Nuffnang

Saturday, January 17, 2015

AGAR AURAT TIDAK DILIHAT JIN

Bismillahirrahmanirrahim

AGAR AURAT TIDAK DILIHAT JIN :::

Seperti yang kita tahu, jin boleh melihat kita sementara kita tidak mampu melihat jin. maka ketika kita perlu untuk melepas pakaian, misal mandi atau buang air, bererti jin juga melihat aurat kita? Lalu apa mereka punya syahwat dengan kita?


Jawapan:
,
Benar bahawa jin boleh melihat kita sementara kita tidak boleh melihat jin. Allah tegaskan dalam al-Quran,
يَا بَنِي آدَمَ لاَ يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَاتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لاَ تَرَوْنَهُمْ …


“Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan, sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu-bapakmu dari syurga; ia menanggalkan pakaiannya dari keduanya untuk memperlihatkan–kepada keduanya–‘auratnya. Sesungguhnya, iblis dan golongannya boleh melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.” (Qs. Al-A’raf:27)


Ayat ini berlaku umum. Ertinya, jin boleh melihat kita dalam semua keadaan, baik ketika kita memakai pakaian atau melepas pakaian. Sehingga jika dibiarkan, jin boleh melihat aurat manusia ketika dirinya tidak mengenakan pakaian.
Agar Aurat Tidak Dilihat Jin


Sebahagian dari kasih sayang Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam kepada umatnya, baginda ajarkan kepada kita berbagai macam sunah yang akan menyelamatkan mereka dari bahaya dunia dan akhirat. Tak terkecuali bahaya jin yang berada di sekitarnya.


Cara yang baginda saw ajarkan, agar aurat kita tidak dilihat jin adalah dengan membaca basmalah ketika membuka pakaian.
Dari Abu Said al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

سِتْرُ ما بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ وَبَيْنَ عَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ ، إِذَا خَلَعَ الرَّجُلُ ثَوْبَهُ أَنْ يَقُولَ : بِسْمِ

Tabir antara pandangan mata jin dengan aurat bani adam (manusia) adalah apabila seseorang melepas pakaiannya, dia membaca:bismillah. (HR. Ibnu Adi, at-Thabrani dalam Mu’jam al-Ausath – al-Mathalib al-Aliyah, al-Hafidz Ibnu Hajar, no. 37).


Demikian pula, ketika seseorang hendak masuk bilik mandi, dia dianjurkan untuk membaca basmalah, sebagai tabir auratnya dari pandangan jin. Dari Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


سَتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ: إِذَا دَخَلَ أَحَدُهُمُ الخَلَاءَ، أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ
Tabir antara pandangan mata jin dengan aurat bani adam (manusia) adalah apabila seseorang masuk bilik mandi, dia membaca:bismillah. (HR. Turmudzi 606, dan dishahihkan al-Albani).
Imam An-Nawawi mengatakan,


قال أصحابنا: ويستحبّ هذا الذكر سواء كان في البنيان أو في الصحراء ، قال أصحابنا رحمهم الله : يُستحبّ أن يقول أوّلاً: ” بسم الله ” ثم يقول: ” اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من الخُبْثِ والخَبائِثِ

Para ulama madzhab kami – syafii – mengatakan, ‘Dianjurkan membaca basamalah ini, baik ketika buang air di dalam bangunan atau di luar rumah.’ Mereka juga menjelaskan, dianjurkan untuk membaca: ’Bismillah’ terlebih dahulu, kemudian membaca:

اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من الخُبْثِ والخَبائِثِ
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keburukan dan segala sebab keburukan. (al-Adzkar, hlm. 26).


Allahu a’lam

Saturday, January 10, 2015

Cerpen Hadiah Dari Langit

Cerpen: Hadiah Dari Langit.
Oleh: Kesuma Wahida.

Marwan melajukan pemanduan keretanya tanpa menghiraukan bunyi hon kereta lain yang cuba memberi amaran. Mulutnya tiada henti menyumpah seranah dengan perasaan yang berkecamuk. Marah, benci dan sedih kini bersatu.

“Aku tak percaya! Aku tak percaya!!” Suaranya keras cuba meyakinkan dirinya sendiri. Kali ini, tiga buah kereta serentak dia memotong laju.

Damn it! This is impossible! Ridiculous! Aku tahu mama dan papa tipu aku!” saat mulutnya cuba berbicara sendirian dia semakin menekan pedal minyak keretanya ke tahap maksimum. Warna merah traffic light  yang jelas di depan mata langsung tidak dipedulikannya.

Tiba-tiba, secara mendadak sebuah lori minyak dari arah berlainan merempuh kuat kereta BWM yang dipandu Marwan. ‘Dushh!!!’ Momentum kedua-dua buah kenderaan tersebut membingitkan suasana di situ. Sebentar sahaja, keadaan jalan raya menjadi sesak rentetan kemalangan yang berlaku.

*                                             *                                             *
            Marwan diam di kerusi rotannya. Pandangannya kosong menghala ke hadapan. Buku di tangannya langsung tidak menarik perhatiannya untuk diteruskan bacaan. Angin yang sepoi-sepoi bahasa lembut menampar pipinya. Perlahan-lahan Marwan melelapkan matanya untuk menikmati ketenangan sementara itu. Tiba-tiba, dia mendengar bacaan Al-Quran yang mendayu-dayu menyentuh gegendang telinganya. Bahkan, menyentuh hatinya ketika ini.  

            “Bunyi apakah itu? Kenapa jiwaku berasa tenang? Aku rasa aku pernah mendengar bunyi seperti ini? Bukankah ini suara orang yang mengaji?” Dia mula bermonolog sendirian.

            Marwan bangkit dari tempat duduknya. Dia menuju ke balkoni biliknya untuk melihat siapakah gerangan milik suara yang mengaji Al-Quran itu. Matanya melilau-lilau mencari si empunya diri. Akhirnya, pandangannya terhenti pada satu susuk tubuh yang dikenalinya. Asyraf. Seorang pemandu muda yang berkhidmat kepada keluarganya. Dia seorang yang sangat setia dan amanah. Malah, menjadi orang kepercayaan mama dan papanya sejak dahulu.

            Hakikatnya, Marwan tidak mengingati siapa lelaki bernama Asyraf itu. Malah, ibu bapanya pun tidak diingatinya dengan baik. Semuanya kerana kemalangan beberapa bulan lepas. Allah memperlihatkan kuasanya apabila kemalangan yang dahsyat dan hampir meragut jiwanya telah memberi nafas baru dalam hidup Marwan. Namun, ada satu hal yang berlaku, amnesia. Itulah penyakit yang dihadapinya akibat gegaran otak dan meragut sebahagian besar memori yang dialaminya.

            Entah sejak bila kakinya melangkah keluar dari bilik. Sedar-sedar sahaja dia sudah pun berada di hadapan Asyraf yang sedang duduk di tangga hadapan pintu besar villa keluarganya. Dia sudah lama memerhatikan Asyraf sebelum ini. Lelaki itu suka tersenyum, peramah dan beriman. Setiap kali azan berkumandang dia pasti meminta izin papanya untuk solat di masjid. Malah, papanya tidak teragak-agak untuk mengizinkannya ekoran lelaki itu adalah orang kepercayaannya dan sangat jujur. Sikapnya yang murni itulah menarik perhatiannya untuk mendekati lelaki matang itu.

“Tuan muda, tuan muda ada masalahkah?” suara garau milik Asyraf menghentikan lamunan Marwan. Bacaannya terhenti apabila Marwan berdiri di hadapannya.

“Aku..aku..”

“Ya, ada apa tuan muda?”

“Aku..aku nak belajar baca Al-Quran. Aku nak jadi orang baik macam kau. Tolong aku ajar aku, boleh?” Terluah juga isi hatinya sebelum ini.

Mata Asyraf membulat. Mulutnya hampir ternganga. Hatinya kini tersentuh. Tanpa dia sedari, air matanya mula berlinangan. Itulah ayat yang ditunggu-tunggunya selama ini. Marwan terpaku melihat Asyraf yang hampir mengalirkan air mata. Belum sempat dia bertanyakan kenapa tiba-tiba tubuhnya dipeluk erat.

“Boleh, tuan muda. Boleh sangat. Saya janji akan ajar tuan muda sampai lancar bacaannya.” Jawab Asyraf bersemangat.

“Terima kasih.” Perlahan suara Marwan kedengaran.

Asyraf mengangguk sebagai tanda membalas ucapan lelaki itu. Mulutnya tiada henti menitip rasa kesyukuran di hatinya. “Alhamdulillah. Terima kasih, ya Allah. Terima kasih ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu ya Allah.” Pelukan itu makin diketatkan. Suara haru milik Asyraf membuat hati Marwan tertanya-tanya. Namun, untuk bertanya dia malu lalu, dia diamkan sahaja.

Perkembangan bacaan Al-Quran Marwan semakin hari semakin baik. Marwan bukan sahaja mampu membaca Al-Quran tetapi turut mendalami maknanya untuk difahami dan diamalkan. Malah, dia mula bertatih untuk menghafal Al-Quran seperti Asyraf. Perubahan sikap Marwan juga semakin positif dan disukai oleh semua orang terutamanya ibu bapanya. Hubungan baik antara Marwan dan Asyraf semakin rapat. Mereka diibaratkan bagai isi dan kuku.

*                                             *                                             *

            Usai Marwan dan Asyraf solat berjemaah maghrib dan isyak di masjid, mereka meluangkan masa untuk membaca dan menghafal Al-Quran pula.

            “Marwan, aku bangga melihat perubahan kau. Sungguh, aku sangat gembira.” Ujar Asyraf riang.

            “Kau ni dah kenapa nak buat drama dengan aku?” sambut Marwan ketawa kecil.

            Asyraf hanya tersenyum,“Kalau aku dah pergi jauh, kau maafkanlah aku ya?”

            “Kenapa dengan kau ini? Kau nak pergi mana pula?” Soalannya tak bersambut.

            “Kau nak tahu satu rahsia tak?”

            “Apa dia?”

            “Aku sayangkan kau, Marwan.” Tulus ucapan itu keluar dari bibir Asyraf.

            “Kau memang pandai buat lawak, Asyraf. Biar aku tolong ketawa. Hahaha..”

             “Sungguh. Aku sayangkan kau kerana Allah.” Ketawa Marwan mati. Senyuman daripada temannya nampak sungguh ikhlas dan redupan matanya nampak serius.

*                                             *                                             *

            Asyraf mengidap penyakit kanser. Peringkat keempat. Rupa-rupanya, sudah lama dia merahsiakan penyakit itu. Saat rahsia terbongkar apabila berita kematian Asyraf sudah sampai di telinganya. Kehilangan besar seorang sahabat sepertinya seolah-olah meragut jiwa Marwan. Perit dan sedih. Kata-katanya suatu ketika benar-benar menghantui fikiran Marwan.

“Kenapa kau rahsiakan penyakit kau, Asyraf? Kenapa kau tinggalkan aku?” Lalu, perlahan-lahan air matanya menitis lagi tanpa sedar.

            Petang itu, teman-teman lama Marwan datang menziarahinya. Shamsul, Fakhri dan Roy bersemangat mengajak Marwan kembali melepak dan berhibur seperti dahulu. Namun, Marwan menolak pelawaan mereka secara baik.

            “Apa ni bro? Kau kan dah lama tak lepak dengan kitorang.” Ujar Shamsul.

            “Maaf, aku tak ada mood. Lagipun, aku dah lama tak buat benda-benda itu semua.”

            “Sejak kau berkawan dengan driver kolot itu, aku tengok kau pun sama-sama kolot tau! Nasib baik si driver kolot itu dah mampus. Jomlah kita lepak kat night club, bro” sampuk Fakhri spontan sambil ketawa.

            “Kau jangan hina sahabat aku! Aku cakap aku tak nak, aku tak naklah! Korang berambus dari rumah aku sekarang!” tengking Marwan kasar.

            “Kau ni tak perlu nak jadi orang beriman sangatlah. Kau tahu tak kau itu bukan ada apa-apa pun. Kau itu anak angkat aje keluarga ni. Tak payah nak sombong sangatlah!” Roy membalas kasar. Marwan terkejut. Bunyi bising di ruangan itu menarik perhatian sesi keluarga Marwan.

            “Korang semua aku cakap berambus!!” jerit Marwan kuat. Mereka bertiga keluar daripada villa indah itu sambil menyumpah seranah Marwan yang menghina mereka.

            “Betul ke mama, papa? Betul ke Marwan anak angkat aje dalam rumah ni?” soalan Marwan membuatkan Datin Malissa dan Datuk Shukri tidak keruan.

            “Dengar cakap mama dulu, ya sayang?”

            “Aku tanya betul ke tak?” bahu Datin Malissa terhenjut kuat akibat terkejut.

            “Iya, betul sayang. Marwan anak angkat kami. Pembantu rumah kita dahulu, arwah Mak Yam dan suaminya yang berikan sayang kepada mama untuk dibesarkan. Mama dan papa cuba terangkan dulu masa hari kemalangan Marwan. Tapi bila Marwan tak boleh terima hakikat ini, Marwan larikan diri tinggalkan mama dan papa.” jelas Datin Malissa semakin hiba. Air matanya mula mengalir di pipi. Datuk Shukri menggosok perlahan bahu Datin Malissa cuba menenangkan isterinya.

            “Ya Allah…ya Allah..” Marwan kesedihan sehingga terduduk. Dia memegang kepalanya kuat.

            “Tapi mujur ada Asyraf. Asyraf yang banyak tolong kamu, Marwan. Masa kemalangan dulu pun dia yang banyak sumbangkan darah saat kamu dalam kritikal. Asyraf yang banyak berdoa dan mengaji Al-Quran saat kamu koma. Asyraf juga yang ajar kamu kenal kembali siapa Allah dan Rasulullah. Dia yang ajarkan kamu Islam dan Al-Quran sampai kamu jadi manusia macam sekarang.” Ujar Datuk Shukri.

            “Asyraf?”

            “Ya, asalnya dia minta kami rahsiakan pasal penyakit dan hubungannya pada kamu sebab dia betul-betul nak tolong kamu lebih dekat dengan Allah dan lebih rapat dengan kamu walaupun sekadar teman. Sebenarnya, Asyraflah orang yang paling gembira melihat perkembangan kamu. Tapi sekarang dah tiada guna kami rahsiakan lagi. Asyraf, orang yang kau hina-hinakan dahulu itulah satu-satunya ahli keluarga kamu, Marwan. Dia abang kandung kamu.”

            “Allahu Akbar!!” Berita itu mengejutkan Marwan. Dia merasakan kepalanya sakit yang sangat luar biasa. Suara Datin Malissa dan Datuk Shukri yang kuat memanggil namanya semakin tenggelam dan tidak kedengaran. Kepalanya berdenyut kuat tanpa sebab. Bagai ditusuk sesuatu yang tajam tepat mengenai otaknya. Tidak semena-mena, memorinya berputar-putar. Satu persatu memorinya bagaikan bertaut kembali. Kini, dia tahu. Dahulu, dia seorang yang sangat sombong dan selalu mengingkari perintah Allah. Pengaruh budaya barat sewaktu belajar telah mengubah kehidupan sosialnya sehingga mematikan hatinya untuk beribadah kepada Allah.

Dia yang dahulu sering mengejek dan menghina Asyraf tapi Maha Besar Kuasa Allah, Dia hadirkan insan yang dia hinakan sebelum ini sebagai penyelamat jiwanya yang baru. Supaya menjadi manusia baru yang lebih taat kepada Allah. Malah, lelaki itu juga mempunyai pertalian darah dengannya. Abang kandungnya sendiri!


Kini, Allah kembalikan ingatannya, Allah memberikannya hadiah mengenai rahsia keluarganya, tapi Allah mengambil sesuatu berharga juga iaitu, satu-satunya darah dagingnya. Asyraf, abang kandungnya! Kalau dahulu Allah tarik balik kurniaan ingatan kepadanya tapi kini, Allah berikan hadiah ingatan yang baru dengan ingatan yang lebih baik terutamanya ingatan hafalan Al-Quran berkat pertolongan abangnya sendiri. Maha Suci Kuasa Allah.


                                                              TAMAT

Friday, January 2, 2015

2015 Tahun Bertuah!! Matlamatku pasti ku gapai!!

Bismillahirrahmanirrahim




Sebelum menjelang 2015 ni, hampir 3 muka surat penuh aku tulis matlamatku untukku gapai tahun baru ni. Bersemangat penuh!

Bila perhati kembali matlamat 2014 sebelum ini, ada yang tercapai dan ada juga yang belum jadi Allah masih berikan 365 hari yang baru untuk aku capai matlamat yang baru dan belum tercapai itu.
Hakikatnya, banyak sangat matlamat dan cita-cita yang nak dicapai.
Tak salah untuk berangan tapi perlu ada usaha untuk mencapainya. Itu yang penting!!

Jadi bila dah tulis aku pun nak share la matlamat seperti ajaran Dato' Roslan Ab Hamid..TULIS & SHARE

1. Aku nak selangkah demi selangkah menjadi hamba Allah yang taat dan solehah. Terus memantapkan aqidah, iman dan ilmu untuk lebih kenal Rabbul Alamin dan semakin jatuh cinta dengan Penciptaku, Allah Azza Wa Jalla.


2. Aku nak jadi 'Wanita Syurga Bidadari Dunia'. Belajar dan menjadi wanita yang disayangi Allah, para Rasul, malaikat dan seluruh penduduk di langit dan di bumi. Doa daripada mereka lebih baik daripada sesi dunia.


3. Akhir semester di UPSI nanti, aku berusaha untuk graduaded dengan Dekan First Class. Misi untuk berjaya dalam pelajaran tak kan putus selagi hayat dikandung badan! 4.00 for last sem 8, amin.. insya Allah!!


4. Dalam dunia penulisan, aku nak kembangkan potensi menulis novel, cerpen dan seangkatan dengannya sebab itulah cita-cita jihad dari kecil. Perang dengan pedang pena! Aku nak edit lagi manuskrip sulung, nak siapkan manuskrip kedua dan beberapa cerpen. Jauh di sudut hati ni aku teringin nak jadi penerbit buku sendiri. Ada syarikat penerbitan sendiri! Jadi aku akan belajar dan terus belajar demi Allah.


5. Seterusnya, aku nak kembangkan bisnes untuk status ekonomi aku demi kehidupan yang lebih baik. Semuanya kerana Allah dan keluarga tercinta. Aku nak jadi jutawan!! Sebelum aku nak jadi kaya atau jutawan aku nak kawan2 dan keluarga aku dulu yang kaya. Moga niat kerana Allah dan niat murni ini Allah makbulkan. So, matlamat untuk menjadi jutawan muda di dunia mesti seiring untuk menjadi jutawan akhirat juga! Amin ya Rabb.


6. 'Ilmu Perubatan Islam'. Satu ilmu yang perlu aku pelajari. Demi Allah, perjuangan itu mesti diteruskan agar pegangan dan kebergantungan kepada Allah lebih jitu dan dapat memantapkan iman. Aku bukan manusia terpilih tetapi aku terpaksa pilih demi agama Allah. Bantuilah kami, berikanlah kami petunjukMu agar kami menjadi hambaMu yang bersyukur.


7. Last sekali, persiapan sebagai 'calon'. Banyak calon yang boleh diertikan. Calon isteri, calon ibu atau lebih tepat lagi calon jenazah. Semuanya aku serahkan kepada Allah, apa yang penting usaha untuk menjadi calon yang terbaik itu yang penting. Calon yang diredhai Allah itu lagi penting! Seorang wanita itu lebih baik dihormati oleh semua lelaki daripada dicintai oleh para lelaki.


Moga Allah merahmati dan membantuku dalam mencapai matlamat 2015. Insya Allah 2015 tahun bertuah! Amin ya Allah.