semula dengan pendedahan yang mengejutkan semua pihak dengan pernikahannya berpasangan lelaki.[9] Lelaki itu lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bertanjak boleh melangsungkan perkahwinan itu secara senyap tetapi dia memilih untuk melakukannya secara terbuka. Motif sebenarnya masih belum pasti mengapa dia berbuat sedemikian. Adakah dia ingin mencanangkan kepada dunia, aku gay, aku tidak dibenarkan berkahwin di negara aku sendiri lalu aku berkahwin di negara membenarkan perkahwinan sebegitu dilangsungkan? Persepsi ini telah menimbulkan banyak persoalan apatah lagi dia telah memilih untuk berkahwin di gereja.  Akibatnya, timbul juga satu persoalan penting, apakah agama dianutinya kini?

Apa yang mengejutkan lagi, terdapat pengakuan yang berani telah dikeluarkan dalam akhbar Utusan Online mengatakan bahawa ada ketua pembangkang yang menyokong gerakan LGBT ini di negara kita. Tambahan pula, keberanian NGO memperjuangkan gaya hidup seks songsang sebagaimana penganjuran Seksualiti Merdeka. Ini menyebabkan pandangan masyarakat kita yang mendukung budaya Timur yang murni dan menolak hubungan luar tabii ini sedikit sebanyak memandang rendah golongan ini. Apatah lagi Pesta Gay yang berlangsung baru-baru ini membuatkan ramai pihak semakin keras menolak LGBT ini.

Punca yang dikatakan tercetusnya pergerakan gay khususnya adalah disebabkan pembunuhan Lawrence King (berumur 15 tahun) yang dibunuh oleh rakan sekelasnya, Brandon McInerney (berumur 14 tahun). Lawrence yang bersikap seperti perempuan dan dia mengakui seorang gay telah meluahkan perasaanya kepada Brandon untuk menjadi kekasihnya. Namun, akhirnya dia telah dibunuh kerana pengakuan tersebut. Kisah pembunuhannya telah diperkatan dalam majalah The Advocate (majalah terkenal gay dan lesbian) di United States.[10] Akhirnya, berlakulah pemberontakan golongan gay untuk menuntut bela hak asasi mereka. Namun ada juga yang membangkang keras tuntutan itu dengan pertubuhan kelab di MySpace dan anti-gay video seperti “Homosexual Can’t be Christian”.

Selain itu, di Malaysia juga berlaku perkahwinan antara paderi Malaysia yang bernikah dengan pasangan ‘gay’nya yang turut paderi di Amerika Syarikat. Sepatutnya, penganut Kristian di Malaysia juga perlu bersama-sama membantah isu LGBT ini sebagai tanda pembantahan isu LGBT ini.

Pergerakan LGBT ini makin kukuh apabila mereka menubuhkan kelab mereka sendiri seperti eHarmony.com, MSM, Lesbians Town (LT) dan lain-lain. Dicatatkan bahawa lebih kurang 50 buah negara melayari laman sesawang ini di sleuruh dunia. Di Malaysia, IKIM telah berusaha menubuhkan jawatankuasa khas membincangkan isu LGBT ini dari perspektif undang-undang, sosial, agama dan perubatan.[11] Ia membawa mesej kepada rakyat mengenai pertembungan hak asasi dan kemudharatan perilaku LGBT itu sendiri.  


3.3  Pertelagahan bahasa dan budaya Melayu antara etnik Melayu dan etnik Cina

Pada suatu ketika dahulu sehingga 1980-an, isu berkenaan bahasa dan kebudayaan menjadi isu hangat dalam kalangan kaum. Sampai masanya ia bergantung kepada situasi dan dan keadaan sehingga ia mencapai tahap kemuncak. Persoalan-persoalan yang muncul dalam membangkitkan isu ini tetap menimbulkan ketegangan masih lagi berlaku kerana keraguan mengenai pengekalan identiti kaum masing-masing, pemeliharaan bahasa ibunda dan warisan kebudayaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dan kewibawaan kebudayaan kebangsaaan yang berteraskan warisan kebudayaan rakyat asal serantau.[12]

Walaupun kedudukan Alam Melayu yang dipisahkan dengan pergunungan dan lautan namun komunitinya masih lagi berpegang kepada nilai peradaban yang sama. Mereka berkongsi nilai yang disebut sebagai Melayu dan Kemelayuan-Islam. Pemunggahan identiti dan imej ini boleh difahami dengan merujuk kepada rukun teras yang termaktub dalam peradaban Melayu itu sendiri.[13] Pertama sekali ialah Sistem Adat. Keduanya, bahasa- seluruh masyarakat Melayu menggunakan bahasa pertuturan serumpun yang berindukkan Bahasa Austris dan berasal dari Yunan. Ketiganya pula, perkongsian nilai kesusasteraan. Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Sri Rama sering diperdengarkan oleh masyarakat Melayu dahulu.[14]
Justeru, apabila berlaku konflik atau rasa ketidakpuasan hati daripada komuniti etnik lain, dikatakan bahawa masyarakat Melayu ini terlatih daripada pemupukan budi menjadikan mereka seorang yang bersopan santun, lemah lembut dan berbudi bahasa yang tinggi. Sekalipun mereka ingin meluahkan rasa tidak puas hati ataupun kritikan mereka akan memastikan lontaran pandangan mereka tidak mengguris hati dan perasaan orang lain.

Bagi masyarakat Cina terutamanya, kebudayaan dan bahasa tempatan bukan lagi cabaran semasa tetapi cabaran modenisasi yang berlaku pada hari ini. Ini kerana pengaruh budaya luar seperti Barat telah diserap masuk di negara kita. Walau bagaimanapun, konflik etnik Melayu dan Cina berlaku kerana perbezaan nilai induk dan rukun teras yang berbeza. Mereka mula mempertikaikan mengenai apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam kerajaan. Mereka pernah menuntut hak mereka supaya bahasa Cina juga dibolehkan untuk urusan rasmi kerajaan. Bantahan mereka semakin menjadi-jadi apabila penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sekolah menengah ketika Laporan Rahman Talib dilaksanakan. Mereka juga menuntut agar bahasa Cina turut digunakan namun, Tunku Abdul Rahman bertegas tidak bersetuju. Akibatnya, Lim Chong Eu yang menuntut itu terpaksa disingkirkan daripada ahli MCA. Ini menyebabkan berlaku pergolakan atau konflik dalaman masyarakat Cina terhadap masyarakat Melayu.[15]

Isu konflik berkaitan bahasa juga turut diperdebatkan melalui rancangan Tun Dr. Mahatir yang ingin menjalankan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).[16] Ini merupakan manifesto UMNO yang ingin menjalankan PPSMI di seluruh sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi pihak pembangkang, mereka menentang habis-habisan kerana dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Selain itu, terdapat juga persatuan dan badan aktif yang menentang PPSMI ini agar ia dimansuhkan oleh kerajaan. Dua badan yang aktif itu antaranya ialah Gabungan Persatuan-persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP). Walaupun matlamat mereka adalah sama namun jalur perjuangan mereka adalah berbeza. Pendekatan dua badan ini seakan-akan tidak sehaluan meskipun masing-masing saling menyokong perjuangan mereka. Malah, menurut pandangan Shaharir Mohamad Zain (2009) pula berpendapat bahawa PPSMI ini merupakan cara menguatkan lagi pemBaratan ilmu sedangkan beliau percaya bahawa sains dan bahasa Melayu itu terhasil daripada PengIslaman ilmu.[17]



3.4  Perbalahan politik antara etnik Melayu dan etnik Cina sehingga membawa peristiwa 13 Mei 1969

Dasar pemerintahan British telah dianggap sebagai pencetus perkauman. Ini dapat dilihat melalui aspek bagaimana reaksi etnik-etnik tertentu terhadap polisi tersebut. Analisis dan kajian dapat dibuktikan melalui tindakan etnik Melayu, terutamanya apabila kelas bawahan berhadapan dengan pendiskriminasian dalam bidang ekonomi, pendidikan dan tindakan etnik Cina yang dihadkan dalam pentadbiran. Polisi bumiputera dan bukan bumiputera yang dikatakan bersifat perkauman sehingga meminggirkan kedudukan etnik Cina dan Etnik bukan Melayu juga dititikberatkan. Abraham mengatakan bahawa beliau tidak yakin bahawa kekuatan etnisiti sebagai pencetus konflik antara etnik Melayu dengan etnik Cina. Hal ini demikian kerana menurut Khoo Kay Kim, etnisiti merupakan faktor yang sangat kuat mempengaruhi manusia dan ini sukar dikikis menerusi ideologi.[18]Menurut Karl Von Vorys, kegagalan sistem demokrasi yang menyebabkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 telah menyebabkan kebanyakan pemimpin lebih cenderung untuk mengekalkan sifat sosial masyarakat sebangsa namun, secara tidak sedar ia melibatkan pentadbiran yang bersifat autokrasi. Peristiwa 13 Mei inilah membuktikan bahawa ketegangan hubungan etnik masih gagal diatasi walaupun teras formula ini tetap diteruskan.

Selepas penyingkiran Singapura, etnik Cina berasaskan hala tuju kepada pemerintahan Kerajaan Pusat lebih kepada menjurus kepada pro-Melayu dan ketika itu seluruh etnik Cina ataupun India telah pun diterima sebagai warganegara dan bukan lagi warga asing. Namun, berlaku pertelingkahan antara UMNO dan PAS yang hangat memperdebatkan bahawa parti pelindung Melayu itu gagal melindungi hak etnik orang Melayu. Kesan daripada pertembungan nilai induk dan rukun teras ini akhirnya berlaku pertumbuha melampau dalam kalangan etnik. Isu yang menjadikan kempen Pilihan raya 1969 lebih menjurus kepada perjuangan melindungi rukun teras bagi meraih undi daripada komuniti etnik masing-masing sehingga mencetuskan sentimen perkauman.

Faktor yang mencetuskan peristiwa 13 Mei ini adalah berpunca daripada hasutan komunis. Corak kempen pilihan raya etnik Melayu dan bukan Melayu adalah provokasi yang dimulakan oleh etnik Cina. Ada juga yang berpendapat kejadian ini berpunca ketidakseimbangan ekonomi dan kedudukan ekonomi etnik Melayu yang jauh lebih mundur jika dibandingkan dengan penguasaan ekonomioleh etnik Cina dan bukan Melayu.[19] Walau bagaimanapun, konflik 13 Mei ini berpunca daripada persepsi negatif etnik Melayu terhadap etnik Cina atau sebaliknya ini termasuklah etnik Melayu penyokong UMNO atau PAS, mereka ada pandangan tindakan agresif etnik Cina selepas pilihan raya 10 Mei 1969. Keputusan Pilihan Raya 1969 memeranjatkan semua pihak apabila UMNO dan MCA kalah teruk dan hampir separuh kerusi di Parlimen dan Negeri parti Perikatan itu kehilangan kerusi. Kebanyakan kerusi UMNO berjaya dikuasai oleh PAS. UMNO tidak puas hati kerana kegagalannya melindungi hak kebajikan dan rukun teras Melayu secara menyeluruh manakala etnik Cina menganggap UMNO peneraju Perikatan lebih cenderung mendiskriminasikan mereka yang pro-Melayu. Malahan, peranan polis dan tentera menyemarakkan huru-hara kerana mereka berperanan menyebarkan maklumat dan bukan bekerjasama menyeleraikan pertelingkahan.[20]

Rusuhan 13 Mei 1969 tercetus apabila etnik Cina di bawah hasutan PKM/Cina bertindak agresif menghina, memprovokasi nilai Kemelayuan-Islam ketika mengadakan perarakan kemenangan. Hasilnya, kesabaran etnik Melayu semakin pudar dengan tindakan etnik Cina yang menghina secara melampau nilai Kemelayuan-Islam. Mereka pada awalnya tergamam, lalu terimbaulah ‘memori hitam’ sewaktu pemerintahan di bawah penguasaan MPAJA/Cina.[21] Lalu, etnik Melayu mula bersepakat membuat perarakan namun, penghinaan daripada etnik Cina semakin menjadi-jadi walaupun mereka belum memulakan perarakan. Akhirnya, pada petang 13 Mei 1969, etnik Melayu bersedia dengan ilmu persilatan yang telah direstui oleh para kiyai mengamuk apabila mereka mendengar khabar angin bahawa surau dibakar oleh etnik Cina.  Etnik Melayu membakar kereta di jalan raya justeru ketika itu seruan pemimpin Melayu sudah tidak dihiraukan lagi. Akibatnya, pembunuhan beramai-ramai terjadi apabila seramai 196 orang di kalangan etnik Cina (125 orang), etnik Melayu (37 orang) manakala etnik India (17 orang).

      Rentetan inilah, di bawah MANGERAN, Tun Abdul Razak telah membentuk Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Kebangsaan, Rukun Negara sebagai ideologi negara dan menyusun semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru.[22]


3.5  Perbezaan persepsi antara MCA dan UMNO mengenai sistem pendidikan

Konflik yang melibatkan etnik Melayu dan etnik Cina sudah kita sedia maklum sangat kritikal dan paling sukar kerana ia melibatkan nilai induk dan rukun teras yang berbeza. Kegagalan MCA untuk mengiktiraf bahasa Cina sebagai Bahasa Kebangsaaan telah mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli MCA itu sendiri sehingga menggugat kerjasama UMNO. Mereka mula mempertikaikan isi kandungan Perlembagaaan iaitu golongan Cina yang berpendidikan dan Persatuan-persatuan Cina. Mereka telah mengemudikan isu ini selama dua minggu berlandaskan prinsip pragmatis dan sanggup mengambil risiko selepas pengisytiharan kemerdekaan. Malayan Chinese Association Chinese Education Central Committee (MCACEECC) meminta agar isu pertukaran status sekolah menengah Cina dan penggunaan bahasa Cina dalam peperiksaan awam dilonggarkan. Namun, tuntutan ini ditolak oleh kerajaan. Sebagai tanda protes, satu demonstrasi jalanan telah dijalankan oleh para pelajar dari Sekolah Menengah Cina di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kegagalan MCA untuk menuntut memperjuangkan bahasa dan pendidikan Cina menyebabkan Tan Cheng Lock kurang popular dalam kalangan etnik Cina. Akhirnya, Lim Chong Eu menang tampuk pemerintahan MCA dan beliau lebih tegas dalam menuntut hak kepentingan orang Cina.

        Ketegangan hubungan UMNO dan MCA makin parah apabila Lim Chong Eu menuntut pengekalan bahasa dan pendidikan Cina secara terang-terangan. Malahan, matlamat mempertahankan nilai kecinaan semakin terserlah setelah populasi etnik Cina meningkat menerusi perolehan kerakyatan Jus Soli.[23] Namun begitu, tuntutan MCA ini telah mencabar kesabaran Tunku Abdul Rahman kerana merasakan Ketuanan Politik Melayu dan rukun terasnya telah dicabar. Akhirnya, hasil rundingan  dengan ahli UMNO beliau memutuskan untuk mengeluarkan MCA daripada Perikatan, kerana UMNO tidak akan sekali-kali menunaikan sebarang tuntutan itu. Tunku Abdul Rahman juga bersikap tegas dan menolak untuk bersetuju mengenai tuntutan berkenaan. Ketegasan Tunku tidak diduga oleh  Lim Chong Eu  dan akhirnya beliau terpaksa mengalah kerana menganggarkan bahawa MCA tidak dapat bertahan tanpa kerjasama Perikatan. Lim Chong Eu tidak disenaraikan sebagai ahli baru MCA dan Tunku melantik ahli lain yang bersih daripada konflik itu.

        Selain itu, para pendidik Cina juga memasang impian untuk menyempurnakan kewujudan sistem pendidikan vernacular Cina yang lengkap. Sekalipun cita-cita ini bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan namun pengemudian nilai kecinaan yang kuat menyebabkan mereka mengabaikan aspirasi kerajaan dan ia dilaksanakan oleh Dongjiazhong. Universiti Merdeka cuba dibina oleh Dongjiazhong dengan membenarkan pelbagai bahasa dalam bidang tertentu. Ini dikecam oleh pihak kerajaan biarpun pihak  Dongjiazhong cuba meneruskannya. Akhirnya, UMNO telah mencadangkan penubuhan prauniversiti Kolej Tunku Abdul Rahman bagi memenangi hati MCA namun MCA menolak penubuhan tersebut. Penolakan ini mengakibatkan MCA dikecam hebat oleh masyarakat lain. Etnik Cina berusaha keras untuk memartabatkan nilai kecinaan mereka sekalipun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak tetapi sia-sia kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan.  


4.0  PENUTUP

Secara kesimpulannya, konflik yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia adalah berpunca daripada pertembungan nilai-nilai induk budi Islam yang diluahkan melalui toleransi, hormat menghormati, bertimbang rasa, bekerjasama, pemaaf dan sabar, dengan nilai induk filial piety yang memaparkan nilai kecinaan yang tegar dan pragmatis dalam mempertahankan rukun teras masing-masing. Walau bagaimanapun, perbezaan persepsi atau pandangan etnik-etnik tertentu dan anggota masyarakat mestilah berdasarkan dalil yang sah dan alasan yang kukuh untuk mengatakan sesuatu. Pemupukan sikap toleransi atau tolak ansur ini sangat penting dalam membentuk sebuah negara bangsa yang maju dan berwawasan tanpa pertelingkahan dan salah faham dalam kalangan rakyat. Tidak dapat dinafikan kesan daripada warisan nilai induk dan teras yang berbeza menyebabkan usaha untuk mencari satu set ideologi yang bersifat kebangsaan dan dapat dikongsi bersama adalah sangat sukar untuk dicapai. Contohnya, perbezaan pandangan dan persepsi terhadap nilai akhirat. Selain itu, konflik yang bergolak dalam diri dan individu juga telah membangkitkan gerakan LGBT dengan tertubuhnya persatuan, kelab, web dan institusi sosial yang berusaha untuk mempertahankan hak asasi mereka di mata dunia. Namun, mereka perlu seda bahawa gerakan mereka itu memberi kesan yang buruk kepada mereka sendiri kerana terdedahnya kepada penyakit berbahaya seperti HIV dan AIDS. Dari aspek agama pula khususnya agama Islam, Allah melaknat golongan yang melakukan homoseksual, hubungan luar tabii ini seperti yang telah diamalkan oleh kaum Nabi Lut a.s. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa teori konflik sememangnya menekankan perselisihan faham, perbalahan, tekanan dan konflik  yang dihadapi oleh kelompok masyarakat itu sendiri. Jika teori fungsionalist mementingkan soal kestabilan dan integrasi masyarakat, manakala teori konflik pula mementingkan soal perubahan disintegrasi pada pelbagai unsur dalam masyarakat tersebut. Ini menunjukkan pertentangan antara teori fungsionalist dan teori konflik. Namun begitu, jika dibandingkan situasi kita di Malaysia, sekiranya kita terjemahkan nilai-nilai murni yang ada dalam bentuk dasar dan rancangan, rakyat Malaysia akan lebih sedar tentang kepentingan bersama mereka yang boleh dijadikan asas perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Perpaduan yang berasaskan kepentingan-kepentingan dan nilai-nilai bersama sudah semestinya dapat mengatasi sentimen perkauman yang sempit.


5.0  BIBLIOGRAFI
Amanda Konradi and Martha Schmidt (2004). Reading Between The Lines: Towards and Understanding of Current Social Problems. New York: Published by McGraw-Hill.
Amir Hasan Dawi (2007). Pendidikan Seks: Suatu Perspektif Sosial.  Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Arhiza Ahmad, Jamilah Hamzah dan Haslina Kamarudin (2012, Oktober 9). Karpal Singh tetap
Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (1996). Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit Institut Kajian Dasar (IKD).
Bernama (2012, September 5). IKIM tubuh jawatankuasa khas bincang isu LGBT. Sinar Harian
Christopher Pullen and Margaret Cooper (2010). LGBT Identity and Online New Media. New York: Published by Routledge Press.
Creative thinking (2010). Diperoleh pada Oktober 18, 2012 daripada http://www.scribd.com/doc/29902345/Teori-Teori-Sosiologi
Creative thinking (2012). Diperoleh pada Oktober 29, 2012 daripada http://gadisgombak.blogspot.com/2012/04/lgbt-di-malaysia.html
Farush Khan (2012, Oktober 24). Hudud: jika tidak faham jangan cakap. Sinar Harian, 18
mahu saman Nasharudin. Sinar Harian, 4
Mashitah Ibrahim (2012, Ogos 17). Hudud: Kenapa DAP menentang Pas. Sinar Harian, 26
Mazidul Akmal Sidik (2012). Aliff Alfian Rosli Pelajar Malaysia Kahwin Gay. Diperoleh pada Oktober 29, 2012 daripada http://www.enciknakal.com/2011/12/ariff-alfian-rosli-pelajar-malaysia-kahwin-gay.html
Normawati Adnan (2012, Oktober 24). Jangan biadab hal agama: Mufti. Sinar Harian, 8
Norraihan Zakaria (2007). Konsep Hak Asasi Manusia. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norshahzura Mat Zuki (2012, Oktober 23). Malaysia bukan negara sekular. Sinar Harian, 14
Rahman Shaari (2012, September 4). Segi psikologi dalam politik. Sinar Harian, 18
Ramlah Adam (2004). Gerakan Radialisme di Malaysia (1938-1965). Selangor: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shaharir Mohamad Zain (2009). Cabaran Politik Baru Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Media Icon Sdn Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur: Penerbit  Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Sivamurugan Pandian (2012). Pengiktirafan perpaduan Malaysia. Diperoleh pada Oktober 18, 2012 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120606/re_01/Pengiktirafan-  perpaduan-Malaysia
Sosiologi hokum (2010). Diperoleh pada Oktober 18, 2012 daripada http://sosiologihukum-     untar5.blogspot.com/2010/05/empat-teori-penting-dalam-sosiologi.html
Wan Nor Hasniah Wan Husin (2012). Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.




[1] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 1.
[2] Sinar Harian, 24 Oktober 2012. Hudud: Jika tidak faham jangan cakap.
[3] Sinar Harian, 24 Oktober 2012. Jangan biadap hal agama: Mufti.
[4] Sinar Harian, 17 Ogos 2012. Hudud: Kenapa DAP menentang Pas.
[5] Ibid. 23 Oktober 2012. Malaysia bukan negara sekular.
[6] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 45.
[7] Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar, Keadilan Sosial, Cetakan Pertama 1996, Penerbit Institut Kajian Dasar (IKD). Hlm: 149.
[8] Christopher Pullen and Margaret Cooper, LGBT Identity and Online New Media, Published 2010, Publisher Routledge Press. 249.
[9] Utusan Online.
[10] Christopher Pullen and Margaret Cooper, LGBT Identity and Online New Media, Published 2010, Publisher Routledge Press. 17.
[11] Sinar Harian, 5 September 2012. Ikim tubuh jawatankuasa khas bincang isu LGBT.
[12] Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar, Keadilan Sosial, Cetakan Pertama 1996, Penerbit Institut Kajian Dasar (IKD). Hlm: 154-155.
[13] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 78.
[14] Ibid.
[15] Ibid. Hlm: 289.
[16] Razali Endun, Cabaran Politik Baru Malaysia, Cetakan Pertama 2009, Penerbit Media Icon Sdn Bhd. Hlm: 109.
[17] Shaharir Mohamad Zain, Cabaran Politik Baru Malaysia, Cetakan Pertama 2009, Penerbit Media Icon Sdn Bhd. Hlm: 119.
[18] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 5.
[19] Ibid. Hlm: 309.
[20] Ibid. Hlm: 310.
[21] Ramlah Adam, Gerakan Radialisme di Malaysia (1938-1965), Cetakan Pertama 2004, Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
[22] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 317.
[23] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 288.

No comments:

Post a Comment