Nuffnang

Friday, October 18, 2013

Munajat wanita Sufi yang mulia, Rabiatul Adawiyah..Mampukah aku menjadi sepertinya?


Tuhan kini malam telah pergi 
berganti siang, semakin mengembang
Engkau terimakah ibadah, munajatku semalam?
jika Engkau menerimanya, aku sangat bahagia
jika Engkau menolaknya, aku akan bersabar
aku akan terus bersungguh-sungguh
menghadapkan diriku kepada-Mu
selagi Engkau masih memberi hidup buatku
aku, akan mendatangi-Mu
dan selalu berusaha agar aku
sampai di depan pintu-Mu
sekiranya Engkau mengusir dan menghalauku
aku tetap tidak akan meninggalkan-Mu 
kerana aku,
Sangat Mencintai-Mu, YA ALLAH!!

      Betapa wanita sufi ini sangat mencintai Tuhannya yang agung mengatasi cintaNya kepada dirinya dan Rasulullah s.a.w. Rabiah sedar ALLAH tidak akan mengusir hamba-Nya yang berbuat maksiat dan dosa sebab Dia sentiasa menantikan hamba-hamba-Nya yang ingin bertaubat kepada-Nya. Namun, Maha Suci Allah! Wanita ini sentiasa menagih cinta Allah sehingga beliau langsung tidak menginginkan segala perkara yang menjadi kecintaan di dunia kerana kasihnya kepada Tuhan Pencipta Alam mengatasi segala-galanya. Solat, zikir dan munajatnya sentiasa mengiringi seluruh hidupnya siang dan malam menjadi bukti dia wanita agung yang sangat mendahulukan cinta Allah dari segenap aspek. 

    Tapi aku pula bagaimana dengan amalanku yang aku sembahkan kepada Tuhanku? Cukupkah sekadar dengan solat 5 waktu sehari semalam, yang hanya diwajibkan kepada umat Islam?? Cukupkah sekadar dengan solat hajat setiap malam? Sedangkan lumpur-lumpur dosa sentiasa membaluti diri yang hina dan kerdil ini di sisi Allah. Hati ini sentiasa ingin Allah penuhi segala hajat di hati padahal hati ini kotor di hadapan-Nya. Masya Allah! Cukupkah sekadar membaca Al-Quran yang disuruh oleh Rasulullah untuk membacanya tetapi tiada penghayatan terhadapnya kerana diri ini malas membelek tafsir dan makna kitab suci itu? Sampaikan satu saat aku merasakan diri ini terlalu kotor untuk memegang kitab suci itu lantaran mengingatkan diriku penuh dengan debu-debu dosa! Atau cukupkah aku mempelajari bahasa syurga, bahasa Arab?? sedangkan aku tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian? Ilmu itu tidak akan berbuah seandainya aku masih tidak mempraktikkannya dalam kehidupanku.


      Namun, jika dilihat seluruh kehidupan wanita sufi yang agung ini, Rabiatul Adawiyah sudah terbiasa melakukan solat tahajjud di sepertiga malam. Apabila fajar terbit, pasti beliau akan tidur di sejadah. Jauh berbeza dengan keadaanku yang sentiasa sedar dan bangun dari tidur di atas katil yang empuk. Munajatnya sangat suci lahir dari mulutnya yang sentiasa dibasahi dengan zikrullah, memberi peringatan yang jelas menusuk ke hulu jantungku!!

Wahai diri
Berapa lama engkau tidur
Sampai bilakah engkau terlena?
Waktu yang dijanjikan, sudah sangat dekat
Waktu yang terpaksa engkau tidurkan hingga dibangkitkan.
Di hari kiamat.

Allah kau suburkan hatiku dengan mengharap cinta kepada-Mu
Kau hidupkan hatiku dengan sentiasa merindui kasih sayang dan rahmat dari-Mu
Ya ALLAH, kau basahi lidahku dengan nama-nama dan sifat-sifat-Mu yang Maha Agung dan Mulia untuk aku amalkan dan jadi pedoman dalam seluruh kehidupanku.
Biarkan fikiranku sentiasa dipenuhi Zat-zat dan nama-Mu ya Allah kerana aku ingin lebih dekat pada-Mu, Setiap hari..setiap detik..sentiasa selangkah mendekati-Mu, mengingati-Mu, mencintai-Mu, memuji-Mu dalam setiap helaan nafasku, setiap degupan jantungku dan setiap denyut nadiku, BIARLAH HANYA UNTUKMU, ALLAH..ALLAHU AKBAR..ALLAHU AKBAR..


    Aku tahu..aku tidak akan mampu menjadi seperti wanita sufi yang mulia yang sentiasa menjadi rujukan utama ulama-ulama besar Basrah di zamannya kerana sifat zuhudnya yang agung, atau aku tak kan mampu menjadi wanita cantik sepertinya yang menjadi rebutan ramai lelaki biasa atau bangsawan yang jatuh hati kepadanya kerana kecantikan dan keluhuran peribadinya tetapi cukuplah aku mencontohi dirinya, wanita agung di zamannya, wanita solehah yang mengutamakan Allahu Rabbi dalam hidupnya. Moga aku juga mampu menjadi wanita solehah sepertinya kerana aku tahu aku wanita yang sangat kerdil jika dibandingkan aku dengannya, aku wanita yang banyak dengan dosa, aku akan berusaha untuk mempersiapkan diri untuk menjadi wanita solehah dan agung yang dijanjikan Allah syurga Jannah serta berusaha menghindari fitnah dunia kerana aku tahu wanita itu penuh berliku kehidupannya dalam meraih cinta ALLAH, cinta RASULULLAH, cinta ISLAM, cinta AKHIRAT, cinta kepada IBU dan BAPA dan cinta kepada diri sendiri agar tidak menzalimi diri sendiri untuk masuk ke api neraka ALLAH kelak. AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Thursday, September 26, 2013

BAB 1 HarGA seKuNTuM CinTA

BAB 1
“Ainaa…bangunlah!! Kau tidur lagi ke? Ya Allah, susahnya nak kejut minah ni.” Jerit Farah Amira. Mulutnya becok membebel Ainaa Farhanah yang masih lagi berselimut sakan di katilnya.  
“Alah..aku dah bangun solatlah. Kau kejutlah aku pasni. Orang nak tidur kejap je ni…” aku rungut kerana tidurku diganggu oleh nenek kebayan moden ni. Pantas tanganku menarik selimut hingga menutup kepalaku.
Wahh..bestnya dapat tidur lagi. Hihi..hatiku menjerit girang.
“Wehh..minah! Kau sedar tak sekarang dah pukul berapa ni?”
Aku menggeleng lemah.
“Sekarang dah pukul lapan pagi kau tau tak!!”
Aikk!! Dia yang tanya, dia jugak yang jawab! Ishh, si Farah ni pelik betullah.
“Aku nak tidur kejap je lagi. Bagilah aku chance nak tidur puas-puas hari ni”
“Banyaklah kau chance..kau tidur pukul berapa semalam sampai waktu ni tak bangun-bangun lagi ni? Wehh.. Ainaa!! Kau dengar tak aku tanya ni??” pantas tangan Farah Amira menarik selimutku yang elok membalut tubuhku. Bahuku dipukul keras.
“Aduh! Sakitlah, Farah!” aku menggosok bahuku perlahan.
“Hah…Tau pun sakit. Kau ni tak nak pergi kuliah ke? Bangunlah Ainaa..” kini tanganku pula ditarik kuat oleh nenek kebayan Farah Amira. Tubuhku didirikan dengan tenaga luar biasa nenek kebayan moden. Aduihh..kesian tanganku yang putih gebu ni didera oleh nenek kebayan ini. Mataku yang masih layu memandang raut wajahnya sepi. Tanpa perasaan. Yalah, mana taknya aura mengantuk masih kuat lagi lah katakan. Mata kami bertentangan seketika.
“Hah, tau pun bangun. Dah sekarang pergi mandi!” arah nenek kebayan lagi. Farah Amira menolak tubuhku ke hadapan.
“Hmm…nak tidur lagi..” aku merungut kecil. Pantas tubuhku aku elak daripada terus ditolak oleh Farah Amira. Bosanlah asyik kena paksa je hari-hari. Aku melangkah perlahan ke arah katilku.
Tanpa aku sedari, tangan aku dipaut sekali lagi. Tiba-tiba entah datang dari mana air menyimbah ke mukaku. Hujan di siang hari kot! Hah, masa nilah mataku terbuka seluas-luasnya. Aku meraup mukaku yang basah sambil menjerit, “Woi, apahal ni?? Air dari mana kau simbah kat muka aku ni?”
Aku melihat spray air yang aku gunakan untuk menggosok pakaian ada di tangan Farah Amira. Nafasku mula turun naik. Aisehman..ni betul-betul mencabar jiwa muslimah aku ni, si Farah Amira nenek kebayan moden ni. Sesuka hati je kau kebas botol spray aku. Mahal tau aku beli!
“Hah, bangun pun akhirnya. Susah aku nak kejut kau, Ainaa. Aku simbah kau dengan air bacaan yassin sikit biar kau buka sikit mata kau melihat dunia ni. Bukan main susah nak kejut kau ni. Apa kau ingat kau tu tuan puteri sleeping beauty nak kena kejut ala-ala princess.”
Mulutku dibuat-buat untuk mengejek si Farah ni. Perlahan suaraku mengajuk bicara Farah Amira tadi, “Apa kau ingat kau tu tuan puteri sleeping beauty nak kena kejut ala-ala princess. Huh, menyampah aku! Air bacaan yassin la sangat. Yang kau pergi kebas botol spray aku tu apahal?”
 “Eh, menjawab pulak. Dah sekarang kau pergi mandi. Kau nak kena balun dengan Professor Mikhail ke pagi ni?”
“Hah, Professor Mikhail!! Pagi ni kuliah dia ke??! Apasal kau tak bagi tahu awal-awal. Sengetlah kau ni, Farah” aku mula terkocoh-kocoh mencari-cari tuala mandi aku. Berlari aku mengejar tuala kesayanganku.
“Aku pulak yang senget? Lantak kaulah Ainaa, nasib kaulah” balas Farah Amira sambil memeluk tubuh. Selamba.
“Ishh..tepilah kau nenek kebayan. Menghalang perjalanan betul.” Aku menolak kasar tubuh housemate aku tu. Hampir terbalik minah tu kena penangan aku. Padan muka. Hehe..
“Sakitlah Ainaa..kau ni Hulk ke apa?”
Aku malas melayan kerenah si Farah Amira ni. Apa yang penting? Kerjasama!! Eh, silap! Itu motto hidup Wonderpet. Aku pulak nak jadi Wonder Woman pagi-pagi ni. Hehe.. Apa yang penting sekarang aku kena guna ‘kuasa’ aku untuk bersiap sepantas kilat gitu!
“Aduih..Panik. Panik. Wei, Farah..Sekarang dah pukul berapa ni?”
“Dah dekat pukul 8.30 pagi..” Belum sempat Farah Amira menghabiskan ayatnya, aku pantas menjerit kuat.
“Ohh..tidakkkkk!!” aku memegang kepalaku sambil menggeleng-geleng. Terkejut Farah Amira melihat tingkahku. Belum sempat dia menenangkan aku, aku dengan pantas menghampirinya. Tanganku memaut bahunya kuat.
“Farah, aku ada idea bernas. Aku dah decide yang aku tak nak mandi pagi ini. Jom kita pergi kelas sekarang.” Aku menarik tangan Farah Amira untuk turun ke bawah. Mata Farah Amira membulat.
“Ainaa, kau jangan Ainaa. Aku tak benarkan kau keluar dari bilik ni dengan bau entah macam apa ni ke kuliah. You can’t do it. Definietly not” tangan Farah Amira memaut kuat tanganku. Dia memegang kedua-dua belah tanganku dengan sekuat tenaga demi menghalang aku keluar dari bilik itu.
“Yes, i can” Aku menjawab laju.
“No, you can’t”
“I can.”
“You can’t”
“I can”
“You can’t”
“I can’t” aku pasang jerat.
“You can” jerat mengena! Hehe..
“Hah, kau setuju jugak aku tak payah mandi. Hehe..”
“Ainaaaa……” seram sejuk aku mendengar suara nenek kebayan ni. Aku memandang muka Farah Amira. Aikk..macam kecik je tubuh aku tengok kepala dia membesar tiba-tiba. Macam dalam cerita kartun. Farah Amira merenung tajam wajahku. Wajahnya mula memerah. Aku tahulah muka aku ni jelita tapi janganlah renung macam tu. Malu I..Hehe..
Aduh..aku tak dapat menahan panahan mata nenek kebayan ni. Menyeramkan. Akhirnya aku perlahan-lahan mengangkat tangan lalu..PEACE..Aku tersengih macam kerang busuk.
“Pergi mandi sekarang!!!” bergegar rumah sewa kami dengan jeritan suara nenek kebayan moden. Pitching dia kuat gila! Mengalahkan suara pertunjukan opera.

*                       *                        *
“EH, Ainaa…Farah..apasal kau lambat tadi?!” laung Darimi Irfan atau lebih dikenali sebagai Remy. Budak lelaki yang paling kamcing dengan aku ni hah. Sama kepala. Sama minat. Sama kos. Sama perangai. Yang tak samanya, jantina jelah. Hehe..aku kan perempuan. Dia pulak lelaki. Mana nak sama kat situ. Mamat ni sebenarnya ada abang kembar dia. Tapi sekarang entah mana pulak mamat itu pergi pun aku tak tahu.
            Belum sempat aku menjawab soalannya, satu suara sudah menyampuk. Siapa lagi kalau bukan si Farah Amira, nenek kebayan aku ni. Aku bukan suka menggelar nama orang ini tapi dah memang perangai dia macam nenek kebayan. Asyik duk mengganggu hidup aku je 24 jam. Perintah itulah, inilah macam aku ni Cinderella di mata dia. Asyik nak marah aku aje. Apa yang silap pasal aku ni pun, aku tak tahu. Contohnya pulak dah terbentang di depan mata.
“Apa lagi si Ainaa nilah buat hal cakap nak tidur lebih. Dahlah matahari dah terpancak atas kepala nak tidur lagi. Tak pasal-pasal aku pulak yang turut sama jadi mangsa amukan ganas Professor Mikhail. Kau bukannya tak tahu kalau Professor Mikhail mengamuk macam mana. Tension aku.” Jawab Farah Amira sambil meletakkan beg sandangnya di atas meja rehat di taman universiti kami.
“Hmm..Apalah nasib badan yang selalu kena marah, herdik apatah lagi kena caci dengan nenek kebayan ni. Kesian kat aku. Sabarlah Ainaa Farhanah, kaukan Cinderella moden. Memanglah ada orang jeles dengan sikap kau yang sopan santun dan baik hati ni.” Suaraku tenggelam timbul melirih kononnya meratap nasibku yang malang. Ala-ala pelakon gitu. Aku turut sama duduk bertentangan dengan Farah Amira.
Terbahak-bahak suara Darimi Irfan mentertawakan tingkah laku aku itu. Farah Amira merenung tajam wajahku yang berada di hadapannya kini. Mulutnya muncung tidak puas hati. Cantik sangatlah itu muncung itik macam itu!
“Remy, kau tengok muka aku ni? Ada kotoran degil ke?” soalku sambil menyuakan mukaku ke arah Darimi Irfan yang berada di sebelah. Darimi Irfan memandang mukaku seketika lalu dia menggeleng.
“Tak ada apa-apa pun. Bersih daripada kuman berbahaya aje” jawab Darimi Irfan. Selamba.
“Hmm..agak-agaknya muka aku ni JELITA sangat kot sampai ada orang merenung aku macam nak telan. Iyalah, nak buat macam mana. Aku kan Cinderella moden. Dia tu NENEK kebayan je.” sengaja aku tekankan perkataan jelita dan nenek itu biar terkena sikit nenek kebayan depan aku ni.
Makin kuat ketawa Darimi Irfan mendengar jawapan aku. Ketawa sampai terhinjut-hinjut bahunya. Aku selamba memandang wajah Darimi Irfan yang sedang ketawa. Ishh.. mamat ni sawan dah kot.
“Ainaa..kau ni tak habis-habis dengan loyar buruk kau kan. Nak kenakan aku lagilah tu. Bencilah betullah. Bukannya nak berterima kasih sebab aku dah kejutkan kau pagi tadi. Ni makin menyakitkan hati aje dengar ayat kau tu.” Ujar Farah Amira tidak berpuas hati.
“Ish kau ni, Farah. Macam tak kenal lagi si Ainaa tu. Dia tu bukannya tahu berterima kasih.” Kedengaran satu suara di belakangku. Terus aku dan Darimi Irfan berpaling melihat siapakah gerangan suara tersebut. Farah Amira mendongak melihat seorang lelaki di belakang kami berdua.
“Oh..rupanya kaulah pemilik suara sumbang tu ya” ujarku geram. Berani dia cakap aku tak tahu berterima kasih. Aku melihat lelaki itu selamba duduk di sebelah Farah Amira tapi tetap menjaga jarak. Dia sedar aku sedang melihatnya hanya tersenyum sinis. Perlilah tu!
Aku memalingkan wajahku. Jelingan tajam aku hadiahkan untuk kau. Hambik kau!
“Kau ni Ainaa.. aku tengok kau selamba aje kena balun dengan Professor Mikhail tadi. Langsung tak ada rasa riak bersalah. Si Farah ni pulak bukan main menikus depan professor tadi. Boleh pulak kau selamba badak melawan cakap dengan Professor Mikhail. Derhaka betullah kau ni” Kata lelaki depanku ini. Mamat ni pulak nama dia Junaidi Hassan. Nama dia bukan main maksud baik tapi Hassan depan mata aku ni nak cakap ‘baik’ itu rasanya tak sampai level lagi kot. Mulut bukan main laser serang aku.  
“Laa..apa pulak? Takkanlah aku nak buat muka kesian depan Prof tadi. Jatuhlah pride aku sebagai perempuan tabah selama ini” aku pantas menjawab.
“Banyaklah kau punya tabah. Macamlah kau tu baik sangat” ujar Junaidi Hassan.
“Eh, Junid. Baik kau jangan banyak mulut.” Hah, kan dah keluar gelaran untuk kau. Junid. Mamat sempoi yang tak tahu tunjuk riak erti sebuah perasaan. Sebab dia ni selamba sangat macam tahap putera sejuk, hmm..maksud aku putera cool jadi aku pun gelarlah dia Junid. Namun, sekalipun nama dia Junid macam nama lelaki lurus bendul tapi mamat ni boleh tahan famous lah jugak sebab ada fanclub dia sendiri. Bukan apa, budak bijak macam dia ni kat mana-mana mesti ada peminat dia sendiri. Idola semua budak perempuan tambah pulak muka dia yang boleh tahan smart!
“Cuba kau cakap sejak bila pulak aku derhaka lawan cakap dia. Aku cuma berterus terang dengan dia. Dia patut berbangga kerana memiliki anak murid yang jujur dan berani mengatakan perkara yang benar macam aku ni. Bukan macam pelajar sekarang, asyik menipu aje nak ambik hati pensyarah. Dah Professor tu tanya aku kenapa datang lambat, aku pun cakaplah aku lambat bangun. Itu pun salah ke? Derhaka ke macam itu?”  kataku mula bertingkah dengan pandangan Junaidi Hassan.
Ishh, Ainaa ni. Perangai tak ubah-ubah. Desis hati Junaidi Hassan. Terus dia terimbau saat dia melihat adegan Ainaa Farhanah dan Farah Amira yang dimarah teruk oleh Professor Mikhail di depan bilik kuliah tadi. Boleh dia buat muka selamba tanpa riak. Lepas itu, boleh pula dia menjawab soalan Professor Mikhail yang bertanya kenapa dia lambat datang ke kuliah pagi tadi. Kalau cakap terlewat naik bas ke jalan jam ke tak apalah jugak ni lewat bangun. Manalah Professor Mikhail itu tak marah. Habislah halilintar membelah bumi berlaku di bilik kuliah tadi.
Si Farah pulak bukan main tertunduk dengan rasa bersalah macam nak kena hukuman mati mandotori depan Professor Mikhail tadi. Pucat lesi muka Farah tadi. Kalau toreh dengan pisau pun pasti tak keluar darah yang konfumnya. Tapi yang tak boleh blahnya boleh si Ainaa Farhanah ni menasihati pensyarah depan kawan-kawan di dewan kuliah agar tidak terlalu marah. Katanya takut pensyarah itu sakit jantung dan darah tinggi. Habis kecoh satu dewan kuliah dengan hilai ketawa rakan-rakan kuliah mereka tadi mendengar jawapan spontan Ainaa Farhanah.

Naik merah muka Professor Mikhail menahan rasa marah pada Ainaa Farhanah. Hmm.. agaknya itu kali pertamalah ada pelajar yang berani menegur sampai macam tu sekali. Tak pasal-pasal nama Ainaa Farhanah menjadi sebutan semua kawan. Aku rasa aku yakin mesti nama Ainaa Farhanah Binti Awi ini menjadi buah mulut para pensyarah jugak. Ishh.. minah ni! Bilalah nak berubah. Sudahlah nama dia famous dengan perangai gila-gila dia itu. Ini ditambah lagi melawan cakap Professor Mikhail yang ramai para pelajarnya takut untuk melawan cakap. Ainaa Farhanah, sekali nampak macam lembut dan ayu tapi sebenarnya gadis ini selamba, lincah, ego dan otak kartun macam dia ini langsung tidak sesuai dengan karakternya yang memakai tudung labuh. Sabar jelah ada geng macam dia ini. Akhirnya, Junaidi Hassan tersenyum kecil melihat mulutku yang tidak berhenti-henti berceloteh dengan Darimi Irfan dan Farah Amira.

Siapakah Mustafa Kamal Ataturk??

Allah Menunjuk KebesaranNya Untuk Renungan Kita Bersama..

Apabila jatuhnya empayar Uthmaniyah ditangan anak didik barat, Mustafa Kamal Ataturk dengan membawa ideologi sekularisme, Mujaddid Said Nursi (http://bit.ly/v15jtj) mengatakan bahawa Turki akan pulih selepas tujuh keturunan setelah beliau melihat bagaimana Islam telah dihina dan dikeji.
Beliau sendiri dipenjarakan oleh rejim Ataturk semasa mempertahankan Islam daripada segolongan sekular didikan barat yang diketuai oleh Mustafa Kamal Ataturk dengan ideologi sekularisme. Sehingga kini (2011) pihak tentera masih lagi berpaksikan ideologi Kamalisme walaupun tampuk kerajaan Turki sudah diambil alih oleh Recep Tayyip Erdogan yang pro Islam.


Mustafa Kamal Ataturk (1881-10 November 1938) adalah pengasas Republik Turki. Beliau merupakan pegawai tentera, pemimpin revolusi, negarawan dan presiden Turki yang pertama.
Beliau adalah komander tentera yang berjaya dan berkhidmat sebagai panglima tentera semasa Pertempuran Gallipoli iaitu ketika Perang Dunia I. Angkatan tentera pimpinan beliau berjaya merampas kembali wilayah Anatolia dan Palestin . Ketika itu Empayar Ottoman / Uthmaniyah sedang dikoyak-koyak oleh Tentera Bersekutu. Mujurlah Mustafa Kamal telah memimpin pergerakan kebangsaan Turki menghadapi Perang Kemerdekaan Turki.

Beliau telah memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Angora yang kini dikenali sebagai Ankara.
Mustafa Kamal telah membentuk semula aspek kehidupan rakyat Turki agar sesuai dengan tuntutan semasa yang kemudian dipanggil ideologi Kemalist. Ideologi ini bertujuan menyediakan Turki ke arah negara moden, demokratik dan negara sekular, positif dan bertindak rasional.


Beliau memerintah dari tahun 1918 hingga 1934. Beliau adalah seorang negarawan yang berkebolehan dalam bidang politik. Memperkenalkan sistem politik sekularisme, beliau ‘berjaya’ meruntuhkan empayar Turki Uthmaniyyah. Mustafa Kamal Ataturk meninggal dunia pada tahun 1938 dan telah dikebumikan di sebuah makam di Ankara iaitu ibu negaranya.

Kesalahan Mustafa Kamal Ataturk:
1. Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt
2. Membolehkan lelaki memakai seluar panjang dengan syarat pakai tali leher dan topi (sesuai dengan kehendak barat)
3. Menyuruh wanita dan lelaki menari di khalayak ramai. Beliau sendiri pernah menari dengan seorang wanita di sebuah parti umum yang pertama di Ankara
4. Beliau pernah menegaskan bahawa â€Å“negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden”
5. Menggalakkan minum arak secara terbuka
6. Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki
7. Menukar azan ke dalam bahasa Turki. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi
8. Mengambil arkitek-arkitek dari luar negara untuk memodenkan Turki. Hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya diseluruh bandar Turki
9. Satu ucapan beliau di bandar Belikesir di mana beliau dengan terang-terangannya mengatakan bahawa agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan
10. Agama Islam juga dibuang sebagai Agama Rasmi negara
11. Menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan
12. Menggubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat
13. Menukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja
14. Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah
15. Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin
16. Membatalkan undang-undang waris, faraid secara Islam
17. Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin
18. Mengganggap dirinya tuhan sama seperti firaun. Berlaku peristiwa apabila salah seorang askarnya ditanya "siapa tuhan dan dimana tuhan tinggal?" Oleh kerana takut, askar tersebut menjawab "Kamal Ataturk adalah tuhanku." Beliau tersenyum dan bangga dengan jawapan yang diberikan oleh askar itu
Kematian Mustafa Kamal Ataturk Yang Menyeksakan.


Di saat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia.
Antaranya ialah:
1. Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki di mana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan.
2. Sakit jantung
3. Penyakit darah tinggi
4. Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24 jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau.

Maha Suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka-mereka yang bertanggungjawab telah menghantar beliau ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk.
Allah itu Maha Besar, panasnya tak juga hilang. Pada 26 september 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas lalu dia sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan.

Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan sembahyangkan mayat beliau. Mayat ini diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan sembahyangkannya.

Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan. Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (susah jenazahnya hendak masuk ke liang lahad). Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan ke alam muzium yang diberi nama EtnaGrafi di Ankara selama 15 tahun (sehingga tahun 1953).

Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya. Habis ikhtiar, mayatnya dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan marmar beratnya 44 ton. Mayatnya ditanam di celah-celah batu marmar.
Ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa "jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk!" Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.



P/S: Maha Suci Allah betapa hebat kuasa ALLAH. Ambillah iktibar di setiap apa yang telah Mustafa Kamal Ataturk ini lakukan moga kita tidak menjadi seorang hamba ALLAH yang ingkar dengan segala perintahnya di muka bumi Allah ini. Amin Ya Rabb..


TEORI KONFLIK MENUMPUKAN KEPADA PERSOALAN TENTANG PERSELISIHAN PENDAPAT, PERBALAHAN, KONFLIK DAN LAIN-LAIN.

1.0  PENGENALAN

Teori Konflik merupakan teori alternatif kepada Teori Fungsionalisme Struktural dalam bidang sosiologi. Teori ini menganggap konflik itu merupakan satu aspek utama (fundamental) dalam kehidupan masyarakat dan ini tidak mungkin dapat diatasi semua permasalahan yang berlaku itu. Dari perspektif teori konflik, undang-undang merupakan alat yang sangat penting untuk digunakan oleh kerajaan atau badan berkuasa dalam masyarakat untuk menjamin semua masyarakat tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan institusi utama dalam masyarakat.

            Salah seorang tokoh utama yang menyokong kuat Teori Konflik ini adalah Karl Marx. Pemikir Karl Marx ini sangat berpengaruh dan menjadikan dasar daripada teori konflik ini. Teori ini mula berkembang dan merebak dari tahun 1950an dan 1960an. Selain itu, antara tokoh yang bersetuju dengan teori konflik ini juga adalah Weber, Simmel, Danredolf dan Coser. Setiap daripada mereka mempunyai persepsi masing-masing dalam teori konflik ini.

            Di Malaysia, ketika pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Perdana Menteri Malaysia pertama telah meluahkan rasa gembiranya kerana kejayaan beliau yang mampu menyatupadukan tiga komuniti etnik utama yang berbeza peradaban dan budaya bersama-sama membina negara bangsa yang baru dan maju. Komuniti utama inilah yang terdiri daripada etnik Melayu selaku penduduk asal dan komuniti majoriti di Tanah Melayu, manakala komuniti kedua terbesar ialah komuniti etnik Cina dan diikuti komuniti etnik India, kedua-dua etnik inilah merupakan golongan pendatang pada asalnya.

            Walau bagaimanapun, kerjasama antara kaum ataupun etnik ini yang diharap untuk terus berterusan kembali ‘bergelora’ selepas merdeka kesan daripada perubahan di Persekutuan Tanah Melayu seperti penubuhan Malaysia 1963, penyingkiran Singapura 1965, rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan setiap kali pilihan raya diadakan akan berlaku konflik atau permasalahan.[1] Namun begitu, untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu, suadah menjadi lumrah akan munculnya koflik nilai induk antara komuniti etnik yang berbeza ketika meluahkan pandangan dan mempertahankan rukun teras masing-masing. Sejauhmanakah konflik ini berterusan, ia bergantung pada tahap ancaman dan persaingan yang dihadapi melalui tindakan masing-masing.


2.0  TEORI KONFLIK MENURUT PANDANGAN TOKOH

Menurut Karl Marx, terdapat tiga perkara utama yang harus diketengahkan dalam teori konflik iaitu Teori Kelas, Kaedah Dialectic dan Konsep Alienation. Dalam Teori Kelas, Karl Marx mengatakan bahawa ekonomi merupakan faktor utama atau ‘basic needs’ dalam masyarakat. Namun, faktor-faktor lain seperti politik, agama, dan lain-lain adalah disebut sebagai ‘super structure’ yang bergantung kepada faktor utama tadi.  Menurutnya juga, perkembangan modal yang membawa kepada kekayaan material inilah dapat membebaskan kesempitan hidup manusia. Golongan yang menguasai modal atau kekayaan dipanggil sebagai kelas borjuis manakala golongan yang tidak menguasai modal disebut sebagai kelas proletar (kelas pekerja). Kelas borjuis inilah memperalatkan kelas proletar untuk menambah modal dan kekayaan ini. Akhirnya, kelas proletar ini sedar mereka diperalatkan dan ditindas oleh golongan borjuis (class consciousness) maka wujudnya perasaan kelas (class feeling) dalam diri mereka. Akibatnya, wujud tindakan yang menghapus yang berkelas (class society) kepada masyarakat yang tidak berkelas (classless society).

            Melalui Kaedah Dialectic pula, Marx telah memperluaskan gagasan “dialectic of idea” yang dikemukakan oleh Hegel kepada aspek material yang dikenali sebagai konsep “dialectical materialism”. Menurutnya lagi, manusia tidak akan pernah puas dengan apa yang dimilikinya dan sentiasa berjuang secara berterusan demi memenuhi keperluan baru.

Manakala dari aspek Alienation pula, ia merupakan di mana manusia dikuasai oleh gerak kuasa (force) yang dicipta oleh manusia itu sendiri yang akan berdepan dengan mereka sebagai kuasa-kuasa alien. Sebagai contohnya, wang- yang diciptakan oleh manusia akhirnya menguasai diri mereka sendiri sehingga manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan wang dan kekayaan demi kepentingan mereka sendiri. Akibatnya, fakta yang mengeluarkan kekayaan seseorang itu bergantung pada kuasa wang yang dimilikinya.
Selain itu, terdapat juga dua tokoh pemikir teori konflik yang moden seperti Lewis A. Coser dan Ralf Dahrendorf yang turut mengembangkan teori konflik ini sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, teori konflik ini juga terdapat kelemahannya iaitu teori konflik mengabaikan kestabilan dalam masyarakat dan terlalu menekankan perubahan dan konflik. Walaupun perubahan yang berlaku itu bersifat minor atau kecil.


3.0  SITUASI YANG MENJEJASKAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA
3.1     Konflik hudud antara PAS, MCA dan DAP

Darsawarsa kini, Malaysia dihangatkan dengan isu perdebatan mengenai hukum hudud yang berlaku di kalangan parti politik seperti UMNO, PAS dan DAP. Masing-masing hebat berhujah dengan pendapat masing-masing sehingga berlaku konflik di kalangan kelompok parti politik sekaligus menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat. Konflik ini berlaku apabila berlakunya pertembungan ideologi dan perbezaan agama sehingga menyebabkan pertelingkahan dalam parti politik
        Melalui kenyataan PAS yang sebelum ini ingin menjadikan sebuah negara yang menjalankan hukum hudud di negara Malaysia adalah merupakan sebuah propaganda dan manifesto untuk meraih undi masyarakat sempena Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan dijalankan tidak lama lagi. Impian PAS yang ingin mentadbir negara dengan hukum hudud ini membangkitkan pelbagai spekulasi sama ada parti politik UMNO ataupun DAP. Kedua-dua parti ini seakan-akan menolak apa yang cuba dibawa oleh parti PAS ini.
        Walau bagaimanapun, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam. Beliau mendakwa jika hukum hudud ini dilaksanakan, 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja. Selain itu, Soi Lek juga menyenaraikan pelbagai industri yang bakal terjejas seperti sektor pelancongan dan perkhidmatan yang akan kehilangan pekerjaan. Malahan, beliau turut mengatakan pelabur asing akan meninggalkan Malaysia sekiranya hudud dijalankan.[2] Tindakan beliau ini telah dikecam hebat termasuklah pemimpin PAS dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menteri Besar Selangor yang jarang mengkritik isu sebegini turut menganggapnya melampaui batas. Di samping itu juga, Pemuda PAS telah mendesak Soi Lek untuk memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

        Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan bahawa isu membabitkan agama tidak dibicarakan tanpa kajian dan kefahaman yang tinggi. Beliau turut berkata bahawa pemimpin MCA itu tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan yang sedemikian sedangkan beliau tidak mempunyai kepakaran dalam undang-undang Islam.[3]

        Tambahan pula, manifesto ini juga bukan sahaja ditentang oleh parti politik MCA tetapi juga DAP yang menentang PAS untuk meneruskan hukum hudud ini di negara. Menurut Dr. Mashitah Ibrahim (2012), DAP menentang hasrat PAS kerana matlamat PAS bertentangan dengan semangat dan persefahaman dalam Manifesto Bersama BA 1999. DAP mengatakan bahawa penubuhan negara Islam melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta bercanggah dengan prinsip demokrasi dan hak asasi.[4] Melalui kenyataan ini juga, DAP berusaha untuk membuktikan bahawa mereka menentang bukanlah kerana dasar jawatan tetapi berlandaskan prinsip mereka tersendiri. DAP juga pernah mengingatkan pemimpin Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkenaan hukum hudud terbabit.

        Pertelingkahan dan konflik ini juga terus menerus sehingga parti UMNO turut terkena biasnya. Apabila hukum hudud yang turut dibangkang oleh pemimpin UMNO, PAS telah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO berkeinginan menjadikan Malaysia sebuah negara yang sekular dan tidak mahu memerintah dengan undang-undang Islam. Kenyataan ini akhirnya dibidas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang sekular kerana Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukan ini diperkukuhkan dengan adanya peruntukan lain bagi menjaminnya.[5]

Mohamed Nazri akur akan kenyataan yang dibuat oleh mantan tiga Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang menyebut Malaysia sebuah negara yang sekular dan mengamalkan sistem undang-undang berdasarkan “English Common Law”. Mohamed Nazri turut memberi contoh bahawa negara-negara secular yang lain seperti Amerika Syarikat, India dan Turki jelas memperuntukkan bahawa negara itu adalah negara sekular dalam Perlembagaan di mana sebuah negara sekular tidak mengenal pasti sesuatu agama sebagai agama rasminya tetapi rakyat di negaranya bebas untuk mengamalkan agama masing-masing.

Perbezaan pendapat dan ideologi kelompok parti politik ini telah mengelirukan orang ramai dan inilah yang disebutkan sebagai psikologi dalam politik seperti mana yang diperkatakan oleh Rahman Shaari. Menurut Rahman Shaari (2012), isi sains politik adalah cabang sains sosial yang hanya menunggu seseorang mengatakan sesuatu. Bidang ini tidaklah mudah tetapi asasnya adalah penemuan yang subjektif. Termasuklah mengenai isu perlawanan antara Karpal Singh dengan Nik Aziz Nik Mat dalam hal hukum hudud. Sehinggakan Karpal Singh ingin menyaman fitnah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang dikatakan memfitnahnya yang bukan sahaja menentang hukum hudud bahkan turut menentang Islam. Namun, akibat daripada pertelingkahan hudud inilah, berlakunya rusuhan dan pemberontakan di kalangan pembangkang seperti Bersih dan sebagainya.

Keinginan untuk mentadbir negara sendiri inilah yang telah membawa kepada kemunculan wakil dari komuniti etnik yang tertentu sanggup berusaha bermati-matian untuk mempertahankan ideologi, rukun dan fahaman etnik masing-masing melalui parti politik dan institusi sosial. Apabila berlakunya pertembungan ideologi dan fahaman yang berbeza dengan komuniti etnik yang berlainan, inilah yang akan menimbulkan konflik dan pertelagahan sesama mereka dan tiada titik persamaan yang wujud antara mereka.[6] Ini mungkin berpunca dari perbezaan kelas sosial seperti perbezaan pandangan ketika memberikan persepsi terhadap sesuatu perkara sama ada ia berbentuk pembaharuan ataupun kedatangan etnik pendatang ke tanah air. Contoh yang dapat dilihat selain Malaysia juga ialah negara Amerika Latin dan Singapura.

Selain itu, politik Malaysia juga turut berteraskan kepada etnik dan perkauman masing-masing. Konflik dan pertembungan rukun dan budaya berlaku kerana masing-masing membawa fahaman dan kepentingan etnik yang tersendiri menyebabkan mereka sukar untuk bekerjasama. Menurut Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (1996), ada yang berpendapat bahawa struktur politik yang berteraskan etnik ini tidak menjamin kepada pencapaian keadilan sosial dalam masyarakat.[7] Oleh itu, konflik pertembungan nilai ini memerlukan toleransi semua pihak untuk menyelesaikannya. Kita juga perlu menekankan bahawa kaum bukan Melayu juga sikap live and let live yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia seluruhnya.


3.2 Konflik antara penyokong dan pembangkang mengenai LGBT

Selain daripada isu politik di Malaysia yang mampu melahirkan konflik tetapi isu berkenaan LGBT juga mampu menggoyahkan perpaduan di negara ini. Walaupun aktiviti atau perbuatan ini sangat ditegah dalam Islam namun jika dilihat hari ini gejala LGBT ini makin berleluasa di Malaysia. Ia bukan sahaja melibatkan negeri di Pantai Barat tetapi juga di negeri-negeri Pantai Timur termasuklah di Kelantan. Pendedahan itu yang dibuat oleh Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan mengundang persoalan besar tetapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Kajian sudah membuktikan bahawa golongan gay yang melakukan hubungan intim bersama pasangannya berkemungkinan tinggi untuk mendapat penyakit HIV dan AIDS positif.[8]

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini gejala homoseksual menjadi-jadi. Sebahagian aktiviti golongan itu dilakukan secara berani dan terbuka antaranya menerusi kelab gay dan lesbian. Sememangnya sudah diketahui umum bahawa fenomena LGBT ini sudah menjadi isu global hari ini sehingga ia semakin hebat diperdebatkan di serata dunia. Walau bagaimanapun, pelbagai persepsi atau pandangan mengenai LGBT ini telah banyak menimbulkan konspirasi terhadap masyarakat di dunia sehinggakan negara Malaysia tidak terkecuali terkena akan bahana LGBT ini. Ada yang menyokong pandangan LGBT ini kerana ia merupakan hak asasi manusia yang sudah menjadi persetujuan seluruh negara di dunia namun, ada juga yang membangkang keras gejala yang tidak sihat ini kerana perbuatan ini bercanggah dengan fahaman agama dan budaya serta bertentangan dengan fitrah semulajadi penciptaan manusia itu sendiri.

Malaysia telah digemparkan dengan berita seorang pelajar Malaysia yang dikenali sebagai Alif Alfian Rosli, lelaki gay yang telah hilang di Dublin sebelum ini dijumpai semula dengan pendedahan yang mengejutkan semua pihak dengan pernikahannya berpasangan lelaki.[9] Lelaki itu lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bertanjak boleh melangsungkan perkahwinan itu secara senyap tetapi dia memilih untuk melakukannya secara terbuka. Motif sebenarnya masih belum pasti mengapa dia berbuat sedemikian. Adakah dia ingin mencanangkan kepada dunia, aku gay, aku tidak dibenarkan berkahwin di negara aku sendiri lalu aku berkahwin di negara membenarkan perkahwinan sebegitu dilangsungkan? Persepsi ini telah menimbulkan banyak persoalan apatah lagi dia telah memilih untuk berkahwin di gereja.  Akibatnya, timbul juga satu persoalan penting, apakah agama dianutinya kini?

Apa yang mengejutkan lagi, terdapat pengakuan yang berani telah dikeluarkan dalam akhbar Utusan Online mengatakan bahawa ada ketua pembangkang yang menyokong gerakan LGBT ini di negara kita. Tambahan pula, keberanian NGO memperjuangkan gaya hidup seks songsang sebagaimana penganjuran Seksualiti Merdeka. Ini menyebabkan pandangan masyarakat kita yang mendukung budaya Timur yang murni dan menolak hubungan luar tabii ini sedikit sebanyak memandang rendah golongan ini. Apatah lagi Pesta Gay yang berlangsung baru-baru ini membuatkan ramai pihak semakin keras menolak LGBT ini.

Punca yang dikatakan tercetusnya pergerakan gay khususnya adalah disebabkan pembunuhan Lawrence King (berumur 15 tahun) yang dibunuh oleh rakan sekelasnya, Brandon McInerney (berumur 14 tahun). Lawrence yang bersikap seperti perempuan dan dia mengakui seorang gay telah meluahkan perasaanya kepada Brandon untuk menjadi kekasihnya. Namun, akhirnya dia telah dibunuh kerana pengakuan tersebut. Kisah pembunuhannya telah diperkatan dalam majalah The Advocate (majalah terkenal gay dan lesbian) di United States.[10] Akhirnya, berlakulah pemberontakan golongan gay untuk menuntut bela hak asasi mereka. Namun ada juga yang membangkang keras tuntutan itu dengan pertubuhan kelab di MySpace dan anti-gay video seperti “Homosexual Can’t be Christian”.

Selain itu, di Malaysia juga berlaku perkahwinan antara paderi Malaysia yang bernikah dengan pasangan ‘gay’nya yang turut paderi di Amerika Syarikat. Sepatutnya, penganut Kristian di Malaysia juga perlu bersama-sama membantah isu LGBT ini sebagai tanda pembantahan isu LGBT ini.

Pergerakan LGBT ini makin kukuh apabila mereka menubuhkan kelab mereka sendiri seperti eHarmony.com, MSM, Lesbians Town (LT) dan lain-lain. Dicatatkan bahawa lebih kurang 50 buah negara melayari laman sesawang ini di sleuruh dunia. Di Malaysia, IKIM telah berusaha menubuhkan jawatankuasa khas membincangkan isu LGBT ini dari perspektif undang-undang, sosial, agama dan perubatan.[11] Ia membawa mesej kepada rakyat mengenai pertembungan hak asasi dan kemudharatan perilaku LGBT itu sendiri.  


3.3  Pertelagahan bahasa dan budaya Melayu antara etnik Melayu dan etnik Cina

Pada suatu ketika dahulu sehingga 1980-an, isu berkenaan bahasa dan kebudayaan menjadi isu hangat dalam kalangan kaum. Sampai masanya ia bergantung kepada situasi dan dan keadaan sehingga ia mencapai tahap kemuncak. Persoalan-persoalan yang muncul dalam membangkitkan isu ini tetap menimbulkan ketegangan masih lagi berlaku kerana keraguan mengenai pengekalan identiti kaum masing-masing, pemeliharaan bahasa ibunda dan warisan kebudayaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dan kewibawaan kebudayaan kebangsaaan yang berteraskan warisan kebudayaan rakyat asal serantau.[12]

Walaupun kedudukan Alam Melayu yang dipisahkan dengan pergunungan dan lautan namun komunitinya masih lagi berpegang kepada nilai peradaban yang sama. Mereka berkongsi nilai yang disebut sebagai Melayu dan Kemelayuan-Islam. Pemunggahan identiti dan imej ini boleh difahami dengan merujuk kepada rukun teras yang termaktub dalam peradaban Melayu itu sendiri.[13] Pertama sekali ialah Sistem Adat. Keduanya, bahasa- seluruh masyarakat Melayu menggunakan bahasa pertuturan serumpun yang berindukkan Bahasa Austris dan berasal dari Yunan. Ketiganya pula, perkongsian nilai kesusasteraan. Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Sri Rama sering diperdengarkan oleh masyarakat Melayu dahulu.[14]
Justeru, apabila berlaku konflik atau rasa ketidakpuasan hati daripada komuniti etnik lain, dikatakan bahawa masyarakat Melayu ini terlatih daripada pemupukan budi menjadikan mereka seorang yang bersopan santun, lemah lembut dan berbudi bahasa yang tinggi. Sekalipun mereka ingin meluahkan rasa tidak puas hati ataupun kritikan mereka akan memastikan lontaran pandangan mereka tidak mengguris hati dan perasaan orang lain.

Bagi masyarakat Cina terutamanya, kebudayaan dan bahasa tempatan bukan lagi cabaran semasa tetapi cabaran modenisasi yang berlaku pada hari ini. Ini kerana pengaruh budaya luar seperti Barat telah diserap masuk di negara kita. Walau bagaimanapun, konflik etnik Melayu dan Cina berlaku kerana perbezaan nilai induk dan rukun teras yang berbeza. Mereka mula mempertikaikan mengenai apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam kerajaan. Mereka pernah menuntut hak mereka supaya bahasa Cina juga dibolehkan untuk urusan rasmi kerajaan. Bantahan mereka semakin menjadi-jadi apabila penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sekolah menengah ketika Laporan Rahman Talib dilaksanakan. Mereka juga menuntut agar bahasa Cina turut digunakan namun, Tunku Abdul Rahman bertegas tidak bersetuju. Akibatnya, Lim Chong Eu yang menuntut itu terpaksa disingkirkan daripada ahli MCA. Ini menyebabkan berlaku pergolakan atau konflik dalaman masyarakat Cina terhadap masyarakat Melayu.[15]

Isu konflik berkaitan bahasa juga turut diperdebatkan melalui rancangan Tun Dr. Mahatir yang ingin menjalankan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).[16] Ini merupakan manifesto UMNO yang ingin menjalankan PPSMI di seluruh sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi pihak pembangkang, mereka menentang habis-habisan kerana dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Selain itu, terdapat juga persatuan dan badan aktif yang menentang PPSMI ini agar ia dimansuhkan oleh kerajaan. Dua badan yang aktif itu antaranya ialah Gabungan Persatuan-persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP). Walaupun matlamat mereka adalah sama namun jalur perjuangan mereka adalah berbeza. Pendekatan dua badan ini seakan-akan tidak sehaluan meskipun masing-masing saling menyokong perjuangan mereka. Malah, menurut pandangan Shaharir Mohamad Zain (2009) pula berpendapat bahawa PPSMI ini merupakan cara menguatkan lagi pemBaratan ilmu sedangkan beliau percaya bahawa sains dan bahasa Melayu itu terhasil daripada PengIslaman ilmu.[17]



3.4  Perbalahan politik antara etnik Melayu dan etnik Cina sehingga membawa peristiwa 13 Mei 1969

Dasar pemerintahan British telah dianggap sebagai pencetus perkauman. Ini dapat dilihat melalui aspek bagaimana reaksi etnik-etnik tertentu terhadap polisi tersebut. Analisis dan kajian dapat dibuktikan melalui tindakan etnik Melayu, terutamanya apabila kelas bawahan berhadapan dengan pendiskriminasian dalam bidang ekonomi, pendidikan dan tindakan etnik Cina yang dihadkan dalam pentadbiran. Polisi bumiputera dan bukan bumiputera yang dikatakan bersifat perkauman sehingga meminggirkan kedudukan etnik Cina dan Etnik bukan Melayu juga dititikberatkan. Abraham mengatakan bahawa beliau tidak yakin bahawa kekuatan etnisiti sebagai pencetus konflik antara etnik Melayu dengan etnik Cina. Hal ini demikian kerana menurut Khoo Kay Kim, etnisiti merupakan faktor yang sangat kuat mempengaruhi manusia dan ini sukar dikikis menerusi ideologi.[18]Menurut Karl Von Vorys, kegagalan sistem demokrasi yang menyebabkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 telah menyebabkan kebanyakan pemimpin lebih cenderung untuk mengekalkan sifat sosial masyarakat sebangsa namun, secara tidak sedar ia melibatkan pentadbiran yang bersifat autokrasi. Peristiwa 13 Mei inilah membuktikan bahawa ketegangan hubungan etnik masih gagal diatasi walaupun teras formula ini tetap diteruskan.

Selepas penyingkiran Singapura, etnik Cina berasaskan hala tuju kepada pemerintahan Kerajaan Pusat lebih kepada menjurus kepada pro-Melayu dan ketika itu seluruh etnik Cina ataupun India telah pun diterima sebagai warganegara dan bukan lagi warga asing. Namun, berlaku pertelingkahan antara UMNO dan PAS yang hangat memperdebatkan bahawa parti pelindung Melayu itu gagal melindungi hak etnik orang Melayu. Kesan daripada pertembungan nilai induk dan rukun teras ini akhirnya berlaku pertumbuha melampau dalam kalangan etnik. Isu yang menjadikan kempen Pilihan raya 1969 lebih menjurus kepada perjuangan melindungi rukun teras bagi meraih undi daripada komuniti etnik masing-masing sehingga mencetuskan sentimen perkauman.

Faktor yang mencetuskan peristiwa 13 Mei ini adalah berpunca daripada hasutan komunis. Corak kempen pilihan raya etnik Melayu dan bukan Melayu adalah provokasi yang dimulakan oleh etnik Cina. Ada juga yang berpendapat kejadian ini berpunca ketidakseimbangan ekonomi dan kedudukan ekonomi etnik Melayu yang jauh lebih mundur jika dibandingkan dengan penguasaan ekonomioleh etnik Cina dan bukan Melayu.[19] Walau bagaimanapun, konflik 13 Mei ini berpunca daripada persepsi negatif etnik Melayu terhadap etnik Cina atau sebaliknya ini termasuklah etnik Melayu penyokong UMNO atau PAS, mereka ada pandangan tindakan agresif etnik Cina selepas pilihan raya 10 Mei 1969. Keputusan Pilihan Raya 1969 memeranjatkan semua pihak apabila UMNO dan MCA kalah teruk dan hampir separuh kerusi di Parlimen dan Negeri parti Perikatan itu kehilangan kerusi. Kebanyakan kerusi UMNO berjaya dikuasai oleh PAS. UMNO tidak puas hati kerana kegagalannya melindungi hak kebajikan dan rukun teras Melayu secara menyeluruh manakala etnik Cina menganggap UMNO peneraju Perikatan lebih cenderung mendiskriminasikan mereka yang pro-Melayu. Malahan, peranan polis dan tentera menyemarakkan huru-hara kerana mereka berperanan menyebarkan maklumat dan bukan bekerjasama menyeleraikan pertelingkahan.[20]

Rusuhan 13 Mei 1969 tercetus apabila etnik Cina di bawah hasutan PKM/Cina bertindak agresif menghina, memprovokasi nilai Kemelayuan-Islam ketika mengadakan perarakan kemenangan. Hasilnya, kesabaran etnik Melayu semakin pudar dengan tindakan etnik Cina yang menghina secara melampau nilai Kemelayuan-Islam. Mereka pada awalnya tergamam, lalu terimbaulah ‘memori hitam’ sewaktu pemerintahan di bawah penguasaan MPAJA/Cina.[21] Lalu, etnik Melayu mula bersepakat membuat perarakan namun, penghinaan daripada etnik Cina semakin menjadi-jadi walaupun mereka belum memulakan perarakan. Akhirnya, pada petang 13 Mei 1969, etnik Melayu bersedia dengan ilmu persilatan yang telah direstui oleh para kiyai mengamuk apabila mereka mendengar khabar angin bahawa surau dibakar oleh etnik Cina.  Etnik Melayu membakar kereta di jalan raya justeru ketika itu seruan pemimpin Melayu sudah tidak dihiraukan lagi. Akibatnya, pembunuhan beramai-ramai terjadi apabila seramai 196 orang di kalangan etnik Cina (125 orang), etnik Melayu (37 orang) manakala etnik India (17 orang).

      Rentetan inilah, di bawah MANGERAN, Tun Abdul Razak telah membentuk Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Kebangsaan, Rukun Negara sebagai ideologi negara dan menyusun semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru.[22]


3.5  Perbezaan persepsi antara MCA dan UMNO mengenai sistem pendidikan

Konflik yang melibatkan etnik Melayu dan etnik Cina sudah kita sedia maklum sangat kritikal dan paling sukar kerana ia melibatkan nilai induk dan rukun teras yang berbeza. Kegagalan MCA untuk mengiktiraf bahasa Cina sebagai Bahasa Kebangsaaan telah mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli MCA itu sendiri sehingga menggugat kerjasama UMNO. Mereka mula mempertikaikan isi kandungan Perlembagaaan iaitu golongan Cina yang berpendidikan dan Persatuan-persatuan Cina. Mereka telah mengemudikan isu ini selama dua minggu berlandaskan prinsip pragmatis dan sanggup mengambil risiko selepas pengisytiharan kemerdekaan. Malayan Chinese Association Chinese Education Central Committee (MCACEECC) meminta agar isu pertukaran status sekolah menengah Cina dan penggunaan bahasa Cina dalam peperiksaan awam dilonggarkan. Namun, tuntutan ini ditolak oleh kerajaan. Sebagai tanda protes, satu demonstrasi jalanan telah dijalankan oleh para pelajar dari Sekolah Menengah Cina di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kegagalan MCA untuk menuntut memperjuangkan bahasa dan pendidikan Cina menyebabkan Tan Cheng Lock kurang popular dalam kalangan etnik Cina. Akhirnya, Lim Chong Eu menang tampuk pemerintahan MCA dan beliau lebih tegas dalam menuntut hak kepentingan orang Cina.

        Ketegangan hubungan UMNO dan MCA makin parah apabila Lim Chong Eu menuntut pengekalan bahasa dan pendidikan Cina secara terang-terangan. Malahan, matlamat mempertahankan nilai kecinaan semakin terserlah setelah populasi etnik Cina meningkat menerusi perolehan kerakyatan Jus Soli.[23] Namun begitu, tuntutan MCA ini telah mencabar kesabaran Tunku Abdul Rahman kerana merasakan Ketuanan Politik Melayu dan rukun terasnya telah dicabar. Akhirnya, hasil rundingan  dengan ahli UMNO beliau memutuskan untuk mengeluarkan MCA daripada Perikatan, kerana UMNO tidak akan sekali-kali menunaikan sebarang tuntutan itu. Tunku Abdul Rahman juga bersikap tegas dan menolak untuk bersetuju mengenai tuntutan berkenaan. Ketegasan Tunku tidak diduga oleh  Lim Chong Eu  dan akhirnya beliau terpaksa mengalah kerana menganggarkan bahawa MCA tidak dapat bertahan tanpa kerjasama Perikatan. Lim Chong Eu tidak disenaraikan sebagai ahli baru MCA dan Tunku melantik ahli lain yang bersih daripada konflik itu.

        Selain itu, para pendidik Cina juga memasang impian untuk menyempurnakan kewujudan sistem pendidikan vernacular Cina yang lengkap. Sekalipun cita-cita ini bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan namun pengemudian nilai kecinaan yang kuat menyebabkan mereka mengabaikan aspirasi kerajaan dan ia dilaksanakan oleh Dongjiazhong. Universiti Merdeka cuba dibina oleh Dongjiazhong dengan membenarkan pelbagai bahasa dalam bidang tertentu. Ini dikecam oleh pihak kerajaan biarpun pihak  Dongjiazhong cuba meneruskannya. Akhirnya, UMNO telah mencadangkan penubuhan prauniversiti Kolej Tunku Abdul Rahman bagi memenangi hati MCA namun MCA menolak penubuhan tersebut. Penolakan ini mengakibatkan MCA dikecam hebat oleh masyarakat lain. Etnik Cina berusaha keras untuk memartabatkan nilai kecinaan mereka sekalipun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak tetapi sia-sia kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan.  


4.0  PENUTUP

Secara kesimpulannya, konflik yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia adalah berpunca daripada pertembungan nilai-nilai induk budi Islam yang diluahkan melalui toleransi, hormat menghormati, bertimbang rasa, bekerjasama, pemaaf dan sabar, dengan nilai induk filial piety yang memaparkan nilai kecinaan yang tegar dan pragmatis dalam mempertahankan rukun teras masing-masing. Walau bagaimanapun, perbezaan persepsi atau pandangan etnik-etnik tertentu dan anggota masyarakat mestilah berdasarkan dalil yang sah dan alasan yang kukuh untuk mengatakan sesuatu. Pemupukan sikap toleransi atau tolak ansur ini sangat penting dalam membentuk sebuah negara bangsa yang maju dan berwawasan tanpa pertelingkahan dan salah faham dalam kalangan rakyat. Tidak dapat dinafikan kesan daripada warisan nilai induk dan teras yang berbeza menyebabkan usaha untuk mencari satu set ideologi yang bersifat kebangsaan dan dapat dikongsi bersama adalah sangat sukar untuk dicapai. Contohnya, perbezaan pandangan dan persepsi terhadap nilai akhirat. Selain itu, konflik yang bergolak dalam diri dan individu juga telah membangkitkan gerakan LGBT dengan tertubuhnya persatuan, kelab, web dan institusi sosial yang berusaha untuk mempertahankan hak asasi mereka di mata dunia. Namun, mereka perlu seda bahawa gerakan mereka itu memberi kesan yang buruk kepada mereka sendiri kerana terdedahnya kepada penyakit berbahaya seperti HIV dan AIDS. Dari aspek agama pula khususnya agama Islam, Allah melaknat golongan yang melakukan homoseksual, hubungan luar tabii ini seperti yang telah diamalkan oleh kaum Nabi Lut a.s. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa teori konflik sememangnya menekankan perselisihan faham, perbalahan, tekanan dan konflik  yang dihadapi oleh kelompok masyarakat itu sendiri. Jika teori fungsionalist mementingkan soal kestabilan dan integrasi masyarakat, manakala teori konflik pula mementingkan soal perubahan disintegrasi pada pelbagai unsur dalam masyarakat tersebut. Ini menunjukkan pertentangan antara teori fungsionalist dan teori konflik. Namun begitu, jika dibandingkan situasi kita di Malaysia, sekiranya kita terjemahkan nilai-nilai murni yang ada dalam bentuk dasar dan rancangan, rakyat Malaysia akan lebih sedar tentang kepentingan bersama mereka yang boleh dijadikan asas perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Perpaduan yang berasaskan kepentingan-kepentingan dan nilai-nilai bersama sudah semestinya dapat mengatasi sentimen perkauman yang sempit.


5.0  BIBLIOGRAFI
Amanda Konradi and Martha Schmidt (2004). Reading Between The Lines: Towards and Understanding of Current Social Problems. New York: Published by McGraw-Hill.
Amir Hasan Dawi (2007). Pendidikan Seks: Suatu Perspektif Sosial.  Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Arhiza Ahmad, Jamilah Hamzah dan Haslina Kamarudin (2012, Oktober 9). Karpal Singh tetap
Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (1996). Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit Institut Kajian Dasar (IKD).
Bernama (2012, September 5). IKIM tubuh jawatankuasa khas bincang isu LGBT. Sinar Harian
Christopher Pullen and Margaret Cooper (2010). LGBT Identity and Online New Media. New York: Published by Routledge Press.
Creative thinking (2010). Diperoleh pada Oktober 18, 2012 daripada http://www.scribd.com/doc/29902345/Teori-Teori-Sosiologi
Creative thinking (2012). Diperoleh pada Oktober 29, 2012 daripada http://gadisgombak.blogspot.com/2012/04/lgbt-di-malaysia.html
Farush Khan (2012, Oktober 24). Hudud: jika tidak faham jangan cakap. Sinar Harian, 18
mahu saman Nasharudin. Sinar Harian, 4
Mashitah Ibrahim (2012, Ogos 17). Hudud: Kenapa DAP menentang Pas. Sinar Harian, 26
Mazidul Akmal Sidik (2012). Aliff Alfian Rosli Pelajar Malaysia Kahwin Gay. Diperoleh pada Oktober 29, 2012 daripada http://www.enciknakal.com/2011/12/ariff-alfian-rosli-pelajar-malaysia-kahwin-gay.html
Normawati Adnan (2012, Oktober 24). Jangan biadab hal agama: Mufti. Sinar Harian, 8
Norraihan Zakaria (2007). Konsep Hak Asasi Manusia. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norshahzura Mat Zuki (2012, Oktober 23). Malaysia bukan negara sekular. Sinar Harian, 14
Rahman Shaari (2012, September 4). Segi psikologi dalam politik. Sinar Harian, 18
Ramlah Adam (2004). Gerakan Radialisme di Malaysia (1938-1965). Selangor: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shaharir Mohamad Zain (2009). Cabaran Politik Baru Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Media Icon Sdn Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur: Penerbit  Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Sivamurugan Pandian (2012). Pengiktirafan perpaduan Malaysia. Diperoleh pada Oktober 18, 2012 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120606/re_01/Pengiktirafan-  perpaduan-Malaysia
Sosiologi hokum (2010). Diperoleh pada Oktober 18, 2012 daripada http://sosiologihukum-     untar5.blogspot.com/2010/05/empat-teori-penting-dalam-sosiologi.html
Wan Nor Hasniah Wan Husin (2012). Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.




[1] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 1.
[2] Sinar Harian, 24 Oktober 2012. Hudud: Jika tidak faham jangan cakap.
[3] Sinar Harian, 24 Oktober 2012. Jangan biadap hal agama: Mufti.
[4] Sinar Harian, 17 Ogos 2012. Hudud: Kenapa DAP menentang Pas.
[5] Ibid. 23 Oktober 2012. Malaysia bukan negara sekular.
[6] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 45.
[7] Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar, Keadilan Sosial, Cetakan Pertama 1996, Penerbit Institut Kajian Dasar (IKD). Hlm: 149.
[8] Christopher Pullen and Margaret Cooper, LGBT Identity and Online New Media, Published 2010, Publisher Routledge Press. 249.
[9] Utusan Online.
[10] Christopher Pullen and Margaret Cooper, LGBT Identity and Online New Media, Published 2010, Publisher Routledge Press. 17.
[11] Sinar Harian, 5 September 2012. Ikim tubuh jawatankuasa khas bincang isu LGBT.
[12] Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar, Keadilan Sosial, Cetakan Pertama 1996, Penerbit Institut Kajian Dasar (IKD). Hlm: 154-155.
[13] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 78.
[14] Ibid.
[15] Ibid. Hlm: 289.
[16] Razali Endun, Cabaran Politik Baru Malaysia, Cetakan Pertama 2009, Penerbit Media Icon Sdn Bhd. Hlm: 109.
[17] Shaharir Mohamad Zain, Cabaran Politik Baru Malaysia, Cetakan Pertama 2009, Penerbit Media Icon Sdn Bhd. Hlm: 119.
[18] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 5.
[19] Ibid. Hlm: 309.
[20] Ibid. Hlm: 310.
[21] Ramlah Adam, Gerakan Radialisme di Malaysia (1938-1965), Cetakan Pertama 2004, Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
[22] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 317.
[23] Wan Nor Hasniah Wan Husin, Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina, Cetakan Pertama 2012, Penerbit Universiti Malaya. Hlm: 288.