Nuffnang

Saturday, January 10, 2015

Cerpen Hadiah Dari Langit

Cerpen: Hadiah Dari Langit.
Oleh: Kesuma Wahida.

Marwan melajukan pemanduan keretanya tanpa menghiraukan bunyi hon kereta lain yang cuba memberi amaran. Mulutnya tiada henti menyumpah seranah dengan perasaan yang berkecamuk. Marah, benci dan sedih kini bersatu.

“Aku tak percaya! Aku tak percaya!!” Suaranya keras cuba meyakinkan dirinya sendiri. Kali ini, tiga buah kereta serentak dia memotong laju.

Damn it! This is impossible! Ridiculous! Aku tahu mama dan papa tipu aku!” saat mulutnya cuba berbicara sendirian dia semakin menekan pedal minyak keretanya ke tahap maksimum. Warna merah traffic light  yang jelas di depan mata langsung tidak dipedulikannya.

Tiba-tiba, secara mendadak sebuah lori minyak dari arah berlainan merempuh kuat kereta BWM yang dipandu Marwan. ‘Dushh!!!’ Momentum kedua-dua buah kenderaan tersebut membingitkan suasana di situ. Sebentar sahaja, keadaan jalan raya menjadi sesak rentetan kemalangan yang berlaku.

*                                             *                                             *
            Marwan diam di kerusi rotannya. Pandangannya kosong menghala ke hadapan. Buku di tangannya langsung tidak menarik perhatiannya untuk diteruskan bacaan. Angin yang sepoi-sepoi bahasa lembut menampar pipinya. Perlahan-lahan Marwan melelapkan matanya untuk menikmati ketenangan sementara itu. Tiba-tiba, dia mendengar bacaan Al-Quran yang mendayu-dayu menyentuh gegendang telinganya. Bahkan, menyentuh hatinya ketika ini.  

            “Bunyi apakah itu? Kenapa jiwaku berasa tenang? Aku rasa aku pernah mendengar bunyi seperti ini? Bukankah ini suara orang yang mengaji?” Dia mula bermonolog sendirian.

            Marwan bangkit dari tempat duduknya. Dia menuju ke balkoni biliknya untuk melihat siapakah gerangan milik suara yang mengaji Al-Quran itu. Matanya melilau-lilau mencari si empunya diri. Akhirnya, pandangannya terhenti pada satu susuk tubuh yang dikenalinya. Asyraf. Seorang pemandu muda yang berkhidmat kepada keluarganya. Dia seorang yang sangat setia dan amanah. Malah, menjadi orang kepercayaan mama dan papanya sejak dahulu.

            Hakikatnya, Marwan tidak mengingati siapa lelaki bernama Asyraf itu. Malah, ibu bapanya pun tidak diingatinya dengan baik. Semuanya kerana kemalangan beberapa bulan lepas. Allah memperlihatkan kuasanya apabila kemalangan yang dahsyat dan hampir meragut jiwanya telah memberi nafas baru dalam hidup Marwan. Namun, ada satu hal yang berlaku, amnesia. Itulah penyakit yang dihadapinya akibat gegaran otak dan meragut sebahagian besar memori yang dialaminya.

            Entah sejak bila kakinya melangkah keluar dari bilik. Sedar-sedar sahaja dia sudah pun berada di hadapan Asyraf yang sedang duduk di tangga hadapan pintu besar villa keluarganya. Dia sudah lama memerhatikan Asyraf sebelum ini. Lelaki itu suka tersenyum, peramah dan beriman. Setiap kali azan berkumandang dia pasti meminta izin papanya untuk solat di masjid. Malah, papanya tidak teragak-agak untuk mengizinkannya ekoran lelaki itu adalah orang kepercayaannya dan sangat jujur. Sikapnya yang murni itulah menarik perhatiannya untuk mendekati lelaki matang itu.

“Tuan muda, tuan muda ada masalahkah?” suara garau milik Asyraf menghentikan lamunan Marwan. Bacaannya terhenti apabila Marwan berdiri di hadapannya.

“Aku..aku..”

“Ya, ada apa tuan muda?”

“Aku..aku nak belajar baca Al-Quran. Aku nak jadi orang baik macam kau. Tolong aku ajar aku, boleh?” Terluah juga isi hatinya sebelum ini.

Mata Asyraf membulat. Mulutnya hampir ternganga. Hatinya kini tersentuh. Tanpa dia sedari, air matanya mula berlinangan. Itulah ayat yang ditunggu-tunggunya selama ini. Marwan terpaku melihat Asyraf yang hampir mengalirkan air mata. Belum sempat dia bertanyakan kenapa tiba-tiba tubuhnya dipeluk erat.

“Boleh, tuan muda. Boleh sangat. Saya janji akan ajar tuan muda sampai lancar bacaannya.” Jawab Asyraf bersemangat.

“Terima kasih.” Perlahan suara Marwan kedengaran.

Asyraf mengangguk sebagai tanda membalas ucapan lelaki itu. Mulutnya tiada henti menitip rasa kesyukuran di hatinya. “Alhamdulillah. Terima kasih, ya Allah. Terima kasih ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu ya Allah.” Pelukan itu makin diketatkan. Suara haru milik Asyraf membuat hati Marwan tertanya-tanya. Namun, untuk bertanya dia malu lalu, dia diamkan sahaja.

Perkembangan bacaan Al-Quran Marwan semakin hari semakin baik. Marwan bukan sahaja mampu membaca Al-Quran tetapi turut mendalami maknanya untuk difahami dan diamalkan. Malah, dia mula bertatih untuk menghafal Al-Quran seperti Asyraf. Perubahan sikap Marwan juga semakin positif dan disukai oleh semua orang terutamanya ibu bapanya. Hubungan baik antara Marwan dan Asyraf semakin rapat. Mereka diibaratkan bagai isi dan kuku.

*                                             *                                             *

            Usai Marwan dan Asyraf solat berjemaah maghrib dan isyak di masjid, mereka meluangkan masa untuk membaca dan menghafal Al-Quran pula.

            “Marwan, aku bangga melihat perubahan kau. Sungguh, aku sangat gembira.” Ujar Asyraf riang.

            “Kau ni dah kenapa nak buat drama dengan aku?” sambut Marwan ketawa kecil.

            Asyraf hanya tersenyum,“Kalau aku dah pergi jauh, kau maafkanlah aku ya?”

            “Kenapa dengan kau ini? Kau nak pergi mana pula?” Soalannya tak bersambut.

            “Kau nak tahu satu rahsia tak?”

            “Apa dia?”

            “Aku sayangkan kau, Marwan.” Tulus ucapan itu keluar dari bibir Asyraf.

            “Kau memang pandai buat lawak, Asyraf. Biar aku tolong ketawa. Hahaha..”

             “Sungguh. Aku sayangkan kau kerana Allah.” Ketawa Marwan mati. Senyuman daripada temannya nampak sungguh ikhlas dan redupan matanya nampak serius.

*                                             *                                             *

            Asyraf mengidap penyakit kanser. Peringkat keempat. Rupa-rupanya, sudah lama dia merahsiakan penyakit itu. Saat rahsia terbongkar apabila berita kematian Asyraf sudah sampai di telinganya. Kehilangan besar seorang sahabat sepertinya seolah-olah meragut jiwa Marwan. Perit dan sedih. Kata-katanya suatu ketika benar-benar menghantui fikiran Marwan.

“Kenapa kau rahsiakan penyakit kau, Asyraf? Kenapa kau tinggalkan aku?” Lalu, perlahan-lahan air matanya menitis lagi tanpa sedar.

            Petang itu, teman-teman lama Marwan datang menziarahinya. Shamsul, Fakhri dan Roy bersemangat mengajak Marwan kembali melepak dan berhibur seperti dahulu. Namun, Marwan menolak pelawaan mereka secara baik.

            “Apa ni bro? Kau kan dah lama tak lepak dengan kitorang.” Ujar Shamsul.

            “Maaf, aku tak ada mood. Lagipun, aku dah lama tak buat benda-benda itu semua.”

            “Sejak kau berkawan dengan driver kolot itu, aku tengok kau pun sama-sama kolot tau! Nasib baik si driver kolot itu dah mampus. Jomlah kita lepak kat night club, bro” sampuk Fakhri spontan sambil ketawa.

            “Kau jangan hina sahabat aku! Aku cakap aku tak nak, aku tak naklah! Korang berambus dari rumah aku sekarang!” tengking Marwan kasar.

            “Kau ni tak perlu nak jadi orang beriman sangatlah. Kau tahu tak kau itu bukan ada apa-apa pun. Kau itu anak angkat aje keluarga ni. Tak payah nak sombong sangatlah!” Roy membalas kasar. Marwan terkejut. Bunyi bising di ruangan itu menarik perhatian sesi keluarga Marwan.

            “Korang semua aku cakap berambus!!” jerit Marwan kuat. Mereka bertiga keluar daripada villa indah itu sambil menyumpah seranah Marwan yang menghina mereka.

            “Betul ke mama, papa? Betul ke Marwan anak angkat aje dalam rumah ni?” soalan Marwan membuatkan Datin Malissa dan Datuk Shukri tidak keruan.

            “Dengar cakap mama dulu, ya sayang?”

            “Aku tanya betul ke tak?” bahu Datin Malissa terhenjut kuat akibat terkejut.

            “Iya, betul sayang. Marwan anak angkat kami. Pembantu rumah kita dahulu, arwah Mak Yam dan suaminya yang berikan sayang kepada mama untuk dibesarkan. Mama dan papa cuba terangkan dulu masa hari kemalangan Marwan. Tapi bila Marwan tak boleh terima hakikat ini, Marwan larikan diri tinggalkan mama dan papa.” jelas Datin Malissa semakin hiba. Air matanya mula mengalir di pipi. Datuk Shukri menggosok perlahan bahu Datin Malissa cuba menenangkan isterinya.

            “Ya Allah…ya Allah..” Marwan kesedihan sehingga terduduk. Dia memegang kepalanya kuat.

            “Tapi mujur ada Asyraf. Asyraf yang banyak tolong kamu, Marwan. Masa kemalangan dulu pun dia yang banyak sumbangkan darah saat kamu dalam kritikal. Asyraf yang banyak berdoa dan mengaji Al-Quran saat kamu koma. Asyraf juga yang ajar kamu kenal kembali siapa Allah dan Rasulullah. Dia yang ajarkan kamu Islam dan Al-Quran sampai kamu jadi manusia macam sekarang.” Ujar Datuk Shukri.

            “Asyraf?”

            “Ya, asalnya dia minta kami rahsiakan pasal penyakit dan hubungannya pada kamu sebab dia betul-betul nak tolong kamu lebih dekat dengan Allah dan lebih rapat dengan kamu walaupun sekadar teman. Sebenarnya, Asyraflah orang yang paling gembira melihat perkembangan kamu. Tapi sekarang dah tiada guna kami rahsiakan lagi. Asyraf, orang yang kau hina-hinakan dahulu itulah satu-satunya ahli keluarga kamu, Marwan. Dia abang kandung kamu.”

            “Allahu Akbar!!” Berita itu mengejutkan Marwan. Dia merasakan kepalanya sakit yang sangat luar biasa. Suara Datin Malissa dan Datuk Shukri yang kuat memanggil namanya semakin tenggelam dan tidak kedengaran. Kepalanya berdenyut kuat tanpa sebab. Bagai ditusuk sesuatu yang tajam tepat mengenai otaknya. Tidak semena-mena, memorinya berputar-putar. Satu persatu memorinya bagaikan bertaut kembali. Kini, dia tahu. Dahulu, dia seorang yang sangat sombong dan selalu mengingkari perintah Allah. Pengaruh budaya barat sewaktu belajar telah mengubah kehidupan sosialnya sehingga mematikan hatinya untuk beribadah kepada Allah.

Dia yang dahulu sering mengejek dan menghina Asyraf tapi Maha Besar Kuasa Allah, Dia hadirkan insan yang dia hinakan sebelum ini sebagai penyelamat jiwanya yang baru. Supaya menjadi manusia baru yang lebih taat kepada Allah. Malah, lelaki itu juga mempunyai pertalian darah dengannya. Abang kandungnya sendiri!


Kini, Allah kembalikan ingatannya, Allah memberikannya hadiah mengenai rahsia keluarganya, tapi Allah mengambil sesuatu berharga juga iaitu, satu-satunya darah dagingnya. Asyraf, abang kandungnya! Kalau dahulu Allah tarik balik kurniaan ingatan kepadanya tapi kini, Allah berikan hadiah ingatan yang baru dengan ingatan yang lebih baik terutamanya ingatan hafalan Al-Quran berkat pertolongan abangnya sendiri. Maha Suci Kuasa Allah.


                                                              TAMAT

No comments:

Post a Comment