Nuffnang

Friday, October 18, 2013

Munajat wanita Sufi yang mulia, Rabiatul Adawiyah..Mampukah aku menjadi sepertinya?


Tuhan kini malam telah pergi 
berganti siang, semakin mengembang
Engkau terimakah ibadah, munajatku semalam?
jika Engkau menerimanya, aku sangat bahagia
jika Engkau menolaknya, aku akan bersabar
aku akan terus bersungguh-sungguh
menghadapkan diriku kepada-Mu
selagi Engkau masih memberi hidup buatku
aku, akan mendatangi-Mu
dan selalu berusaha agar aku
sampai di depan pintu-Mu
sekiranya Engkau mengusir dan menghalauku
aku tetap tidak akan meninggalkan-Mu 
kerana aku,
Sangat Mencintai-Mu, YA ALLAH!!

      Betapa wanita sufi ini sangat mencintai Tuhannya yang agung mengatasi cintaNya kepada dirinya dan Rasulullah s.a.w. Rabiah sedar ALLAH tidak akan mengusir hamba-Nya yang berbuat maksiat dan dosa sebab Dia sentiasa menantikan hamba-hamba-Nya yang ingin bertaubat kepada-Nya. Namun, Maha Suci Allah! Wanita ini sentiasa menagih cinta Allah sehingga beliau langsung tidak menginginkan segala perkara yang menjadi kecintaan di dunia kerana kasihnya kepada Tuhan Pencipta Alam mengatasi segala-galanya. Solat, zikir dan munajatnya sentiasa mengiringi seluruh hidupnya siang dan malam menjadi bukti dia wanita agung yang sangat mendahulukan cinta Allah dari segenap aspek. 

    Tapi aku pula bagaimana dengan amalanku yang aku sembahkan kepada Tuhanku? Cukupkah sekadar dengan solat 5 waktu sehari semalam, yang hanya diwajibkan kepada umat Islam?? Cukupkah sekadar dengan solat hajat setiap malam? Sedangkan lumpur-lumpur dosa sentiasa membaluti diri yang hina dan kerdil ini di sisi Allah. Hati ini sentiasa ingin Allah penuhi segala hajat di hati padahal hati ini kotor di hadapan-Nya. Masya Allah! Cukupkah sekadar membaca Al-Quran yang disuruh oleh Rasulullah untuk membacanya tetapi tiada penghayatan terhadapnya kerana diri ini malas membelek tafsir dan makna kitab suci itu? Sampaikan satu saat aku merasakan diri ini terlalu kotor untuk memegang kitab suci itu lantaran mengingatkan diriku penuh dengan debu-debu dosa! Atau cukupkah aku mempelajari bahasa syurga, bahasa Arab?? sedangkan aku tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian? Ilmu itu tidak akan berbuah seandainya aku masih tidak mempraktikkannya dalam kehidupanku.


      Namun, jika dilihat seluruh kehidupan wanita sufi yang agung ini, Rabiatul Adawiyah sudah terbiasa melakukan solat tahajjud di sepertiga malam. Apabila fajar terbit, pasti beliau akan tidur di sejadah. Jauh berbeza dengan keadaanku yang sentiasa sedar dan bangun dari tidur di atas katil yang empuk. Munajatnya sangat suci lahir dari mulutnya yang sentiasa dibasahi dengan zikrullah, memberi peringatan yang jelas menusuk ke hulu jantungku!!

Wahai diri
Berapa lama engkau tidur
Sampai bilakah engkau terlena?
Waktu yang dijanjikan, sudah sangat dekat
Waktu yang terpaksa engkau tidurkan hingga dibangkitkan.
Di hari kiamat.

Allah kau suburkan hatiku dengan mengharap cinta kepada-Mu
Kau hidupkan hatiku dengan sentiasa merindui kasih sayang dan rahmat dari-Mu
Ya ALLAH, kau basahi lidahku dengan nama-nama dan sifat-sifat-Mu yang Maha Agung dan Mulia untuk aku amalkan dan jadi pedoman dalam seluruh kehidupanku.
Biarkan fikiranku sentiasa dipenuhi Zat-zat dan nama-Mu ya Allah kerana aku ingin lebih dekat pada-Mu, Setiap hari..setiap detik..sentiasa selangkah mendekati-Mu, mengingati-Mu, mencintai-Mu, memuji-Mu dalam setiap helaan nafasku, setiap degupan jantungku dan setiap denyut nadiku, BIARLAH HANYA UNTUKMU, ALLAH..ALLAHU AKBAR..ALLAHU AKBAR..


    Aku tahu..aku tidak akan mampu menjadi seperti wanita sufi yang mulia yang sentiasa menjadi rujukan utama ulama-ulama besar Basrah di zamannya kerana sifat zuhudnya yang agung, atau aku tak kan mampu menjadi wanita cantik sepertinya yang menjadi rebutan ramai lelaki biasa atau bangsawan yang jatuh hati kepadanya kerana kecantikan dan keluhuran peribadinya tetapi cukuplah aku mencontohi dirinya, wanita agung di zamannya, wanita solehah yang mengutamakan Allahu Rabbi dalam hidupnya. Moga aku juga mampu menjadi wanita solehah sepertinya kerana aku tahu aku wanita yang sangat kerdil jika dibandingkan aku dengannya, aku wanita yang banyak dengan dosa, aku akan berusaha untuk mempersiapkan diri untuk menjadi wanita solehah dan agung yang dijanjikan Allah syurga Jannah serta berusaha menghindari fitnah dunia kerana aku tahu wanita itu penuh berliku kehidupannya dalam meraih cinta ALLAH, cinta RASULULLAH, cinta ISLAM, cinta AKHIRAT, cinta kepada IBU dan BAPA dan cinta kepada diri sendiri agar tidak menzalimi diri sendiri untuk masuk ke api neraka ALLAH kelak. AMIN YA RABBAL ALAMIN.