1.0 PENGENALAN
Teori
Konflik merupakan teori alternatif kepada Teori Fungsionalisme Struktural dalam
bidang sosiologi. Teori ini menganggap konflik itu merupakan satu aspek utama
(fundamental) dalam kehidupan masyarakat dan ini tidak mungkin dapat diatasi
semua permasalahan yang berlaku itu. Dari perspektif teori konflik,
undang-undang merupakan alat yang sangat penting untuk digunakan oleh kerajaan
atau badan berkuasa dalam masyarakat untuk menjamin semua masyarakat tidak
melanggar peraturan dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan
institusi utama dalam masyarakat.
Salah seorang tokoh utama yang
menyokong kuat Teori Konflik ini adalah Karl Marx. Pemikir Karl Marx ini sangat
berpengaruh dan menjadikan dasar daripada teori konflik ini. Teori ini mula
berkembang dan merebak dari tahun 1950an dan 1960an. Selain itu, antara tokoh
yang bersetuju dengan teori konflik ini juga adalah Weber, Simmel, Danredolf
dan Coser. Setiap daripada mereka mempunyai persepsi masing-masing dalam teori
konflik ini.
Di Malaysia, ketika pengisytiharan
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Perdana Menteri
Malaysia pertama telah meluahkan rasa gembiranya kerana kejayaan beliau yang
mampu menyatupadukan tiga komuniti etnik utama yang berbeza peradaban dan
budaya bersama-sama membina negara bangsa yang baru dan maju. Komuniti utama
inilah yang terdiri daripada etnik Melayu selaku penduduk asal dan komuniti
majoriti di Tanah Melayu, manakala komuniti kedua terbesar ialah komuniti etnik
Cina dan diikuti komuniti etnik India, kedua-dua etnik inilah merupakan
golongan pendatang pada asalnya.
Walau bagaimanapun, kerjasama antara
kaum ataupun etnik ini yang diharap untuk terus berterusan kembali ‘bergelora’
selepas merdeka kesan daripada perubahan di Persekutuan Tanah Melayu seperti
penubuhan Malaysia 1963, penyingkiran Singapura 1965, rusuhan kaum 13 Mei 1969
dan setiap kali pilihan raya diadakan akan berlaku konflik atau permasalahan.
Namun begitu, untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu, suadah
menjadi lumrah akan munculnya koflik nilai induk antara komuniti etnik yang
berbeza ketika meluahkan pandangan dan mempertahankan rukun teras
masing-masing. Sejauhmanakah konflik ini berterusan, ia bergantung pada tahap
ancaman dan persaingan yang dihadapi melalui tindakan masing-masing.
2.0 TEORI KONFLIK MENURUT PANDANGAN
TOKOH
Menurut
Karl Marx, terdapat tiga perkara utama yang harus diketengahkan dalam teori
konflik iaitu Teori Kelas, Kaedah Dialectic dan Konsep Alienation. Dalam Teori
Kelas, Karl Marx mengatakan bahawa ekonomi merupakan faktor utama atau ‘basic needs’ dalam masyarakat. Namun,
faktor-faktor lain seperti politik, agama, dan lain-lain adalah disebut sebagai
‘super structure’ yang bergantung
kepada faktor utama tadi. Menurutnya
juga, perkembangan modal yang membawa kepada kekayaan material inilah dapat
membebaskan kesempitan hidup manusia. Golongan yang menguasai modal atau
kekayaan dipanggil sebagai kelas borjuis manakala golongan yang tidak menguasai
modal disebut sebagai kelas proletar (kelas pekerja). Kelas borjuis inilah
memperalatkan kelas proletar untuk menambah modal dan kekayaan ini. Akhirnya,
kelas proletar ini sedar mereka diperalatkan dan ditindas oleh golongan borjuis
(class consciousness) maka wujudnya perasaan kelas (class feeling) dalam diri
mereka. Akibatnya, wujud tindakan yang menghapus yang berkelas (class society)
kepada masyarakat yang tidak berkelas (classless society).
Melalui
Kaedah Dialectic pula, Marx telah memperluaskan gagasan “dialectic of idea” yang dikemukakan oleh Hegel kepada aspek
material yang dikenali sebagai konsep “dialectical
materialism”. Menurutnya lagi, manusia tidak akan pernah puas dengan apa
yang dimilikinya dan sentiasa berjuang secara berterusan demi memenuhi
keperluan baru.
Manakala
dari aspek Alienation pula, ia merupakan di mana manusia dikuasai oleh gerak
kuasa (force) yang dicipta oleh manusia itu sendiri yang akan berdepan dengan
mereka sebagai kuasa-kuasa alien. Sebagai contohnya, wang- yang diciptakan oleh
manusia akhirnya menguasai diri mereka sendiri sehingga manusia berlumba-lumba
untuk mendapatkan wang dan kekayaan demi kepentingan mereka sendiri. Akibatnya,
fakta yang mengeluarkan kekayaan seseorang itu bergantung pada kuasa wang yang
dimilikinya.
Selain
itu, terdapat juga dua tokoh pemikir teori konflik yang moden seperti Lewis A.
Coser dan Ralf Dahrendorf yang turut mengembangkan teori konflik ini sehingga
sekarang. Walau bagaimanapun, teori konflik ini juga terdapat kelemahannya
iaitu teori konflik mengabaikan kestabilan dalam masyarakat dan terlalu
menekankan perubahan dan konflik. Walaupun perubahan yang berlaku itu bersifat
minor atau kecil.
3.0 SITUASI YANG MENJEJASKAN PERPADUAN
KAUM DI MALAYSIA
3.1
Konflik
hudud antara PAS, MCA dan DAP
Darsawarsa
kini, Malaysia dihangatkan dengan isu perdebatan mengenai hukum hudud yang
berlaku di kalangan parti politik seperti UMNO, PAS dan DAP. Masing-masing
hebat berhujah dengan pendapat masing-masing sehingga berlaku konflik di
kalangan kelompok parti politik sekaligus menimbulkan kontroversi dalam
kalangan masyarakat. Konflik ini berlaku apabila berlakunya pertembungan
ideologi dan perbezaan agama sehingga menyebabkan pertelingkahan dalam parti
politik
Melalui kenyataan PAS yang sebelum ini
ingin menjadikan sebuah negara yang menjalankan hukum hudud di negara Malaysia
adalah merupakan sebuah propaganda dan manifesto untuk meraih undi masyarakat
sempena Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan dijalankan tidak lama lagi. Impian
PAS yang ingin mentadbir negara dengan hukum hudud ini membangkitkan pelbagai
spekulasi sama ada parti politik UMNO ataupun DAP. Kedua-dua parti ini
seakan-akan menolak apa yang cuba dibawa oleh parti PAS ini.
Walau bagaimanapun, kenyataan Presiden MCA,
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa
tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam. Beliau
mendakwa jika hukum hudud ini dilaksanakan, 1.2 juta rakyat Malaysia akan
kehilangan kerja. Selain itu, Soi Lek juga menyenaraikan pelbagai industri yang
bakal terjejas seperti sektor pelancongan dan perkhidmatan yang akan kehilangan
pekerjaan. Malahan, beliau turut mengatakan pelabur asing akan meninggalkan
Malaysia sekiranya hudud dijalankan.
Tindakan beliau ini telah dikecam hebat termasuklah pemimpin PAS dan Mufti
Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menteri Besar Selangor yang jarang mengkritik
isu sebegini turut menganggapnya melampaui batas. Di samping itu juga, Pemuda
PAS telah mendesak Soi Lek untuk memohon maaf kepada seluruh umat Islam di
Malaysia.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
mengatakan bahawa isu membabitkan agama tidak dibicarakan tanpa kajian dan
kefahaman yang tinggi. Beliau turut berkata bahawa pemimpin MCA itu tidak
mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan yang sedemikian sedangkan beliau
tidak mempunyai kepakaran dalam undang-undang Islam.
Tambahan pula, manifesto ini juga bukan
sahaja ditentang oleh parti politik MCA tetapi juga DAP yang menentang PAS
untuk meneruskan hukum hudud ini di negara. Menurut Dr. Mashitah Ibrahim
(2012), DAP menentang hasrat PAS kerana matlamat PAS bertentangan dengan
semangat dan persefahaman dalam Manifesto Bersama BA 1999. DAP mengatakan
bahawa penubuhan negara Islam melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian
Malaysia 1963 serta bercanggah dengan prinsip demokrasi dan hak asasi. Melalui
kenyataan ini juga, DAP berusaha untuk membuktikan bahawa mereka menentang
bukanlah kerana dasar jawatan tetapi berlandaskan prinsip mereka tersendiri. DAP
juga pernah mengingatkan pemimpin Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik
Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkenaan hukum hudud terbabit.
Pertelingkahan dan konflik ini juga
terus menerus sehingga parti UMNO turut terkena biasnya. Apabila hukum hudud
yang turut dibangkang oleh pemimpin UMNO, PAS telah mengeluarkan kenyataan
bahawa UMNO berkeinginan menjadikan Malaysia sebuah negara yang sekular dan
tidak mahu memerintah dengan undang-undang Islam. Kenyataan ini akhirnya
dibidas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
Aziz berkata bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang sekular kerana Fasal
(1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam
adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukan ini diperkukuhkan dengan adanya
peruntukan lain bagi menjaminnya.
Mohamed Nazri akur akan kenyataan yang
dibuat oleh mantan tiga Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun
Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang menyebut Malaysia sebuah negara
yang sekular dan mengamalkan sistem undang-undang berdasarkan “English Common Law”. Mohamed Nazri
turut memberi contoh bahawa negara-negara secular yang lain seperti Amerika
Syarikat, India dan Turki jelas memperuntukkan bahawa negara itu adalah negara
sekular dalam Perlembagaan di mana sebuah negara sekular tidak mengenal pasti
sesuatu agama sebagai agama rasminya tetapi rakyat di negaranya bebas untuk
mengamalkan agama masing-masing.
Perbezaan pendapat dan ideologi kelompok
parti politik ini telah mengelirukan orang ramai dan inilah yang disebutkan
sebagai psikologi dalam politik seperti mana yang diperkatakan oleh Rahman
Shaari. Menurut Rahman Shaari (2012), isi sains politik adalah cabang sains
sosial yang hanya menunggu seseorang mengatakan sesuatu. Bidang ini tidaklah
mudah tetapi asasnya adalah penemuan yang subjektif. Termasuklah mengenai isu
perlawanan antara Karpal Singh dengan Nik Aziz Nik Mat dalam hal hukum hudud. Sehinggakan
Karpal Singh ingin menyaman fitnah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat
Isa yang dikatakan memfitnahnya yang bukan sahaja menentang hukum hudud bahkan
turut menentang Islam. Namun, akibat daripada pertelingkahan hudud inilah,
berlakunya rusuhan dan pemberontakan di kalangan pembangkang seperti Bersih dan
sebagainya.
Keinginan untuk mentadbir negara sendiri
inilah yang telah membawa kepada kemunculan wakil dari komuniti etnik yang
tertentu sanggup berusaha bermati-matian untuk mempertahankan ideologi, rukun
dan fahaman etnik masing-masing melalui parti politik dan institusi sosial.
Apabila berlakunya pertembungan ideologi dan fahaman yang berbeza dengan
komuniti etnik yang berlainan, inilah yang akan menimbulkan konflik dan pertelagahan
sesama mereka dan tiada titik persamaan yang wujud antara mereka.
Ini mungkin berpunca dari perbezaan kelas sosial seperti perbezaan pandangan
ketika memberikan persepsi terhadap sesuatu perkara sama ada ia berbentuk
pembaharuan ataupun kedatangan etnik pendatang ke tanah air. Contoh yang dapat
dilihat selain Malaysia juga ialah negara Amerika Latin dan Singapura.
Selain itu, politik Malaysia juga turut
berteraskan kepada etnik dan perkauman masing-masing. Konflik dan pertembungan
rukun dan budaya berlaku kerana masing-masing membawa fahaman dan kepentingan
etnik yang tersendiri menyebabkan mereka sukar untuk bekerjasama. Menurut
Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (1996), ada yang berpendapat bahawa struktur
politik yang berteraskan etnik ini tidak menjamin kepada pencapaian keadilan
sosial dalam masyarakat.
Oleh itu, konflik pertembungan nilai ini memerlukan toleransi semua pihak untuk
menyelesaikannya. Kita juga perlu menekankan bahawa kaum bukan Melayu juga
sikap live and let live yang menjadi
pegangan masyarakat Malaysia seluruhnya.
3.2 Konflik antara penyokong
dan pembangkang mengenai LGBT
Selain
daripada isu politik di Malaysia yang mampu melahirkan konflik tetapi isu
berkenaan LGBT juga mampu menggoyahkan perpaduan di negara ini. Walaupun
aktiviti atau perbuatan ini sangat ditegah dalam Islam namun jika dilihat hari
ini gejala LGBT ini makin berleluasa di Malaysia. Ia bukan sahaja melibatkan
negeri di Pantai Barat tetapi juga di negeri-negeri Pantai Timur termasuklah di
Kelantan. Pendedahan
itu yang dibuat oleh Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan
mengundang persoalan besar tetapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Kajian
sudah membuktikan bahawa golongan gay yang melakukan hubungan intim bersama
pasangannya berkemungkinan tinggi untuk mendapat penyakit HIV dan AIDS positif.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini gejala homoseksual
menjadi-jadi. Sebahagian aktiviti golongan itu dilakukan secara berani dan
terbuka antaranya menerusi kelab gay dan lesbian. Sememangnya sudah diketahui
umum bahawa fenomena LGBT ini sudah menjadi isu global hari ini sehingga ia
semakin hebat diperdebatkan di serata dunia. Walau bagaimanapun, pelbagai
persepsi atau pandangan mengenai LGBT ini telah banyak menimbulkan konspirasi
terhadap masyarakat di dunia sehinggakan negara Malaysia tidak terkecuali
terkena akan bahana LGBT ini. Ada yang menyokong pandangan LGBT ini kerana ia
merupakan hak asasi manusia yang sudah menjadi persetujuan seluruh negara di
dunia namun, ada juga yang membangkang keras gejala yang tidak sihat ini kerana
perbuatan ini bercanggah dengan fahaman agama dan budaya serta bertentangan
dengan fitrah semulajadi penciptaan manusia itu sendiri.
Malaysia telah digemparkan dengan berita seorang pelajar Malaysia
yang dikenali sebagai Alif Alfian Rosli, lelaki gay yang telah hilang di Dublin
sebelum ini dijumpai semula dengan pendedahan yang mengejutkan semua pihak
dengan pernikahannya berpasangan lelaki. Lelaki itu lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bertanjak boleh
melangsungkan perkahwinan itu secara senyap tetapi dia memilih untuk melakukannya
secara terbuka. Motif sebenarnya masih belum pasti mengapa dia berbuat
sedemikian. Adakah dia ingin mencanangkan kepada dunia, aku gay, aku tidak
dibenarkan berkahwin di negara aku sendiri lalu aku berkahwin di negara
membenarkan perkahwinan sebegitu dilangsungkan? Persepsi ini telah menimbulkan banyak persoalan
apatah lagi dia telah memilih untuk berkahwin di gereja. Akibatnya, timbul juga satu persoalan
penting, apakah agama dianutinya kini?
Apa yang mengejutkan lagi,
terdapat pengakuan yang berani telah dikeluarkan dalam akhbar Utusan Online
mengatakan bahawa ada ketua pembangkang yang menyokong gerakan LGBT ini di
negara kita. Tambahan pula, keberanian NGO memperjuangkan gaya hidup seks songsang sebagaimana
penganjuran Seksualiti Merdeka. Ini menyebabkan pandangan masyarakat kita yang
mendukung budaya Timur yang murni dan menolak hubungan luar tabii ini sedikit
sebanyak memandang rendah golongan ini. Apatah lagi Pesta Gay yang berlangsung
baru-baru ini membuatkan ramai pihak semakin keras menolak LGBT ini.
Punca yang dikatakan tercetusnya pergerakan gay khususnya adalah
disebabkan pembunuhan Lawrence King (berumur 15 tahun) yang dibunuh oleh rakan
sekelasnya, Brandon McInerney (berumur 14 tahun). Lawrence yang bersikap seperti
perempuan dan dia mengakui seorang gay telah meluahkan perasaanya kepada
Brandon untuk menjadi kekasihnya. Namun, akhirnya dia telah dibunuh kerana
pengakuan tersebut. Kisah pembunuhannya telah diperkatan dalam majalah The Advocate (majalah terkenal gay dan
lesbian) di United States. Akhirnya, berlakulah
pemberontakan golongan gay untuk menuntut bela hak asasi mereka. Namun ada juga
yang membangkang keras tuntutan itu dengan pertubuhan kelab di MySpace dan
anti-gay video seperti “Homosexual Can’t be Christian”.
Selain itu, di Malaysia juga berlaku perkahwinan antara paderi
Malaysia yang bernikah dengan pasangan ‘gay’nya yang turut paderi di Amerika
Syarikat. Sepatutnya, penganut Kristian di Malaysia juga perlu bersama-sama
membantah isu LGBT ini sebagai tanda pembantahan isu LGBT ini.
Pergerakan LGBT ini makin kukuh apabila mereka menubuhkan kelab
mereka sendiri seperti eHarmony.com, MSM, Lesbians Town (LT) dan lain-lain. Dicatatkan
bahawa lebih kurang 50 buah negara melayari laman sesawang ini di sleuruh
dunia. Di Malaysia, IKIM telah berusaha menubuhkan jawatankuasa khas
membincangkan isu LGBT ini dari perspektif undang-undang, sosial, agama dan
perubatan.
Ia membawa mesej kepada rakyat mengenai pertembungan hak asasi dan kemudharatan
perilaku LGBT itu sendiri.
3.3
Pertelagahan bahasa dan
budaya Melayu antara etnik Melayu dan etnik Cina
Pada suatu ketika dahulu sehingga 1980-an, isu berkenaan bahasa
dan kebudayaan menjadi isu hangat dalam kalangan kaum. Sampai masanya ia
bergantung kepada situasi dan dan keadaan sehingga ia mencapai tahap kemuncak.
Persoalan-persoalan yang muncul dalam membangkitkan isu ini tetap menimbulkan
ketegangan masih lagi berlaku kerana keraguan mengenai pengekalan identiti kaum
masing-masing, pemeliharaan bahasa ibunda dan warisan kebudayaan, kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dan kewibawaan kebudayaan kebangsaaan yang
berteraskan warisan kebudayaan rakyat asal serantau.
Walaupun kedudukan Alam
Melayu yang dipisahkan dengan pergunungan dan lautan namun komunitinya masih
lagi berpegang kepada nilai peradaban yang sama. Mereka berkongsi nilai yang
disebut sebagai Melayu dan Kemelayuan-Islam. Pemunggahan identiti dan imej ini boleh
difahami dengan merujuk kepada rukun teras yang termaktub dalam peradaban
Melayu itu sendiri.
Pertama sekali ialah Sistem Adat. Keduanya, bahasa- seluruh masyarakat Melayu
menggunakan bahasa pertuturan serumpun yang berindukkan Bahasa Austris dan
berasal dari Yunan. Ketiganya pula, perkongsian nilai kesusasteraan. Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Sri Rama sering diperdengarkan oleh masyarakat Melayu
dahulu.
Justeru, apabila berlaku konflik atau rasa ketidakpuasan hati
daripada komuniti etnik lain, dikatakan bahawa masyarakat Melayu ini terlatih
daripada pemupukan budi menjadikan mereka seorang yang bersopan santun, lemah
lembut dan berbudi bahasa yang tinggi. Sekalipun mereka ingin meluahkan rasa
tidak puas hati ataupun kritikan mereka akan memastikan lontaran pandangan
mereka tidak mengguris hati dan perasaan orang lain.
Bagi masyarakat Cina terutamanya, kebudayaan dan bahasa tempatan
bukan lagi cabaran semasa tetapi cabaran modenisasi yang berlaku pada hari ini.
Ini kerana pengaruh budaya luar seperti Barat telah diserap masuk di negara
kita. Walau bagaimanapun, konflik etnik Melayu dan Cina berlaku kerana
perbezaan nilai induk dan rukun teras yang berbeza. Mereka mula mempertikaikan
mengenai apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila bahasa Melayu menjadi
bahasa rasmi dalam kerajaan. Mereka pernah menuntut hak mereka supaya bahasa
Cina juga dibolehkan untuk urusan rasmi kerajaan. Bantahan mereka semakin
menjadi-jadi apabila penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
sekolah menengah ketika Laporan Rahman Talib dilaksanakan. Mereka juga menuntut
agar bahasa Cina turut digunakan namun, Tunku Abdul Rahman bertegas tidak
bersetuju. Akibatnya, Lim Chong Eu yang menuntut itu terpaksa disingkirkan
daripada ahli MCA. Ini menyebabkan berlaku pergolakan atau konflik dalaman
masyarakat Cina terhadap masyarakat Melayu.
Isu konflik berkaitan bahasa juga turut diperdebatkan melalui
rancangan Tun Dr. Mahatir yang ingin menjalankan pengajaran dan pembelajaran
sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Ini merupakan manifesto
UMNO yang ingin menjalankan PPSMI di seluruh sekolah rendah dan menengah di
Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi pihak pembangkang, mereka menentang
habis-habisan kerana dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan yang
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Selain
itu, terdapat juga persatuan dan badan aktif yang menentang PPSMI ini agar ia
dimansuhkan oleh kerajaan. Dua badan yang aktif itu antaranya ialah Gabungan
Persatuan-persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gerakan Memansuhkan PPSMI
(GMP). Walaupun matlamat mereka adalah sama namun jalur perjuangan mereka
adalah berbeza. Pendekatan dua badan ini seakan-akan tidak sehaluan meskipun
masing-masing saling menyokong perjuangan mereka. Malah, menurut pandangan
Shaharir Mohamad Zain (2009) pula berpendapat bahawa PPSMI ini merupakan cara
menguatkan lagi pemBaratan ilmu sedangkan beliau percaya bahawa sains dan
bahasa Melayu itu terhasil daripada PengIslaman ilmu.
3.4
Perbalahan politik
antara etnik Melayu dan etnik Cina sehingga membawa peristiwa 13 Mei 1969
Dasar pemerintahan
British telah dianggap sebagai pencetus perkauman. Ini dapat dilihat melalui
aspek bagaimana reaksi etnik-etnik tertentu terhadap polisi tersebut. Analisis
dan kajian dapat dibuktikan melalui tindakan etnik Melayu, terutamanya apabila
kelas bawahan berhadapan dengan pendiskriminasian dalam bidang ekonomi,
pendidikan dan tindakan etnik Cina yang dihadkan dalam pentadbiran. Polisi
bumiputera dan bukan bumiputera yang dikatakan bersifat perkauman sehingga
meminggirkan kedudukan etnik Cina dan Etnik bukan Melayu juga dititikberatkan.
Abraham mengatakan bahawa beliau tidak yakin bahawa kekuatan etnisiti sebagai
pencetus konflik antara etnik Melayu dengan etnik Cina. Hal ini demikian kerana
menurut Khoo Kay Kim, etnisiti merupakan faktor yang sangat kuat mempengaruhi
manusia dan ini sukar dikikis menerusi ideologi.Menurut Karl Von Vorys,
kegagalan sistem demokrasi yang menyebabkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969
telah menyebabkan kebanyakan pemimpin lebih cenderung untuk mengekalkan sifat
sosial masyarakat sebangsa namun, secara tidak sedar ia melibatkan pentadbiran
yang bersifat autokrasi. Peristiwa 13 Mei inilah membuktikan bahawa ketegangan
hubungan etnik masih gagal diatasi walaupun teras formula ini tetap diteruskan.
Selepas penyingkiran Singapura, etnik Cina berasaskan hala tuju
kepada pemerintahan Kerajaan Pusat lebih kepada menjurus kepada pro-Melayu dan
ketika itu seluruh etnik Cina ataupun India telah pun diterima sebagai
warganegara dan bukan lagi warga asing. Namun, berlaku pertelingkahan antara
UMNO dan PAS yang hangat memperdebatkan bahawa parti pelindung Melayu itu gagal
melindungi hak etnik orang Melayu. Kesan daripada pertembungan nilai induk dan
rukun teras ini akhirnya berlaku pertumbuha melampau dalam kalangan etnik. Isu
yang menjadikan kempen Pilihan raya 1969 lebih menjurus kepada perjuangan
melindungi rukun teras bagi meraih undi daripada komuniti etnik masing-masing
sehingga mencetuskan sentimen perkauman.
Faktor yang mencetuskan peristiwa 13 Mei ini adalah berpunca
daripada hasutan komunis. Corak kempen pilihan raya etnik Melayu dan bukan
Melayu adalah provokasi yang dimulakan oleh etnik Cina. Ada juga yang
berpendapat kejadian ini berpunca ketidakseimbangan ekonomi dan kedudukan
ekonomi etnik Melayu yang jauh lebih mundur jika dibandingkan dengan penguasaan
ekonomioleh etnik Cina dan bukan Melayu. Walau bagaimanapun,
konflik 13 Mei ini berpunca daripada persepsi negatif etnik Melayu terhadap
etnik Cina atau sebaliknya ini termasuklah etnik Melayu penyokong UMNO atau
PAS, mereka ada pandangan tindakan agresif etnik Cina selepas pilihan raya 10
Mei 1969. Keputusan Pilihan Raya 1969 memeranjatkan semua pihak apabila UMNO
dan MCA kalah teruk dan hampir separuh kerusi di Parlimen dan Negeri parti
Perikatan itu kehilangan kerusi. Kebanyakan kerusi UMNO berjaya dikuasai oleh
PAS. UMNO tidak puas hati kerana kegagalannya melindungi hak kebajikan dan
rukun teras Melayu secara menyeluruh manakala etnik Cina menganggap UMNO
peneraju Perikatan lebih cenderung mendiskriminasikan mereka yang pro-Melayu.
Malahan, peranan polis dan tentera menyemarakkan huru-hara kerana mereka
berperanan menyebarkan maklumat dan bukan bekerjasama menyeleraikan
pertelingkahan.
Rusuhan 13 Mei 1969 tercetus apabila etnik Cina di bawah hasutan
PKM/Cina bertindak agresif menghina, memprovokasi nilai Kemelayuan-Islam ketika
mengadakan perarakan kemenangan. Hasilnya, kesabaran etnik Melayu semakin pudar
dengan tindakan etnik Cina yang menghina secara melampau nilai Kemelayuan-Islam.
Mereka pada awalnya tergamam, lalu terimbaulah ‘memori hitam’ sewaktu
pemerintahan di bawah penguasaan MPAJA/Cina. Lalu, etnik Melayu mula
bersepakat membuat perarakan namun, penghinaan daripada etnik Cina semakin
menjadi-jadi walaupun mereka belum memulakan perarakan. Akhirnya, pada petang
13 Mei 1969, etnik Melayu bersedia dengan ilmu persilatan yang telah direstui
oleh para kiyai mengamuk apabila mereka mendengar khabar angin bahawa surau
dibakar oleh etnik Cina. Etnik Melayu
membakar kereta di jalan raya justeru ketika itu seruan pemimpin Melayu sudah
tidak dihiraukan lagi. Akibatnya, pembunuhan beramai-ramai terjadi apabila seramai
196 orang di kalangan etnik Cina (125 orang), etnik Melayu (37 orang) manakala
etnik India (17 orang).
Rentetan inilah, di bawah MANGERAN, Tun Abdul Razak telah
membentuk Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Kebangsaan, Rukun Negara
sebagai ideologi negara dan menyusun semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi
Baru.
3.5
Perbezaan persepsi
antara MCA dan UMNO mengenai sistem pendidikan
Konflik yang melibatkan
etnik Melayu dan etnik Cina sudah kita sedia maklum sangat kritikal dan paling
sukar kerana ia melibatkan nilai induk dan rukun teras yang berbeza. Kegagalan
MCA untuk mengiktiraf bahasa Cina sebagai Bahasa Kebangsaaan telah mencetuskan
perpecahan dalam kalangan ahli MCA itu sendiri sehingga menggugat kerjasama
UMNO. Mereka mula mempertikaikan isi kandungan Perlembagaaan iaitu golongan
Cina yang berpendidikan dan Persatuan-persatuan Cina. Mereka telah mengemudikan
isu ini selama dua minggu berlandaskan prinsip pragmatis dan sanggup mengambil
risiko selepas pengisytiharan kemerdekaan. Malayan
Chinese Association Chinese Education Central Committee (MCACEECC) meminta
agar isu pertukaran status sekolah menengah Cina dan penggunaan bahasa Cina
dalam peperiksaan awam dilonggarkan. Namun, tuntutan ini ditolak oleh kerajaan.
Sebagai tanda protes, satu demonstrasi jalanan telah dijalankan oleh para pelajar
dari Sekolah Menengah Cina di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kegagalan MCA
untuk menuntut memperjuangkan bahasa dan pendidikan Cina menyebabkan Tan Cheng
Lock kurang popular dalam kalangan etnik Cina. Akhirnya, Lim Chong Eu menang
tampuk pemerintahan MCA dan beliau lebih tegas dalam menuntut hak kepentingan
orang Cina.
Ketegangan hubungan UMNO dan MCA makin parah apabila Lim
Chong Eu menuntut pengekalan bahasa dan pendidikan Cina secara terang-terangan.
Malahan, matlamat mempertahankan nilai kecinaan semakin terserlah setelah
populasi etnik Cina meningkat menerusi perolehan kerakyatan Jus Soli. Namun begitu, tuntutan
MCA ini telah mencabar kesabaran Tunku Abdul Rahman kerana merasakan Ketuanan
Politik Melayu dan rukun terasnya telah dicabar. Akhirnya, hasil rundingan dengan ahli UMNO beliau memutuskan untuk
mengeluarkan MCA daripada Perikatan, kerana UMNO tidak akan sekali-kali
menunaikan sebarang tuntutan itu. Tunku Abdul Rahman juga bersikap tegas dan
menolak untuk bersetuju mengenai tuntutan berkenaan. Ketegasan Tunku tidak
diduga oleh Lim Chong Eu dan akhirnya beliau terpaksa mengalah kerana
menganggarkan bahawa MCA tidak dapat bertahan tanpa kerjasama Perikatan. Lim
Chong Eu tidak disenaraikan sebagai ahli baru MCA dan Tunku melantik ahli lain
yang bersih daripada konflik itu.
Selain itu, para pendidik Cina juga memasang impian untuk
menyempurnakan kewujudan sistem pendidikan vernacular Cina yang lengkap.
Sekalipun cita-cita ini bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan namun
pengemudian nilai kecinaan yang kuat menyebabkan mereka mengabaikan aspirasi
kerajaan dan ia dilaksanakan oleh Dongjiazhong.
Universiti Merdeka cuba dibina oleh Dongjiazhong
dengan membenarkan pelbagai bahasa dalam bidang tertentu. Ini dikecam oleh
pihak kerajaan biarpun pihak Dongjiazhong cuba meneruskannya.
Akhirnya, UMNO telah mencadangkan penubuhan prauniversiti Kolej Tunku Abdul
Rahman bagi memenangi hati MCA namun MCA menolak penubuhan tersebut. Penolakan
ini mengakibatkan MCA dikecam hebat oleh masyarakat lain. Etnik Cina berusaha
keras untuk memartabatkan nilai kecinaan mereka sekalipun mendapat tentangan
daripada pelbagai pihak tetapi sia-sia kerana sudah termaktub dalam
Perlembagaan.
4.0
PENUTUP
Secara kesimpulannya, konflik yang berlaku dalam
kalangan rakyat Malaysia adalah berpunca daripada pertembungan nilai-nilai
induk budi Islam yang diluahkan melalui toleransi, hormat menghormati,
bertimbang rasa, bekerjasama, pemaaf dan sabar, dengan nilai induk filial piety yang memaparkan nilai
kecinaan yang tegar dan pragmatis dalam mempertahankan rukun teras
masing-masing. Walau bagaimanapun, perbezaan persepsi atau pandangan
etnik-etnik tertentu dan anggota masyarakat mestilah berdasarkan dalil yang sah
dan alasan yang kukuh untuk mengatakan sesuatu. Pemupukan sikap toleransi atau
tolak ansur ini sangat penting dalam membentuk sebuah negara bangsa yang maju
dan berwawasan tanpa pertelingkahan dan salah faham dalam kalangan rakyat.
Tidak dapat dinafikan kesan daripada warisan nilai induk dan teras yang berbeza
menyebabkan usaha untuk mencari satu set ideologi yang bersifat kebangsaan dan
dapat dikongsi bersama adalah sangat sukar untuk dicapai. Contohnya, perbezaan
pandangan dan persepsi terhadap nilai akhirat. Selain itu, konflik yang
bergolak dalam diri dan individu juga telah membangkitkan gerakan LGBT dengan
tertubuhnya persatuan, kelab, web dan institusi sosial yang berusaha untuk
mempertahankan hak asasi mereka di mata dunia. Namun, mereka perlu seda bahawa
gerakan mereka itu memberi kesan yang buruk kepada mereka sendiri kerana
terdedahnya kepada penyakit berbahaya seperti HIV dan AIDS. Dari aspek agama
pula khususnya agama Islam, Allah melaknat golongan yang melakukan homoseksual,
hubungan luar tabii ini seperti yang telah diamalkan oleh kaum Nabi Lut a.s.
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa teori konflik sememangnya menekankan
perselisihan faham, perbalahan, tekanan dan konflik yang dihadapi oleh kelompok masyarakat itu
sendiri. Jika teori fungsionalist mementingkan soal kestabilan dan integrasi
masyarakat, manakala teori konflik pula mementingkan soal perubahan
disintegrasi pada pelbagai unsur dalam masyarakat tersebut. Ini menunjukkan
pertentangan antara teori fungsionalist dan teori konflik. Namun begitu, jika dibandingkan
situasi kita di Malaysia, sekiranya kita terjemahkan nilai-nilai murni yang ada
dalam bentuk dasar dan rancangan, rakyat Malaysia akan lebih sedar tentang
kepentingan bersama mereka yang boleh dijadikan asas perpaduan dalam masyarakat
yang berbilang kaum. Perpaduan yang berasaskan kepentingan-kepentingan dan
nilai-nilai bersama sudah semestinya dapat mengatasi sentimen perkauman yang
sempit.
5.0
BIBLIOGRAFI
Amanda Konradi and Martha Schmidt (2004). Reading Between The Lines: Towards and Understanding
of Current Social Problems. New York: Published by McGraw-Hill.
Amir Hasan Dawi (2007). Pendidikan Seks: Suatu Perspektif Sosial. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Arhiza Ahmad, Jamilah Hamzah dan Haslina
Kamarudin (2012, Oktober 9). Karpal Singh tetap
Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (1996). Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit
Institut Kajian Dasar (IKD).
Bernama (2012, September 5). IKIM tubuh
jawatankuasa khas bincang isu LGBT. Sinar
Harian
Christopher Pullen and Margaret Cooper (2010). LGBT Identity and Online New Media. New
York: Published by Routledge Press.
Farush Khan (2012, Oktober 24). Hudud:
jika tidak faham jangan cakap. Sinar
Harian, 18
mahu saman Nasharudin. Sinar Harian, 4
Mashitah Ibrahim (2012, Ogos 17). Hudud:
Kenapa DAP menentang Pas. Sinar Harian,
26
Normawati Adnan (2012, Oktober 24).
Jangan biadab hal agama: Mufti. Sinar
Harian, 8
Norraihan Zakaria (2007). Konsep Hak Asasi Manusia. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Norshahzura Mat Zuki (2012, Oktober 23).
Malaysia bukan negara sekular. Sinar
Harian, 14
Rahman Shaari (2012, September 4). Segi
psikologi dalam politik. Sinar Harian,
18
Ramlah Adam (2004). Gerakan Radialisme di Malaysia (1938-1965). Selangor: Penerbit
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shaharir
Mohamad Zain (2009). Cabaran
Politik Baru Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Media Icon Sdn
Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur: Penerbit Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Wan Nor Hasniah Wan Husin (2012). Peradaban dan Perkauman di Malaysia:
Hubungan Etnik Melayu-Cina. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.